Thursday 22 September 2011

MD 10


MyDiary (10)
23/09/2011

Setiap hari saya memerhatikan pergerakan pendapat dan pandangan oleh setiap peserta dalam Facebook. Terdapat banyak medan yang dicipta tetapi yang paling popular ialah dua iaitu ‘P-28 Parlimen Pasir Puteh’ dan ‘PRU13 - P.28 PASIR PUTEH MILIK SIAPA???’ selain daripada ‘MAKMUR’ dan juga ‘MEJA BULAT NGO KELANTAN’.

Kedua-dua medan ini mendapat sambutan dan penglibatan para pengkritik dari semua peringkat. Walaupun ramai diantara mereka menggunakan nama-nama samaran tetapi hujah dan pendapat mereka boleh memberikan petunjuk bahawa mereka semua adalah orang-orang yang berpelajaran, matang dan berpengalaman.

Saya yakin orang-orang yang mencipta medan-medan ini terdiri daripada mereka yang bijak dan kreatif. Mereka terdiri daripada golongan orang-orang yang sangat mengambil berat tentang sebuah parti besar orang-orang melayu. Mereka sebenarnya orang-orang yang masih sayangkan sebuah parti melayu yang dipanggil UMNO walaupun kadang-kadang hujah mereka dilihat seperti menyanjungi parti PAS. Itu semua dibuat hanyalah sebagai hujah-hujah perbandingan sahaja.

Mereka semua adalah seperti saya juga. Mengkritik kerana sayangkan parti UMNO tetapi bukan menyayangi pemimpin-pemimpinnya sahaja. Mereka sayangkan organisasi itu bukan pemimpin itu. Mereka mengkritik hanya kerana mereka berpendapat bahawa orang yang memimpin itu tidak mahu memimpin dengan cara yang baik mengikut etika-etika sepertimana yang terkandung didalam perlembagaan parti. Mereka mengkritik kerana pemimpin-pemimpin itu mengamalkan kepimpinan secara suka hati mereka atau tidak mengambil tahu tentang orang-orang di bawah. Mereka mengkritik kerana pemimpin-pemimpin itu tidak mahu menjadikan kerja ‘turun padang’ sebagai sesuatu yang utama. Mereka mengkritik kerana mereka tidak rela melihat parti terus dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin seperti ini. Mereka mengkritik kerana tidak mahu kesan kepimpinan oleh pemimpin-pemimpin seperti ini akan mengakibatkan parti kalah dalam pilihanraya.

Sebaliknya mereka tetap memuji pemimpin-pemimpin yang ikhlas dan jujur.

Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini terjadi suasana kritikan terhadap UMNO Pasir Puteh seperti yang sedang berlaku sekarang. Kemudahan teknologi internet telah membolehkan orang ramai menggunakannya untuk tujuan seperti ini.

Sebab itulah saya berpendapat bahawa sesiapa yang dapat mengharungi cabaran kritikan yang hebat ini, maka beliau akan menjadi lebih matang dan berkemampuan. Itu pun jika seseorang pemimpin itu sanggup membetulkan semula apa-apa yang tidak betul. Jika tidak, pemimpin itu sudah tentu tidak akan dibiarkan memimpin lagi apabila sampai musim pemilihan yang seterusnya nanti.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment