Wednesday 26 October 2011

MD 29

MyDiary (29)
27/10/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sewaktu saya di Shah Alam dua hari yang lepas, saya terjumpa seorang kenalan lama dari Kota Bharu. Kami berbual seketika tentang anak masing-masing yang datang konvo. Selepas itu, beliau bertanya saya tentang perkembangan politik tanahair. Saya berkata bahawa saya bukan orang politik yang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik yang mampu memberikan jawapan yang memuaskan kerana saya hanyalah seorang ahli biasa dalam parti UMNO. Saya menjawab soalan beliau secara berterus terang kerana beliau ialah kenalan lama saya dan saya menyangka beliau pun ahli UMNO seperti saya juga kerana beliau ialah diantara orang terpenting sebuah persatuan kontraktor bumiputra Malaysia.

Apabila sahaja beliau mendengar jawapan saya yang sedemikian, beliau terus berkata bahawa menyokong sebuah parti seperti UMNO akan mengakibatkan kita ‘putus agama dengan Allah’ selain daripada ‘nabi tidak mengaku umatnya’. 

Saya merasa agak terkejut dengan kenyataan keras yang dibuatnya itu tetapi mampu menahannya kerana ingin mendengar lagi hujah-hujah selanjutnya. Katanya, parti UMNO sudah jelas tidak menyokong dan tidak mengutamakan Islam sejak dari saat penubuhannya lagi. Oleh itu, sesiapa yang menyertai parti ini sudah jelaslah juga bersubahat tidak menyokong Islam dan itulah yang menyebabkan orang-orang ini dianggap ‘putus agamanya dengan Allah’ dan ‘nabi tidak mengaku umatnya’.

Oleh kerana saya masih mahu menghormati beliau sebagai kenalan lama dan tidak mahu menunjukkan reaksi menentang, saya tidak berkata apa-apa yang agak keras dan bertentangan walaupun saya boleh. Saya terus berkata bahawa memanglah setiap individu Islam yang menjadi rakyat negara ini sewajibnya menyokong apa sahaja gerakan Islam yang ada termasuk jugalah parti PAS.

Namun, saya bertanya kepadannya apakah PAS sahaja yang perlu diberikan sokongan kalau seseorang itu mahu menyokong agama Islam? Beliau menjawab ya.

Oleh kerana jawapan beliau itu saya anggap sebagai sesuatu yang muktamad baginya, saya terus membawa beliau kepada soalan saya yang kedua yang saya yakin akan dapat membuatkan beliau tidak lagi mampu memberikan jawapan yang muktamad.

Saya berkata kepadanya bahawa saya sudah lama mahu menyertai PAS supaya dengan itu saya pun boleh juga memberikan sokongan kepada sebuah parti yang memperjuangkan agama Islam sepertimana yang didakwa beliau itu. Namun, setiap kali saya memegang pensel untuk memangkah semasa mengundi, saya terlihat bukan sahaja lambang bulan tetapi ada juga nama orang yang mewakili lambang itu. Nasib sentiasa tidak menyebelahi saya kerana berkebetulan pada setiap kali pilihanraya di tempat saya mengundi, orang yang mewakili lambang itu sentiasa merupakan orang yang terbukti tidak mempunyai rekod peribadi yang bersih.  

Saya pun terus bertanya kepadanya, apakah agama Islam membenarkan kita memberikan sokongan kepada seseorang seperti itu semata-mata dengan alasan hendak menyokong sebuah parti politik yang membawa dasar Islam?

Pada ketika inilah beliau dilihat menjadi agak serba salah. Dengan senyuman di mukanya yang bercampur tanda akur kepada saya, beliau lalu menggosok-gosok belakang saya dan berkata bahawa sayalah yang sepatutnya mengambil tempat itu.

Apalah lagi yang mampu saya berkata jika itulah pula alasannya?

Kenyataan terakhirnya itu tidak penting. Yang penting ialah unsur-unsur lama sedang cuba diterapkan semula kedalam masyarakat. Ianya tidak ubah seperti fesyen pakaian. Fesyen ‘bell-bottom’ tahun tujuh puluhan akan cuba dipromosikan semula pada tahun 2012 ini.

Saya tidak mahu memanjangkan isu ini kerana saya bukan pakar untuk menulis apa-apa mengenai agama. Saya bukan pelajar aliran agama dan bukan juga pelajar pondok yang mampu berhujah seperti pakar-pakar agama. Oleh itu, saya harap ada orang lain yang akan sudi menghuraikan isu ini secara lebih jelas dan mudah difahami.

Jangan dibiarkan sebarang percubaan oleh pihak parti PAS untuk cuba menggunakan semula isu seperti ini dalam usaha mereka untuk memepertahankan kuasa politik mereka. Buktikan bahawa memperalatkan agama untuk mempertahankan jawatan yang disandang mungkin masih boleh diterima alasannya secara sekular tetapi memesongkan aqidah adalah sesuatu yang keterlaluan.

Justeru, anggaplah MD 29 saya ini sebagai sesuatu yang datangnya dari orang yang bertanya.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.     

No comments:

Post a Comment