Monday 10 October 2011

MD 23


MyDiary (23)
10/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Suasana perpaduan dikalangan seluruh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh semakin menampakkan tanda-tanda bahawa ianya akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Bermula dengan persefahaman dan kerjasama semula diantara pucuk kepimpinan iaitu diantara Ketua UMNO Bahagian dengan Timbalannya, usaha untuk menyatukan mereka berdua dengan Naib Ketua akan menyusul pula.

Mereka bertiga ini mesti dilihat betul-betul bersatu dalam ertikata yang sebenar dahulu barulah seluruh ahli-ahli di bawah akan turut bersatu juga. Mereka sudah lama menantikan saat dan ketika dimana ketiga-tiga mereka ini membuktikan kerjasama mereka. Selagi mereka tidak bersatu dan tidak mahu mengenepikan kepentingan diri serta ego masing-masing, selagi itulah seluruh ahli-ahli bimbang dan tidak yakin menghadapi pilihanraya umum yang akan datang ini. Mana mungkin ahli-ahli di bawah mahu bersatu dikalangan mereka jika ketiga-tiga pemimpin teratas itu sendiri pun tidak mahu bersatu. Seruan demi seruan oleh Ketua Bahagian akan hanya dianggap seperti mencurah air ke daun keladi.

Mereka bertiga hendaklah meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. Mereka bertiga hendaklah mengingatkan semula diri mereka bahawa mereka sedang menjawat jawatan yang telah diamanahkan oleh ahli-ahli. Mereka bertiga maka dengan itu hendaklah menunaikan tanggungjawab yang telah terpikul itu supaya harapan ahli-ahli tidak dipersia-siakan. Pada saat ini mereka bertiga hendaklah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerja-kerja memenangkan parti dalam pilihanraya umum yang akan muncul tidak lama lagi ini.

Ahli-ahli di bawah seperti saya tidak mempunyai sebarang prasangka berterusan terhadap sesiapa pun diantara mereka kecuali kritikan dan teguran supaya mereka memperbaiki kepimpinan mereka. Kami juga tidak ada sebarang kepentingan peribadi. Kami hanyalah ahli-ahli biasa yang hanya mahukan supaya BN memenangi pilihanraya ini. Kami semua akan tetap memberikan kerjasama penuh kepada pucuk kepimpinan parti kearah mencapai tujuan itu. Namun, kerjasama yang diberikan tidak akan membuahkan sebarang hasil jika sekiranya pucuk kepimpinan Bahagian sendiri pun tidak mahu bersatu.

Saya dengan ini menyokong penuh apa sahaja perancangan yang sedang dibuat oleh mana-mana pihak untuk menyatukan ketiga-tiga pemimpin teratas Bahagian ini. Apabila ketiga-tiga mereka sudah terbukti bersatu, ahli-ahli pula hendaklah bersedia untuk bersatu semula juga dan sama-sama berada di belakang ketiga-tiga mereka ini sebagai sebuah keluarga yang besar.

Kita seharusnya sentiasa ingat bahawa walaupun dalam sistem demokrasi kuantiti diambilkira, penyatuan dan perpaduan hendaklah terlebih dahulu diutamakan dikalangan kita. Jika ini dapat betul-betul dicapai, saya yakin BN PP akan mampu mengambil alih parlimen dan kesemua DUN-DUN dalam pilihanraya ini. Ini adalah kerana kemenangan dipihak PAS yang lalu bukanlah semata-mata disebabkan oleh kekuatan mereka sendiri tetapi disebabkan juga oleh kelemahan parti UMNO dari segi perpaduan ahli-ahlinya. Kesempatan demi kesempatan telah direbut oleh mereka selama ini untuk lebih melemahkan lagi perpaduan dikalangan ahli-ahli UMNO. Kita tidak boleh menyalahkan mereka tetapi kita sendirilah yang harus memperbetulkan diri kita sendiri dengan kesedaran bahawa sebenarnya kita lebih kuat dari mereka jika kita bersatu.

Pada pilihanraya kali ini, marilah sama-sama kita mengubah sikap dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri. Ketua UMNO Bahagian sendiri seharusnya memulakan langkah-langkah ini sebelum terlewat.

Jika tidak, padah kekalahan seperti yang lalu akan berulang.

MDP, MKTBL.

BERSATU   BERSETIA   BERKHIDMAT


Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.       

No comments:

Post a Comment