Wednesday 28 September 2011

MD 16


MyDiary (16)
29/09/2011

Teori memperkuatkan UMNO Bahagian dizahirkan melalui bermacam-macam pendapat. Ada itu ada ini. Orang politik berkata lain orang biasa berkata lain. Pasir Puteh tidak terkecuali daripada bahang berbagai-bagai pendapat oleh orang-orang politik dan juga yang tidak. Dalam Facebook sahaja, bermacam-macam ragam orang-orang luar dan dalam menyampaikan pendapat mereka.

UMNO Bahagian Pasir Puteh telah menjadi sangat popular. Semua pihak memberikan perhatian yang istimewa kepadanya. Walau bagaimana pun, yang popular ialah ketiga-tiga pemimpin utama Bahagian dan juga mereka yang disebut-sebut sebagai bakal calon-calon pilihanraya.

Dengan kerenah-kerenah tertentu dipihak Ketua Bahagian, UMNO Bahagian Pasir Puteh hampir-hampir berpecah dua. Namun, perpecahan ini telah dapat diatasi apabila tindakan pantas diambil oleh Pengerusi Perhubungan. Sekarang keadaan sudah hampir pulih seperti sediakala. Masing-masing sudah bersedia memperkuatkan semula barisan kepimpinan demi menghadapi pilihanraya yang semakin hampir.

Seorang Ketua Bahagian adalah pemimpin tertinggi diperingkat Bahagian. Tidak kiralah siapa yang memegangnya, jawatan itu seharusnya dihormati. Oleh itu, dari semenjak dahulu lagi maka Ketua Bahagian adalah orang yang selalunya menjadi calon parlimen. Manakala Timbalan dan Naibnya pula menjadi calon DUN.

Seseorang Ketua Bahagian juga sewajarnyalah menjadi orang yang paling banyak berurusan dengan pihak pusat. Maka sewajarnyalah beliau berada di Dewan Rakyat jika beliau menang dalam pilihanraya. Tidak kiralah samada beliau di sana sebagai seorang menteri kabinet atau pun tidak.

Saya melihat struktur inilah yang sepatutnya dipelihara yang sememangnya orang-orang dahulu sudah pun mengajar kita cara ini. Masa itu jika seseorang itu ialah ahli parlimen, sudah tentu beliau ialah Ketua Bahagian di tempatnya. Begitu jugalah jika seseorang itu ialah seorang Ketua Bahagian, sudah tentulah juga beliau ialah ahli parlimen kawasannnya.

Di Pasir Puteh pun, saya harap tradisi ini dikekalkan semula. Dengan cara ini, apabila seseorang itu hendak bertanding jawatan Ketua Bahagian, beliau seharusnya bersedia juga untuk bertanding pula dalam pilihanraya sebagai calon parlimen. Jika tradisi ini dipelihara, apabila sesiapa sahaja yang menang jawatan Ketua Bahagian itu, beliau sudah tentu akan terus memberikan tumpuan kepada kerja-kerja memenangkan partinya. Tiadalah lagi juga berlaku sebarang lobi melobi oleh lain-lain pihak untuk cuba mengetengahkan orang lain untuk menjadi calon parlimen.

Saya melihat perkara ini wajar diambil perhatian oleh pihak pengurusan tertinggi parti. Jika dirasakan wajar, pindaan harus digubal dalam perlembagaan parti supaya seseorang Ketua Bahagian itu diperuntukan keutamaan sebagai calon parlimen dalam pilihanraya kecuali beliau menolak dengan sukarela diatas sebab-sebab keuzuran atau lain-lain alasan yang munasabah.

Saya yakin jika ini dapat dipersetujui dan dicapai, unsur-unsur perpecahan di dalam parti tidak lagi akan menjadi sesuatu yang boleh melemahkan perpaduan dan semangat kerja berpasukan ahli-ahli UMNO secara keseluruhan.

Oleh

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment