Thursday 8 September 2011

MD 1


MY DIARY (1)
09/09/2011

Ada orang menghubungi saya melalui ruangan chatting dalam Facebook semalam meminta supaya saya menulis nama-nama mereka yang dianggap ‘orang KB’ (Ketua Bahagian).

Saya tidak tahu apa tujuannya.

Saya terus menjawab bahawa saya tidak tahu kerana saya tidak pernah menganggap mana-mana ahli UMNO yang separti dengan saya sebagai musuh peribadi saya. Saya berkata bahawa saya hanya sekadar mengkritik hal-hal yang bersangkutan dengan 'kepimpinan' sahaja bukan mengkritik peribadi sesiapa termasuk peribadi Ketua Bahagian. Sebab itu saya tidak kisah kalau apa yang saya tulis dalam blog saya itu tidak diambil kisah. Sikap yang saya ambil itulah sebenarnya yang membolehkan saya terus menulis dan menulis.

Dalam hubungan ini, saya ingin memberitahu para pembaca bahawa semua tulisan saya adalah semata-mata untuk kebaikan parti. Saya tidak ada niat lain kecuali itu sahaja. Saya juga tidak menganggap apa yang saya tulis patut dijadikan bahan untuk melaga-lagakan sesiapa jauh sekali untuk menjatuhkan kepimpinan Bahagian. Ketua Bahagian tetap Ketua Bahagian. Begitu jugalah yang lain-lain.

Sumbangan saya ini (jika pun boleh dianggap sebagai sumbangan) hanyalah kecil. Itu sahaja yang mampu saya lakukan untuk membantu parti. Sebab itu apabila saya diminta supaya menulis juga tentang orang-orang lain bukan setakat Kapt. (B) Wan Marzudi JP, YB Wan Hassan, Cikgu Azmi dan Datuk Kamarudin Md Nor sahaja, saya menjawab bahawa saya tidak mampu menyentuh atau menulis tentang lebih ramai orang. Saya memberitahu bahawa diharap ada orang lain yang boleh menulis tentang orang lain. Ini adalah kerana apabila kita hendak menulis tentang seseorang, kita hendaklah rapat dengan orang itu. Jika tidak, perkara yang ditulis berkemungkinan tersilap maklumat atau fakta.

Walau macamana pun, saya ingin membuat satu seruan kepada seluruh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh.

Bertenang dahulu buat sementara waktu. Jangan ada mana-mana pihak cuba menggunakan sebarang kesempatan untuk menambahkan ‘kekeruhan’ yang sedia ada. Pendirian peribadi setiap ahli masih tetap hak dan kepunyaan diri masing-masing tetapi usaha kearah membentuk satu pakatan kearah bekerja sebagai satu pasukan harus dipergiatkan dari sekarang demi pilihanraya yang semakin hari semakin hampir. Tinggalkan dan lupakanlah dulu buat seketika segala perbezaan pendapat atau pun pertelingkahan peribadi sesama kita. Semua kita tetap ahli UMNO yang seharusnya bekerja kearah satu matlamat. Sebuah pasukan bola hanya ada satu arah sahaja iaitu arah kedepan untuk menjaringkan gol ke dalam gawang lawan. Tidak pernah berlaku ada pemain dari pasukan yang sama membawa bola ke belakang untuk menyumbat bola ke gol sendiri melainkan kesilapan yang tidak disengajakan sahaja atau pun pemain itu tiba-tiba menjadi gila.

Oleh itu, peranan ahli-ahli biasa diperingkat akar umbi juga sangatlah penting untuk mencapai kemenangan yang dihajati. Bukan terletak pada pemain dihadapan sahaja tetapi semua pemain adalah penting sebagai sebuah pasukan walaupun pemain itu berada di posisi paling belakang seperti pemain pertahanan dan penjaga gol.

Jikalau pertelingkahan dibawa kedalam padang, sudah tentulah permainan akan menjadi kucar kacir dan pihak lawan akan pantas mengambil kesempatan untuk menewaskan kita walaupun sebenarnya pasukan kita yang lebih kuat.

Wisel Liga Piala Malaysia sudah bermula. Begitu jugalah wisel liga pilihanraya pun sudah bermula.

Inilah yang menyebabkan saya menukar tajuk tulisan saya bermula hari ini dengan ‘My Diary’ sambil mengambilkira nasihat dari seorang rakan karib saya di Kuala Lumpur iaitu Sdr. Riduan Junoh Ranhill supaya semua artikel saya yang lepas-lepas dibukukan dan memulakan siri baru.

Terima kasih Sdr. Riduan.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment