Monday 10 October 2011

MD 24

MyDiary (24)
11/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Apabila saya menulis ‘MDP, MKTBL’ dalam MD 23 saya yang lepas, saya harap ada dikalangan pembaca yang boleh meneka apa yang saya maksudkan dengan ringkasan itu.

Kontroversi telah timbul apabila saya berkata bahawa kekalahan BN dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu di Pasir Puteh adalah disebabkan oleh kelemahan UMNO sendiri bukannya disebabkan oleh kekuatan PAS. Saya telah menjalankan kajian tentang perkara ini. Jumlah ahli-ahli UMNO berdaftar jauh melebihi ahli-ahli PAS tetapi PAS masih mampu menang disebabkan undi protes yang diberikan oleh orang-orang UMNO.

Sekarang untuk menutup kelemahan ini, PAS Pasir Puteh cuba mewar-warkan seolah-olah mereka yang di atas pagar dan pengundi-pengundi luar akan balik memberikan sokongan kepada mereka pula. Sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai alasan bahawa kemenangan mereka yang akan datang ini bukan bergantung kepada undi protes sepertimana biasa mereka perolehi pada masa-masa yang lepas.

Mereka sebenarnya tidak mahu mengharapkan kemenangan dengan cara bergantung kepada undi protes daripada orang-orang UMNO seperti dahulu lagi. Ini adalah kerana mereka tahu bahawa orang-orang UMNO sudah semakin bersatu kembali untuk memberikan undi mereka kepada BN pada kali ini setelah merasai mereka tidak mendapat apa-apa faedah pun selepas mengundi PAS.

Saya tidak mahu menyebut secara berangka dalam hal ini kerana urusan ini terletak pada tanggungjawab pengurusan parti. Yang saya mahu tekankan di sini ialah betapa sudah sampai masanya seluruh ahli UMNO Pasir Puteh perlu bersatu dan bergabung tenaga untuk mengambilalih Parlimen dan kesemua DUN Pasir Puteh. Ini adalah semata-mata kerana itulah kewajipan asas sebagai seorang ahli UMNO terhadap partinya. Lebih baik mereka memberikan undi kepada BN yang mana UMNO menjadi tonggaknya berbanding parti lain kerana kerja memberikan undi kepada parti lain adalah kerja yang tidak pun juga memberikan sebarang untung kepada mereka. Mereka akan mendapat sedikit penghargaan sementara sahaja. Oleh itu, mereka perlu insaf dan sedar bahawa mereka perlu mengubah sikap pada kali ini. Jika kita seorang ahli UMNO maka undilah BN. Jika sebaliknya undilah parti lawan. Kalah menang adalah sesuatu yang biasa dalam pilihanraya tetapi ianya hendaklah kalah atau menang dengan cara yang betul bukan dengan cara menipu diri kita sendiri.

Kepada mereka yang bertugas nanti, hendaklah sentiasa menjalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan sopan serta bersungguh-sungguh. Jangan sekali-kali hanya memikirkan tentang habuan sahaja baru hendak bekerja tetapi hendaklah memikirkan tentang nasib masa depan orang-orang melayu terutama generasi kita yang akan datang.

Jika UMNO masih boleh dipertahankan, inilah sebuah parti melayu yang sudah diyakini dapat mempertahankan kuasa politik orang-orang melayu. Dalam BN, parti UMNO terus dominan berada di hadapan dengan diikuti oleh parti MCA dan MIC serta lain-lain parti komponen sedangkan parti PAS bukan begitu dalam PR. Dengan cara ini sahaja pun kita sudah boleh membayangkan apa yang akan terjadi kepada kuasa politik orang-orang melayu jika dibiarkan PR memerintah hanya disebabkan oleh kesilapan kita memberikan undi protes kepada mereka.

Saya bercakap dalam konteks parti sebagai sebuah organisasi politik bukan dalam konteks kepimpinan parti itu. Saya bercakap tentang UMNO yang harus dipertahankan oleh semua orang melayu untuk terus menerajui politik tanah air demi kesejahteraan negara, bangsa dan sekaligus agama. Pemimpin boleh ditukarganti tetapi UMNO harus dikekalkan berkuasa.

Dimana agama jika sekiranya orang-orang melayu sudah tidak boleh menguasai politik?

BERSATU   BERSETIA   BERKHIDMAT

Oleh

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment