Wednesday 21 September 2011

MD 8


MY DIARY (8)
21/09/2011

Bapa di rumah memerlukan sokongan ahli keluarga. Penghulu di kampong memerlukan sokongan orang-orang kampong. Penggawa di daerah memerlukan sokongan penghulu-penghulu. Ketua Jajahan memerlukan sokongan penggawa-penggawa.

Inilah bentuk kesatuan masyarakat dizaman dahulu dan inilah sahaja yang ada pada masa itu.

Sekarang ianya sudah berubah dengan amat ketara. Masyarakat melayu Kelantan sudah terbahagi kepada dua kesatuan. Satu ialah formasi untuk kerajaan pusat sementara yang satu lagi untuk kerajaan negeri.

Walau apa pun, masyarakat sekampung masih tetap bersama dalam kehidupan seharian. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa kerajaan pusat ialah BN dan kerajaan negeri ialah PAS. Sekurang-kurangnya buat pada masa ini.

Orang-orang Kelantan sudah menjalani kehidupan seperti ini selama 21 tahun. Satu jangkamasa yang boleh dikatakan lama.

Mereka masih tidak pasti berapa lama lagi mereka akan berada dalam keadaan ini. Mereka semua tahu bahawa sudah tentulah berada dalam satu formasi merupakan pilihan yang terbaik tetapi pada hari ini cita-cita seperti ini masih menjadi sesuatu yang agak sukar untuk dicapai. Orang-orang UMNO mahukan supaya kerajaan negeri diambilalih sedangkan orang-orang PAS  mahu kerajaan pusat yang diambilalih.

Saya tetap melihat bahawa kemungkinan kedua-dua golongan ini bersatu sebagai sesuatu yang seharusnya dijadikan agenda utama. Ini adalah kerana kalau pun berlaku sebarang pertukaran samada di peringkat pusat atau negeri, kedua-dua formasi ini tetap juga akan wujud secara berasingan jika tidak disatukan. Orang-orang UMNO tetap dengan UMNOnya dan begitulah juga orang-orang PAS tetap dengan PASnya.

Di Pasir Puteh, fenomena ini tidak berlaku hanya dalam konteks diantara dua parti besar orang-orang melayu sahaja. Fenomena ini sudah menular kedalam parti masing-masing juga dengar polar-polar sokongan yang berasingan.

Kedua-dua parti ini sedang menghadapi masalah ini. Yang membezakan mereka ialah kesan akhirnya. PAS lebih mampu untuk menyekat penularan ini apabila sampai masa pilihanraya tetapi UMNO kurang berdaya.

UMNO bukan sahaja tidak begitu mampu menyekat penularannya tetapi kesannya cukup mendalam disebabkan sikap kepimpinan yang dibelenggui oleh pengaruh pemimpin-pemimpin lama yang masih memainkan peranan secara tidak langsung. Ada pemimpin yang sudah berehat tetapi ada juga yang masih ‘mengaktifkan’ diri mereka walaupun sudah lama tidak memegang jawatan utama parti.
Apabila ini terjadi dan dibiarkan oleh kepimpinan parti itu sendiri, sudah tentulah penularan perpecahan menjadi semakin tidak terkawal walaupun seruan demi seruan dibuat.

Saya tidak tahulah samada selepas sesuatu seruan itu dibuat, usaha susulan dibuat juga untuk memastikan bahawa jurang perpecahan diperkecilkan. Saya tidak dapati usaha ini dibuat secara ‘aggressive’ atau bersungguh-sungguh oleh kepimpinan parti.

Oleh itu, jika formasi terhadap polar yang berbeza semakin bertambah dan kuat, saya berharap kepimpinan parti tidak akan menyalahkan ahli-ahli itu kerana ianya terjadi secara semulajadi atau ‘natural’ bukan dengan kehendak polar itu sendiri.

Kata-kata ringkas dalam bahasa Inggeris, ‘water finds its own level’ mungkin merupakan sesuatu yang ‘applicable’ dan mudah difahami maksudnya.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment