Monday 31 October 2011

MD 31

MyDiary (31)
31/10/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Hukum Hudud sekali lagi menjadi tajuk panas perbincangan dikalangan orang ramai terutamanya orang-orang politik. Malam ini pun satu program akan diadakan di DUN Limbongan oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Sudah tentulah pemimpin PAS akan terus bertubi-tubi mempertahankan hujah-hujah mereka sementara pemimpin UMNO pula bertubi-tubi menyerang balas hujah-hujah itu. Saya melihat senario ini sebagai sesuatu yang sebenarnya merugikan orang-orang melayu sendiri. Bertengkar dan berbahas tidak habis-habis tentang sesuatu yang saya anggap tidak sepatutnya diperbahaskan berlebih-lebihan kecuali dengan cara lain yang lebih baik iaitu dengan cara bermuzakarah secara kekeluargaan.

Saya berkata begitu kerana isu hukum Hudud tidak perlu sesiapa pun mempertikaikannya dari segi agama. Pihak PAS tidak perlu bercakap terlalu banyak hendak melaksanakannya sementara pihak UMNO pula tidak perlu berhujah terlalu banyak juga menentangnya.

Hukum tetap hukum. Sesiapa pun akan dianggap menentang agama jikalau sekadar terniat sahaja pun didalam hatinya mempertikaikan sesuatu hukum agama. Saya yakin semua pihak tahu dan akur tentang keperluan untuk tidak mempertikaikannya.

Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak didalam perkara ini secara mutlak. Saya bukan layak untuk berbuat demikian. Namun, saya ada kemampuan berfikir sebagai seorang manusia biasa. Oleh itu, saya mahu menyatakan sesuatu yang mungkin boleh menyumbang.

Pada saya, soal hendak melaksanakannya atau pun tidak bukanlah sesuatu yang penting kerana itu sudah menjadi tanggungjawab pihak yang memerintah melakukannya. Yang penting ialah orang hendak melihat apakah pihak yang hendak melaksanakannya benar-benar layak atau pun tidak.

Pada saya, yang menjadikan masalah ini berpanjangan dipihak PAS ialah kemampuan sebenar dipihak mereka. Bagimana hendak diharapkan perlaksanaan ini boleh dibuat dengan cara-cara sebagaimana hukum itu menghendakinya jika ada dikalangan pemimpin tertinggi parti itu sendiri pun tidak mampu diyakini rakyat? Apakah sekadar memegang jawatan-jawatan tinggi parti sudah melayakkan mereka membawa rakyat dengan cara yang dikehendaki agama sedangkan mereka sendiri pun mempunyai rekod peribadi yang meragukan?

Saya tidak melihat ada contoh dalam sejarah agama bahawa seseorang yang pernah melalui tempuh yang meragukan diberikan hak untuk memerintah atau menjadi pemimpin seperti itu. Saya melihat jika mereka benar-benar inginkan itu, mereka sepatutnya terlebih dahulu menunjukkan contoh-contoh yang baik dalam kepimpinan. Jika tidak, mereka masih boleh menunjukkan contoh-contoh yang baik juga dengan cara melepaskan jawatan politik mereka demi agama, bangasa dan negara apabila tingkahlaku mereka diragui. Ini tidak pernah berlaku. Bahkan orang yang pernah diragui itu terus diberikan peluang naik ke jawatan yang lebih tinggi didalam parti. 

Inilah sebenarnya sudut yang harus dipersoalkan. Bukan hukum itu sendiri tetapi orang-orang yang hendak melaksanakannya. Sebab itu, bagi saya selagi orang melayu berpecah dengan dua parti besar ini, selagi itulah bukan sahaja hukum Hudud yang tidak mungkin dapat dilaksanakan bahkan kuasa politik orang-orang melayu itu sendiri pun harus terlepas ketangan orang lain.

Justeru itu, sama-samalah berusaha untuk bersatu dahulu barulah difikirkan perkara-perkara seperti hukum Hudud atau pun sebagainya kerana itulah yang terlebih penting buat pada masa ini. Bagaimana hendak kembangkan agama jika kuasa politik orang-orang melayu itu sendiri pun semakin hari semakin goyah? Apakah istilah 'survival' sudah tidak relevan? 

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

No comments:

Post a Comment