Tuesday 6 September 2011

SSPDS 90


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (90)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)

Rata-rata ahli UMNO menyangka bahawa apabila Pengerusi Perhubungan mengekalkan semula atau ‘reinstate’ jawatan Hj Rujhan, semua pihak akan menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggap isu itu telah selesai.

Rupa-rupanya pada zahirnya sahaja suasana dilihat begitu. Pada hakikatnya, keputusan itu telah menghasilkan satu lagi konflik dalaman yang lebih serious.

Hari ini ahli-ahli UMNO bercakap bahawa KPPM-KPPM dan PPM-PPM telah diarahkan supaya mendapatkan tandatangan daripada Ketua-Ketua Cawangan sebagai protes terhadap kehadiran YBhg. Datuk Hj Kamarudin Md Nor (DKMN) di Pasir Puteh. Bentuk sebenar protes atau memorandum serta kepada siapa hendak dihantar tidak diketahui dengan jelas. Yang jelas ialah arahan itu telah dikeluarkan oleh Ketua Bahagian kepada KPPM-KPPM dan PPM-PPM.

Saya harap cerita ini tidak benar.

Jika ianya benar, inilah unsur-unsur yang boleh membawa kepada masalah yang lebih rumit. Walaupun isu perlucutan jawatan Hj Rujhan telah selesai tetapi isu yang menjelma ini akan bertukar menjadi krisis dalaman parti secara lebih meluas lagi. Krisis ini akan tetap dianggap ada kaitan langsung dengan Hj Rujhan kerana sememangnya beliau dianggap satu kem dengan DKMN.

Pada pandangan saya secara peribadi, perkara yang baru timbul ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Saya berkata begitu kerana tindakan Ketua Bahagian (jika benar) adalah satu tindakan yang boleh mengakibatkan ahli-ahli membuat tafsiran bahawa Ketua Bahagian tidak mahu lagi DKMN melibatkan diri langsung dalam politik di Pasir Puteh. Tindakan ini, oleh itu akan dirasai oleh DKMN seolah-olah beliau seperti diusir dan tidak langsung diperlukan lagi padahal beliau masih seorang ahli UMNO yang sah dengan hak-haknya sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan parti.

Dalam kaitan ini, terdapat dua kemungkinan dan persepsi. Yang pertama, apakah Ketua Bahagian sudah mengumpul bukti-bukti yang cukup dan kukuh bahawa sememangnya DKMN boleh dianggap sebagai ‘pengkhianat’ sehingga menjejaskan imej dan kestabilan parti maka beliau perlu diusir sebagai hukuman? Yang kedua, apakah jika pun DKMN akur dengan kemahuan Ketua Bahagian maka beliau akan keseorangan menerimanya?

Saya tidak berfikir ianya akan menjadi semudah mendapatkan tandatangan-tandatangan itu. Saya tidak yakin masalah ini akan dapat diselesaikan hanya dengan mendapatkan tandatangan-tandatangan itu.

DKMN ada rumah di Pasir Puteh dan mengundi pun di Pasir Puteh. Dalam tahun lepas beliau ada pula membeli sebidang tanah di Semerak untuk dimajukan. Sudah tentulah beliau akan sentiasa pulang ke Pasir Puteh seperti biasa. Kepulangannya itu sudah tentulah diketahui kawan-kawannya yang menyebabkan mereka datang berjumpa dengannya.  Apabila mereka berjumpa, sudah tentulah tajuk yang diperbualkan ialah tajuk politik kerana beliau ialah bekas seorang Ketua Bahagian. Kalau dalam bulan Ramadhan baru-baru ini, sudah tentulah beliau dijemput ke majlis berbuka kerana kawan-kawannya masih menghormati beliau. Saya rasa itu semua tidaklah salah dan tidaklah juga melanggari perlembagaan parti.

Itu sahajalah yang telah beliau lakukan selama ini semenjak jawatan Ketua Bahagian beralih tangan  Saya tidak pernah mendapati beliau melakukan sebarang kempen untuk dirinya kecuali terdapat sesetengah pihak yang cuba ‘mengada-adakan’ cerita sahaja.
Beliau juga tidak pernah didapati berkempen supaya ahli-ahli UMNO masuk PAS atau pun berkempen supaya ahli-ahli UMNO mengundi parti PAS dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Oleh itu, kepimpinan parti sepatutnya mula memberikan tumpuan kepada kerja-kerja sebenar yang lebih utama dan lebih penting iaitu kerja-kerja kearah memenangi PRU ke-13 ini. Bukan lagi sibuk dengan masalah yang remeh-temeh seperti ini.

Demikianlah harapan saya.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
6 Sept 2011 / 8 Syawal 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment