Tuesday 4 October 2011

MD 19


MyDiary (19)
04/10/2011

Pada masa dahulu Ketua Cawangan dianggap lebih berkuasa dan lebih berpengaruh serta lebih tinggi kedudukannya didalam masyarakat berbanding PPM. Sekarang keadaan sudah terbalik. PPM pula dianggap lebih berkuasa dan lebih tinggi kedudukannya.

Persoalan yang timbul ialah mana satu yang betul diantara kedua-dua keadaan di atas itu dalam konteks UMNO?

Ada yang berkata bahawa Ketua Cawangan adalah orang yang lebih di atas tetapi ada juga yang berkata sebaliknya. Bagi mereka yang yang menyokong pendapat pertama, mereka berkata bahawa jawatan Ketua Cawangan adalah jawatan yang disandang oleh seseorang yang dibuat secara pemilihan didalam persidangan agung tahunan Cawangan setiap tiga tahun sekali atau mengikut tempuhmasa yang diarahkan oleh MT sedangkan jawatan PPM adalah jawatan perlantikan. 

Ketua Cawangan dianggap sebagai orang parti diperingkat akar umbi yang mempunyai pengaruh yang lebih besar didalam masyarakat ditempatnya. Beliaulah yang menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan hal-hal kepartian samada diperingkat Cawangan atau pun mewakili Cawangan secara sah diperingkat Bahagian. Beliau juga merupakan orang yang memberikan sokongan kepada orang yang hendak dilantik kejawatan PPM. Sebab itulah seseorang Ketua Cawangan dianggap berada lebih atas daripada PPM. Dengan itu juga, setiap gerakerja PPM yang melibatkan apa-apa aktiviti atau apa-apa keputusan yang hendak dibuat hendaklah terlebih dahulu dirujuk dan mendapat restu daripada Ketua Cawangan barulah keputusan itu dihantar kepada Bahagian.

Inilah bentuk dan tatacara urusan pada masa dahulu. Saya pun masih ingat sewaktu saya bertugas di pejabat UMNO Bahagian Pasir Puteh apabila Ketua Bahagian pernah menolak permohonan seorang ahli kerana tiada pengesahan dan sokongan oleh Ketua Cawangan di tempatnya walaupun PPM yang membawa borang itu sanggup memberikan jaminan peribadinya. Ketua Bahagian berkata bahawa beliau tidak boleh meluluskan permohonan itu selagi Ketua Cawangan di tempat ahli itu tinggal tidak menyokongnya terlebih dahulu.

Pada masa ini, suasana sudah berubah. PPM pula yang dilihat seperti lebih berkuasa daripada Ketua Cawangan. Ini jelas dapat dilihat apabila ada sesetengah PPM sudah berlagak sombong membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada Ketua Cawangan yang berkenaan bahkan kadang-kadang ada dilaporkan tidak langsung menghormati lagi status Ketua Cawangan.

Saya tidak tahu mengapa perkara seperti ini berlaku sekarang. Apakah PPM-PPM ini merasa bahawa mereka lebih istimewa dari segi kedudukan kerana mereka dilantik dan diberi elaun bulanan yang agak lumayan berbanding dengan Ketua Cawangan yang tidak mendapat apa-apa?

Sesuatu harus dilakukan dengan segera untuk memperbetulkan sikap dan persepsi ini supaya apabila menjelangnya pilihanraya umum ini nanti, kedudukan dan kuasa seseorang itu diletakkan ditempat asalnya semula dengan sewajarnya.

Barulah dengan itu orang ramai tidak lagi terus dikelirukan oleh PPM-PPM ini dan Ketua Cawangan pun mendapat tempatnya semula dihati orang ramai seperti dahulu.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.  

No comments:

Post a Comment