Saturday 3 September 2011

SSPDS 85

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (85)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)
Kadang-kadang saya rasa nak ketawa sendirian kerana ada orang menuduh saya menulis ikut jumlah bayaran.
Saya sangat bernasib baik jika betul-betul ada orang yang sanggup membayar.  Sudah tentulah orang yang akan membayar itu adalah orang yang saya selalu kritik kerana beliau mahu supaya saya kurangkan kritikan saya terhadapnya. Setakat ini saya dah hasilkan lebih dari 150 artikel termasuk sebelum SSPDS. Banyaklah wang saya dalam bank kalau macam itu.
Ini semua tidak berlaku. Saya bukanlah penulis dengan nama yang ‘established’ seperti penulis-penulis lain. Saya bukan juga wartawan yang menerima bayaran daripada syarikat akhbar untuk rencana yang diterbitkan. Saya ialah seorang penulis amatur dan bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak atau organisasi. Saya menulis secara sukarela hanya sebagai hobi sahaja kerana minat saya yang mendalam dalam politik. Pengalaman saya sebagai Pegawai Perkhidmatan UMNO Bahagian serta tugas-tugas lain termasuk sebagai wakil calon pilihanraya dan juga Setia Usaha Cawangan mungkin sedikit sebanyak telah membolehkan saya menulis artikel pendek politik ini.
Apa pun, kita tidak boleh menyalahkan penulis yang telah menuduh saya itu. Ini adalah kerana ianya sudah menjadi budaya tebal dikalangan orang-orang UMNO bahawa apa sahaja kerja atau tugas yang hendak dibuat hendaklah terlebih dahulu dipastikan bayarannya. Pada masa dahulu budaya ini tidak wujud tetapi sekarang inilah yang menjadi sesuatu yang sangat dikejar-kejar oleh kebanyakan ahli-ahli UMNO atau pun setidak-tidaknya terpahat didalam pemikiran ahli-ahli yang lain.
Saya mula menjadi ahli UMNO pada tahun 1983. Sijil dengan nombor keahlian 592247 yang mengandungi tandatangan Dato’ Mohamed Rahmat Setiausaha Agong UMNO masih tersimpan.  Masa itu arwah ayah saya aktif dalam UMNO Pasir Puteh di bangunan lama (tingkat atas kedai makan Ah Fook) bersama rakan-rakan seperjuangannya yang lain seperti YBhg. Dato’ Hj. Mohd Idris, YM Dato’ Raja Mahmud, YBhg. Dato’ Hj. Wan Omar dan lain-lain. Masa itu tidak kedengaran sebarang unsur-unsur politik wang. Sebab itulah saya dapat bezakan era itu dengan era sekarang.
Selain daripada itu, penulis berkenaan mahukan supaya saya menulis tentang orang-orang lain juga bukan hanya memberikan tumpuan kepada seorang dua tokoh sahaja.  Saya ingin menjawab bahawa saya tidak berupaya untuk menulis tentang ramai orang. Saya harap ada orang lain yang boleh menulis tentang orang-orang lain itu.
Pada perenggan akhir penulis ini telah memberikan pandangannya bahawa kekalahan BN sebelum ini adalah disebabkan ramai ahli-ahli UMNO yang tidak setia kepada pucuk kepimpinan parti. Saya bersetuju dengan beliau dalam hal ini tetapi Seligi Alpha pernah berkata… "Mengkritik tidak bererti menentang. Memuji tidak semestinya menyokong. Menegur tidak bermakna membenci. Berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik. Pengalaman silam adalah pengajaran terbaik bagi yang ingin terus maju ke hadapan"
Saya tidak tahulah penulis itu dari era mana kerana beliau menggunakan nama samarannya sebagai “MalayMind”.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
3 Sept 2011 / 5 Syawal 1432H
Semerak.

1 comment:

  1. Alfatihah kepada mangsa, arwah Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, dan Nik Nur Fatin Izzati Nik Mohd. Noor, 15, semoga rohnya dicucuri rahmatNya. Amin.

    ReplyDelete