Wednesday 19 October 2011

MD 28

MyDiary (28)
20/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Tuan Hj Rujhan Hj Salleh adalah orang lama dalam parti yang telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin tulin UMNO. Dalam Pemuda, beliau merupakan orang yang telah meniti naik tangga kepimpinan politiknya sedari jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh hinggalah kepada jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan. Dalam Bahagian pula, sekarang beliau ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh iaitu orang nombor dua dalam saf kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian di bawah Cikgu Zawawi Othman selaku Ketua.

Saya tertarik untuk menulis sedikit tentang beliau kerana saya dapati beliau sangat kental menghadapi cabaran. Sepanjang penglibatan beliau sebagai pemimpin, dua pilihanraya umum sudah berlalu iaitu PRU11 (2004) dan PRU12 (2008) tanpa beliau dicalonkan. Kini, PRU13 akan menyaksikan beliau sekali lagi diduga samada beliau akan menjadi calon atau pun tidak.

Jarang berlaku orang yang memegang satu jawatan tinggi seperti jawatan Ketua Pemuda Negeri tidak dicalonkan tetapi Hj. Rujhan atau panggilan manja kawan-kawan ‘Mat Jihe’ tidak pernah merasa kecewa bahkan terus memberikan khidmatnya membantu parti tanpa menimbulkan sebarang masalah. Ini bererti beliau adalah seorang pemimpin UMNO sejati yang tidak mementingkan dirinya sendiri tetapi sentiasa meletakkan kepentingan parti dihadapannya. Beliau tidak kisah samada dicalonkan atau pun tidak kerana yang penting baginya ialah kemenangan parti dalam pilihanraya.

Sekarang, saya rasa masanya sudah sampai untuk beliau dicalonkan. Jika tidak, umur beliau akan lebih meningkat lagi dan ini sudah tentulah akan merugikan parti dan seluruh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Kita tidak mahu merugikan parti kita lagi dengan terus membiarkan beliau memimpin UMNO Bahagian sahaja padahal beliau terbukti mampu juga menjadi seorang wakil rakyat. 

Walaupun, terdapat bermacam-macam pendapat tentang beliau, saya masih menganggap beliau adalah orang yang paling layak sebagai calon di DUN Limbongan. Beliau adalah seorang yang terbukti sangat tabah dan penyabar dalam menempuh segala bentuk cabaran dan dugaan. Dengan pengalamannya juga, sudah tentulah beliau akan mampu menangkis segala bentuk tohmahan daripada parti lawan.

Saya harap ahli-ahli UMNO semua terutamanya saf kepimpinan UMNO Bahagian sendiri terus bersikap matang dan professional dalam menentukan dan menerima beliau sebagai calon PRU13 ini di DUN Limbongan. Apa yang telah berlaku sedikit sebanyak itu anggaplah sebagai asam garam kehidupan sebagai seorang pemimpin. Setiap pemimpin tetap akan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempuh seseorang itu memimpin sesebuah pertubuhan politik. Lagi tinggi seseorang itu menjawat jawatan, lagi banyak cabaran yang akan seseorang itu hadapi. 

Apa yang penting ialah kita masih separti.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment