Sunday 2 October 2011

MD 18


MyDiary (18)
03/10/2011

Di Pasir Puteh telah timbul satu cerita baru yang agak panas.

YBhg. Datuk Hj. Kamaruddin Md Nor dituduh akan menyertai PKR tidak lama lagi.
Bukan sahaja lompat parti bahkan dikatakan akan memegang jawatan Ketua Bahagian parti ini dan sekaligus menjadi calon PR untuk kerusi parlimen Pasir Puteh dalam PRU ke-13 ini.

Cerita ini timbul secara tiba-tiba dalam masa beliau sedang aktif melakukan kerja-kerja ‘turun padang’ sebagai ahli UMNO. Selain daripada cakap-cakap kedai kopi, ianya telah dimuatkan juga di dalam Facebook laman “PRU13 - P.028 PARLIMEN PASIR PUTEH MILIK SIAPA???” oleh seseorang yang menggunakan nama samaran sebagai ‘Anih Tapi Benar Anih’.

Cerita ini telah mendapat perhatian berbagai pihak. Ada pihak yang menganggap cerita ini sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana mereka berkata jikalaulah Datuk Hj. Kamaruddin hendak masuk PKR, sudah tentu beliau telah lama melakukannya.

Ada juga pihak yang berkata bahawa cerita ini ialah sekadar propaganda oleh PAS dengan tujuan semata-mata untuk mencetuskan perbalahan dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri. Ini dilakukan kerana mereka menganggap bahawa hubungan diantara Datuk Hj. Kamaruddin dan Cikgu Awi masih lagi tidak baik. Dengan itu kesempatan diambil untuk cuba memanaskan lagi keadaan. Supaya dengan itu juga perpaduan dikalangan orang-orang UMNO akan menjadi semakin lemah dan boleh memberikan ‘advantage’ kepada mereka dalam menghadapi pilihanraya umum ini nanti.

Mereka berkata bahawa ini pun boleh dianggap sebagai strategi perang saraf yang dilakukan oleh PAS terhadap UMNO menjelang pilihanraya. Mereka melakukannya juga walaupun mereka sendiri tahu bahawa kerja seperti ini boleh mendatangkan dosa besar tetapi dianggap wajar dan halal hanya semata-mata kerana mahu mengekalkan kuasa politik mereka di Pasir Puteh. Selain daripada itu, mereka juga sebenarnya sudah merasa bimbang dan takut kepada UMNO kerana kekuatan UMNO Pasir Puteh sudah semakin pulih sejak akhir-akhir ini. Ahli-ahli UMNO yang selama ini bertelingkah sesama sendiri dilihat sudah mulai bercantum semula membina perpaduan dan kekuatan politik.

Itu pendapat dan pandangan sebahagian besar ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi. Terdapat juga segelintir yang memberikan pendapat dan pandangan yang sedikit berbeza.

Ada juga yang berkata bahawa didalam politik berbagai perkara boleh berlaku dan terjadi. Kes seperti ini tidak terkecuali.

Saya secara peribadi pula merasa bahawa kemungkinan pertama di atas itu sebagai sesuatu yang lebih masuk akal. Saya mengenali rapat Datuk Hj. Kamaruddin seawal tahun ‘70an lagi sewaktu beliau aktif sebagai Setiausaha Agung ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang beliau sandang dari tahun 1973 sehingga 1982 dan sebagai Representative for Asia & Pacific WAMY (World Association of Muslim Youth) yang beliau sandang dari tahun 1982 sehingga tahun 1988 yang beribu pejabat di Riyadh dan Jeddah. Sememangnyalah beliau merupakan orang yang paling rapat dengan DSAI sejak dari dalam ABIM dulu lagi yang beliau sama-sama tubuhkan tetapi beliau tidak lagi bersamanya apabila DSAI meninggalkan UMNO.   

Sebagai kawan rapat yang pernah bersama-sama di dalam ABIM dan WAMY termasuk juga di dalam UMNO, sudah tentulah kadang-kadang mereka berjumpa sekali sekala. Sesiapa pun begitu juga. Bahkan tokoh terbilang PAS Allahyarham Datuk Hj. Fadzil Noor sendiri pun pernah berkunjung kerumah beliau sebagai kawan sewaktu Allahyarham memegang jawatan Presiden PAS padahal pada masa itu Datuk Hj. Kamaruddin pula memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh. Pada masa itu Datuk Hj. Kamaruddin tinggal di rumah lamanya di Taman Berjaya, Greenwood Park, Gombak.

Walau apa pun, hujah-hujah saya ini tidak bermakna saya menolak terus segala kemungkinan lain. Saya hanya ingin menyampaikan pendapat peribadi saya kerana inilah yang telah selama ini saya lakukan apabila ada sesuatu yang membolehkan saya menulis.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment