Thursday 6 October 2011

MD 21


MyDiary (21)
07/10/2011

Saya melihat suasana bekerja untuk menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 atau PRU13 lebih berpihak kepada PAS berbanding UMNO. Pihak kepimpinan PAS terutamanya di DUN Semerak dilihat semakin aktif menjalankan aktiviti-aktiviti ‘turun padang’. UMNO hanya dilihat menjalankannya sekali sekala sahaja seperti program simulasi pilihanraya baru-baru ini.

Wakil Rakyat PAS Semerak semakin mengurangkan masa tidurnya tetapi kepimpinan UMNO Semerak bukan sahaja tidak mengurangkannya bahkan tidak lagi nampak batang hidung mereka terutamanya Pengarah DUN sendiri.

Saya tidak tahulah apa sebabnya. Kemungkinan beliau tinggal jauh iaitu di Kota Bharu maka beliau tidaklah berkesempatan untuk datang menjengok kawasan ini selalu. Tambah-tambah lagi saya dapat tahu isterinya pun sudah lama sakit yang sudah sewajarnyalah beliau harus memberikan tumpuan yang lebih kepada isterinya sendiri.

Kita tidak boleh menyalahkannya. Malahan kita semua harus bersimpati dan berdoa semoga isterinya segera sembuh seperti sedia kala.

Namun, kerja politik harus diaktifkan terus. Kuasa dan tanggungjawab yang telah diserahkan kepadanya harus diteruskan oleh penolongnya. Jika tidak, sesuatu harus dibuat segera termasuklah menggantikannya dengan seseorang yang lain. Ini adalah kerana masa sudah tidak berpihak kepada kita. Kerja-kerja dan program harus dipergiatkan untuk parti. Masalah peribadi tetap masalah peribadi tetapi ianya tidak boleh dijadikan alasan sehingga parti tidak boleh bergerak dan seolah-olah tidak ada cara untuk mengatasinya.

Wakil Rakyat PAS semakin aktif. Setiap ada yang meninggal beliau sudah tentu ada di tempat itu awal-awal.. Beliau mempunyai orang-orangnya di serata kawasan yang akan sentiasa memaklumkan kepadanya jika ada sesiapa yang meninggal tidak kiralah orang yang meninggal itu orang PAS atau UMNO.

Beliau semakin aktif jauh mengatasi kepimpinan UMNO. Kadang-kadang orang-orangnya sendiri sudah pun tergamak mengkritik kepimpinan UMNO dalam hal ini walaupun tidak sewajarnya dibiarkan berlaku. Ini adalah kerana menziarah orang mati sememangnyalah tugas dan kewajipan seorang wakil rakyat jika beliau berkesempatan. Tidak seharusnya dibiarkan orang-orangnya sendiri melemparkan tuduhan terhadap kepimpinan UMNO kerana perbuatan seperti itu hanya mengundang dosa sedangkan Islam itu sendiri tidak mengajar umatnya supaya melakukan perbuatan seperti itu terhadap orang lain. Tidak menziarah pada hari kematian tidak bererti seseorang itu tidak akan pergi pada hari yang lain. Mungkin seseorang itu sibuk dan akan datang pada hari yang kemudian.

Namun, inilah sikap yang sentiasa diamalkan oleh orang-orang PAS apabila wakil rakyat mereka datang menziarahi orang UMNO yang meninggal. Mereka akan sentiasa mengambil kesempatan untuk menjadikan lawatan ini sebagai bahan kempen politik.  Mereka tidak sedar bahawa kegiatan wakil rakyat ini pun sudah dianggap keterlaluan jika mereka menjadikannya sebagai bahan kempen. Mereka tidak sedar bahawa kegiatan yang terlalu aggresif boleh mengundang kepada persepsi bahawa mereka sebenarnya sedang berada di dalam kekhuatiran dan kebimbangan terhadap UMNO yang semakin pulih dari segi perpaduan dan kekuatan.

Sebaiknya apa sahaja yang dibuat hendaklah dibuat secara sederhana sahaja. Jika orang UMNO yang meninggal, janganlah cuba menunjuk-nunjuk bahawa wakil rakyat PAS seolah-olah melebihi kepimpinan UMNO itu sendiri pula. Orang akan tahu kita tidak ikhlas tetapi semata-mata hendak menggunakan kesempatan untuk tujuan politik sahaja. Apa lagi jika dibiarkan orang-orangnya sendiri pula cuba merendah-rendahkan kepimpinan UMNO.

Oleh itu, kesederhanaan adalah sesuatu yang perlu diterapkan dan disegarkan semula oleh kedua-dua pihak kepimpinan baik UMNO mahu pun PAS. Elakkanlah unsur-unsur mengkritik yang keterlaluan dan tidak sesuai yang boleh menyentuh perasaan orang lain kerana usaha perpaduan di kalangan masyarakat Semerak harus diteruskan oleh kepimpinan kedua-dua belah pihak biarpun kita berbeza pendapat dalam hal-hal politik
.
Saya berdiri diatas dasar ini.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment