Sunday 4 September 2011

SSPDS 87


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (87)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)
Hari ini berita Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh telah disahkan oleh Pengerusi Perhubungan sebagai Pengarah DUN Limbungan tersebar dengan pantas melalui internet dan telefon bimbit.
Semua orang mudah mendapat berita ini dan semua orang pun mudah faham. Oleh itu, saya rasa tidak payahlah saya membuat sebarang ulasan mengenai perkara ini. Yang penting ialah kerja-kerja secara berpasukan hendaklah terus dipergiatkan dari sekarang kerana masanya sudah tidak berapa ada.
Apabila saya menyentuh tentang kerja berpasukan, ianya hendaklah bermula dengan contoh yang seharusnya ditunjukkan oleh pucuk kepimpinan. Ketiga-tiga pemimpin utama harus menunjukkan kepada ahli-ahli di bawah bagaimana bekerja secara berpasukan. Mereka bertiga adalah guru kepada murid.
Seandainya mereka bertiga ini gagal dilihat bekerja secara berpasukan, mana mungkin ahli-ahli di bawah mampu melakukannya kerana mereka tidak diberikan panduan atau tunjuk ajar yang sewajarnya. Jika dipaksa juga, akan jadilah seumpama pepatah yang mengatakan ‘seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul’.
Saya menekankan sedikit tentang hal ini kerana unsur-unsur mereka bertiga ini tidak bekerja sebagai satu pasukan diperingkat kepimpinan sangatlah jelas dimata ahli-ahli sendiri. Kain rentang yang menjemput orang ramai hadir ke majlis raya didapati memaparkan gambar individu pemimpin Bahagian secara berseorangan. Ini sangat berbeza dengan kain rentang pemimpin parti PAS dimana mereka sentiasa menentukan bahawa gambar yang dipaparkan adalah gambar-gambar pemimpin mereka. Jika di peringkat DUN, gambar yang yang dipamerkan adalah gambar pemimpin DUN itu bersama dengan gambar orang-orang kanannya. Mereka tahu bahawa sebatang lidi tidak boleh menjadi sebatang penyapu. Dari pandangan orang ramai, sudah tentulah kain rentang ini pun sudah boleh memberikan bayangan bahawa mereka bekerja sebagai satu pasukan. 
Walhal, jika gambar di kain rentang pun berseorangan, sudah tentulah ianya memberikan bayangan yang sebaliknya.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
4 Sept 2011 / 6 Syawal 1432H
Semerak.  

No comments:

Post a Comment