Saturday 24 September 2011

MD 11


MyDiary (11)
24/09/2011

Hari ini ialah Hari Simulasi Pilihanraya di DUN Semerak. Saya sendiri mengundi di Semerak. Begitu juga isteri saya. Pada PRU13 ini lima daripada anak-anak saya akan mula membuang undi juga. Mereka semua adalah pengundi-pengundi luar.

Cuaca hari ini amat baik. Saya telah ke pusat pembuangan undi dimana di situlah nanti saya dan isteri saya akan membuang undi. Semua kelima-lima anak saya pula akan membuang undi di pusat lain yang berhampiran.

Pada hari ini berkebetulan terdapat seorang rakan yang mengadakan kenduri kesyukuran kerana beliau dan isterinya akan ke Mekah tidak lama lagi. Oleh kerana itu, ramailah petugas-petugas pilihanraya olok-olok ini datang untuk menemui beliau sambil menjamu selera setelah penat bertugas.

Apabila saya sampai di sana, secara kebetulan juga saya menemui seorang orang kuat Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh yang memegang jawatan penting parti diperingkat Bahagian. Dari jauh saya telah disapanya dan bersungguh-sungguh meminta supaya saya mengambil makanan dan duduk disebelahnya.

Beliau berkata bahawa bukan mudah hendak berjumpa dengan saya kerana saya jarang-jarang dilihat keluar ke bandar Pasir Puteh. Kami pun berbuallah secara biasa tanpa sedikit pun menyentuh sebarang topik politik.

Beliau tahu bahawa saya telah banyak menulis artikel-artikel kritikan terhadap kepimpinan ketuanya tetapi beliau tidak pernah menunjukkan sebarang reaksi negatif terhadap saya setiap kali beliau terserempak dan berdepan dengan saya. Saya tidak tahulah apa perasaan sebenar beliau terhadap saya di dalam hatinya.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah baru minggu yang lepas saya ada menerima panggilan telefon dari seorang kawan baik saya di Kuala Lumpur yang merupakan kawan baik beliau juga. Kawan baik saya ini memaklumkan kepada saya beliau telah ditemui dan diberitahu oleh kawannya ini bahawa kawannya ini merasa terlalu amat marah terhadap saya kerana menulis kritikan-kritikan terhadap ketuanya di dalam blog.

Hari ini saya telah terserempak dengan beliau lagi tetapi tidak pula nampak beliau seperti mempunyai perasaan itu bahkan begitu ramah dan mesra dengan saya.

Saya harap beliau ikhlas sepertimana juga saya.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.    

No comments:

Post a Comment