Tuesday 27 September 2011

MD 13


MyDiary (13)
27/09/2011

Ada orang tanya saya tadi macam mana suasana politik di Semerak sekarang. Saya kata sekarang saya sudah tidak menulis SSPDS lagi tetapi saya gantikan dengan 'MyDiary' ini pula yang tidak akan menyentuh hanya Semerak sahaja tetapi segala apa yang berkaitan dengan politik di mana-mana sahaja. Ianya mungkin kekal menjadi tajuk tulisan saya sampai bila-bila selagi saya mampu menulis.

Walau bagaimana pun, tumpuan saya sudah tentulah di Semerak kerana saya tinggal dan mengundi di sini.

Saya menjawab soalan kawan saya tadi itu dengan memberitahu beliau bahawa suasana di Semerak sekarang sama sajalah dengan lain-lain DUN di Pasir Puteh. Tenang sahaja selepas program Simulasi Pilihanraya tamat. Tidak ada isu-isu besar atau sensasi yang membolehkan orang ramai bercakap di kedai-kedai kopi. Orang-orang di pekan Semerak menjalani kehidupan mereka seperti biasa kebanyakannya bekerja makan gaji dan berniaga sementara orang-orang kampung bercucuk tanam dan membela ternakan. Orang-orang di pantai pula kebanyakannya bekerja sebagai nelayan atau memproses ikan.

Semerak adalah satu daerah tradisional. Sejak dari dahulu lagi tidak ada sebarang perubahan ketara. Orang-orang Semerak masih lagi mengharapkan Tok Bali dibangunkan segera secara ketara mengikut apa yang telah dirancang 20 tahun yang lalu. Orang-orang Semerak tahu bahawa jika Tok Bali dibangunkan mengikut perancangan asal, sudah tentulah daerah Semerak pun akan turut menerima tempias pembangunannya kerana kedudukannya yang hanya dipisahkan oleh sebatang sungai sahaja.

Beberapa bulan yang lepas, kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan usul penubuhan Perbadanan Pembangunan Tok Bali (PPTB). Ianya diwujudkan dengan tujuan supaya Tok Bali dibangunkan di bawah satu badan khas yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala perancangan pembangunan dan perlaksanaannya. Diantara pembangunan terbesarnya ialah sebuah pelabuhan pantai yang akan dibina oleh East Coast Terminal yang dikatakan menelan kos sebanyak RM10 bilion dengan jangkamasa pembinaannya selama 10 tahun. Kawasan yang terlibat ialah seluas 1,200 ekar sepanjang pantai Tok Bali termasuk sebahagian kawasan Bachok.

Projek mega ini akan menjadikan Tok Bali lebih-lebih lagi terkenal. Namun, apa yang lebih penting ialah peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan akan terbuka luas kerana sudah tentulah tenaga kerjanya amat ramai yang akan diperlukan. Mengikut sumber, pekerja mahir dalam kerja ‘welding’ atau kimpalan sahaja pun seramai 500 orang yang akan diperlukan. Begitu jugalah lain-lain peluang seperti bidang perniagaan untuk orang-orang tempatan.

Itulah yang sedang dinanti-nantikan oleh semua orang-orang Semerak buat pada masa ini. Mereka semua merasa sangat bertuah kerana menjadi warga Semerak. Mereka akan meminta supaya anak-anak mereka yang bekerja di luar negeri dalam sektor swasta supaya kembali bekerja di sini.

Walau macamana pun saya tidak mendapati projek ini hendak dilaksanakan sepertimana projek-projek mega yang lain. Sudah terdapat tanda-tanda ianya bermula tetapi tidak dilihat seperti hendak dimulakan sebagai sebuah projek yang besar. Selain daripada tiada papan tanda yang besar dan munasabah, tiada majlis pecah tanah dibuat secara besar-besaran sebagai tanda bermulanya projek ini dengan serious. Saya tidak tahulah kalau-kalau PPTB mahu membinanya secara diam-diam dan akan mewar-warkannya hanya setelah projek ini siap sepenuhnya nanti.

Apa yang saya harapkan ialah projek ini tidak dijadikan bahan utama kempen politik oleh mana-mana pihak. Jika ianya wajar dibina kerana ianya benar-benar ‘viable’, maka pembinaannya haruslah disegerakan tanpa sebarang sekatan oleh mana-mana pihak. Projek seperti ini tidak seharusnya dijadikan sesuatu yang hanya kerajaan negeri Kelantan sahaja banggakan disebabkan pembinaannya diuruskan oleh PPTB tetapi ianya hendaklah dijadikan juga sebagai projek kebanggaan kerajaan pusat. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama lain seperti kelulusan pelaburan, perlesenan dan sebagainya yang kuasanya berada pada pihak kerajaan pusat. Oleh itu, saya melihat mahu tidak mahu PPTB harus mempunyai hubungan kerja yang erat dengan kerajaan pusat.

Jika sebaliknya, orang-orang Kelantan khususnya orang-orang Semerak terpaksalah membuat penilaian semula pada pilihanraya umum ini nanti jika pembangunan Tok Bali masih mahu direalisasikan.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.     

No comments:

Post a Comment