Tuesday 27 September 2011

MD 14


MyDiary (14)
28/09/2011

Semua pihak diperingkat pengurusan parti sebenarnya sedang sibuk dengan urusan mengatur calon-calon walaupun pada zahir suasananya senyap seolah-olah semua pihak berdiam diri. Masing-masing pihak ingin memastikan supaya calon-calon yang akan bertanding nanti adalah betul-betul yang boleh menang.

Di luar tidak nampak riaknya tetapi dalam Facebook suasananya sangat sibuk dengan berbagai-bagai pendapat dan andaian. Ada hujah yang munasabah tetapi ada juga hujah yang dibuat secara kiasan, gurauan atau sindiran.

Walau apa pun, sememangnya semua pihak sedang berdebar-debar untuk mengetahui siapa calon mereka. Tekaan demi tekaan dibuat dari masa kesemasa. Kadang-kadang ada juga usaha-usaha mendapatkan pendapat dengan cara memperlagakan seseorang yang dianggap bakal calon dengan lawannya dan ini boleh dilakukan hanya di dalam Facebook secara bebas.

Semua itu merupakan era baru. Sebelum ini tidak pernah berlaku perdebatan politik yang hebat dengan hujah-hujah ilmiah dan rasional seperti yang sedang berlaku di dalam Facebook. Namun, mereka semua bukanlah orang-orang yang memegang jawatan politik. Orang-orang yang memegang jawatan politik samada UMNO atau pun PAS, tidak pula menyertainya dan memainkan peranan kecuali seorang dua sahaja.

Saya tidak tahulah sejauh mana keberkesanan Facebook ini dalam menyalurkan pendapat dan cadangan orang ramai ini. Mereka semua sentiasa bertungkus lumus cuba menyampaikan sesuatu dengan cara itu. Hasrat mereka adalah murni dan seharusnya diberikan perhatian oleh orang-orang politik itu sendiri. Untungnya IT atau teknologi maklumat ini ialah mereka berada di mana-mana sahaja tetapi masih boleh berinteraksi diantara satu sama lain pada setiap masa. Tidak payah menghimpunkan mereka yang sudah tentu jika ini hendak dibuat banyaklah masalah yang terpaksa diatasi seperti masa, tempat, perjalanan, penginapan dan kewangan.

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada mereka yang telah berusaha mewujudkan medan-medan perbahasan tersebut di dalam Facebook. Merekalah orang-orang yang mencetuskan senario baru ini.

Oleh kerana liputan jalur lebar sudah pun hampir sampai ke tahap menyeluruh, saya yakin sebahagian besar orang-orang politik pun tidak mahu mensia-siakan manfaat darinya.

Jika tidak, mereka akan rugi kerana ketinggalan dari segi maklumat.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment