Monday 5 September 2011

SSPDS 89


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (89)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)

Kematian dua orang remaja di Lagun Maut Semerak telah mendapat liputan meluas di dada akhbar-akhbar tempatan. Kejadian yang berulang-ulang setiap tahun ini telah memaksa pihak berkuasa membuat keputusan drastik menutup kawasan ini daripada kunjungan orang ramai berkuatkuasa serta merta.

Rata-rata telah menyokong tindakan sedemikian. Walau bagaimana pun, sebagai tidak menghampakan harapan orang ramai untuk datang berkelah dengan keluarga, mereka menyarankan supaya digantikan dengan kawasan baru yang berhampiran dengannya. Tempat baru ini hendaklah diadakan kemudahan-kemudahan asas yang sewajarnya seperti tempat meletak kenderaan, wakaf-wakaf atau pondok-pondok berteduh, warung-warung makan, tandas serta kemudahan rekreasi seperti tempat permainan kanak-kanak dan padang permainan. Jika ianya di pantai, mereka mencadangkan diletakkan seorang dua pengawal pantai terutama pada hari minggu atau cuti am. Jika pihak kerajaan tidak mempunyai peruntukan, MDPP bolehlah membangunkannya secara usahasama dengan pihak swasta.

Orang yang akan mengambil berat tentang usaha-usaha ini sudah tentulah YB Wan Hassan sebagai wakil rakyat DUN Semerak. Diharap perkara ini tidak menjadi panas hanya sehari dua sahaja.

Itu tentang kejadian dan kawasan yang terlibat serta usaha untuk mengelak kejadian yang sama berulang lagi.

Sekarang, kita hendaklah juga jangan terlupa kepada keluarga mangsa. Merekalah yang boleh dikatakan sebagai ‘pencetus’ kepada perubahan yang akan dilakukan oleh YB Wan Hassan dan MDPP. Pengorbanan mereka seharusnya dianggap tersangat besar nilainya walaupun mereka sendiri sudah tentu tidak mahu kejadian ini menimpa mereka. Jika MDPP betul-betul melakukan perubahan-perubahan di atas, sudah tentulah nama mereka sewajarnya dipahat di batu peringatan sebagai kenangan.

Untuk memberikan penghormatan kepada mereka ada berbagai-bagai cara. Jika tidak dapat menziarahi keluarga simati, cukup dengan ucapan-ucapan takziah. Jika boleh, kunjungilah rumah mereka sambil menderma. Untuk yang dimasukkan ke hospital, ziarahilah mereka.

Dalam hal berziarah keluarga malang seperti ini, sudah tentulah orang-orang yang memulakan siri kunjungan adalah para pembesar atau pemimpin politik sesebuah kawasan. Perkara sebegini adalah sesuatu yang lumrah di dalam masyarakat kita.
Contohnya, YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz MB telah membuat kunjungan ke rumah keluarga mangsa di Gong Datok semalam bersama dengan Tn Hj Yuganu Timbalan YDP PAS Kawasan Pasir Puteh. Begitu juga dengan YB Dato’ Nik Mazian ADUN Gaal yang mengunjungi mangsa-mangsa lain di Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh. Selain daripada beliau, YBhg. Datuk Hj Kamaruddin Md Nor juga telah melawat mangsa di HTA bersama dengan YM Tengku Aziz CIMB.

Mereka ini tidak pernah mengambil kira siapa mereka. Walaupun keluarga mangsa di Gong Datok itu terdiri daripada orang UMNO, YAB TGNA tetap mengunjungi mereka. Begitu juga dengan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh. Beliau melawat keluarga mangsa di HTA pun tanpa mengambil kira siapa mereka.   

Inilah suasana dan semangat yang diinginkan. Inilah juga diantara perkara-perkara yang selalu saya sebutkan supaya diambil perhatian oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Malangnya, mereka tidak begitu perihatin tentang hal-hal ini dan membiarkannya sahaja.

Saya tidak tahulah kalau-kalau kunjungan dibuat disebelah malam.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
6 Sept 2011 / 8 Syawal 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment