Wednesday 14 September 2011

MD 5


MY DIARY (5)
14/09/2011

Hari ini saya menerima kertas jemputan dalam bentuk ‘flyer’ ke Majlis Gelombang Merah Menyambut Kemerdekaan Ke 54 Dan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Pasir Puteh yang akan diadakan pada 16/09/2011 jam 8.00 malam bertempat di Perkarangan Stesyen Kereta Sewa Pasir Puteh. Program adalah anjuran Jawatankuasa Barisan Nasional Pasir Puteh.

Kertas itu berwarna ‘light blue’ melambangkan warna kebiasaan BN dengan aturcara majlis dicetak di belakang kertas.

Saya menerima kertas jemputan itu apabila saya hadir ke majlis hari raya di PDK Semerak pagi tadi. Yang menghulurnya ialah Penyelia PDK. Diantara AJK PDK yang hadir ialah Puan Wan Marzida Dato’ Hj Wan Omar dan Pn Hjh Rahmah atau lebih popular dengan panggilan ‘Ani Che Harun Kemas’ sementara saya ialah SU yang baru dilantik.

Pada pengamatan saya, tiadalah apa yang perlu diperkatakan tentang program ini kerana UMNO dan BN Pasir Puteh sememangnya berhak melakukan apa sahaja program yang dirasakan perlu sepertimana juga mana-mana parti politik lain. Sebagai seorang ahli parti, sewajarnyalah program seperti ini diberikan sokongan.

Kertas jemputan itu telah saya lekatkan di dinding berhadapan meja tulis saya supaya saya tidak terlupa. Tiba-tiba isteri saya telah datang dan bertanya ‘gambar yang di bawah sekali itu gambar Datuk Wan Najib ke?’. Pertanyaan itu telah dengan serta merta menarik perhatian saya lalu meminta beliau mengesahkannya kerana gambar dicetak secara luntur atau pudar. Isteri saya mengambil cermin matanya dan berkata betullah gambar itu ialah gambar Datuk Wan Najib. Beliau mampu mengecamnya kerana Datuk Wan Najib ialah gurunya sewaktu beliau bersekolah di SMK Kuala Besut.

Maka sahlah gambar itu ialah gambar Datuk Wan Najib.

Saya pun berfikir dan bertanya kepada diri sendiri mengapa gambar Pengerusi MCA Pasir Puteh tidak pula disertakan padahal MCA merupakan komponen BN sebaliknya digantikan dengan gambar Datuk Wan Najib? Tidakkah elok juga jikalau gambar pemimpin MCA dipaparkan sebagai tanda setiakawan dalam BN?  

Saya bertanya apakah tidak terlebih baik juga jika gambar-gambar Timbalan Ketua dan Naib Ketua dipaparkan di bawah gambar Ketua supaya dapatlah dilihat kepimpinan UMNO Bahagian pun sebagai sebuah pasukan? Mengapa mereka berdua ini tidak disertakan tetapi digantikan dengan gambar orang lain yang tidak pun memegang salah satu daripada tiga jawatan utama parti?

Saya bertanya soalan ini bukanlah kerana saya mempunyai apa-apa masalah dengan sesiapa tetapi sekadar ingin menegur dan memberikan pendapat. Walau pun perkara ini kecil, tetapi ianya boleh memberikan bayangan seolah-olah masalah yang pernah timbul baru-baru ini masih belum diselesaikan dengan berkesan.

Ini menandakan seolah-olah usaha pihak atasan meredakan perbalahan diperingkat pucuk kepimpinan Bahagian masih belum mencapai tahap yang boleh meyakinkan ahli-ahli dan ini juga menandakan bahawa perpecahan dikalangan ahli-ahli juga masih lagi belum ditangani secara bersungguh-sungguh padahal pilihanraya umum sudah semakin hampir.

Oleh itu, gambar Datuk Wan Najib tidak salah disertakan tetapi ianya menjadi janggal kalau gambar-gambar Timbalan Ketua, Naib Ketua dan Pengerusi MCA tiada.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment