Thursday 10 November 2011

MD 32


MyDiary (32)
11/11/11
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

UMNO Bahagian Pasir Puteh masih lagi tidak sunyi dengan kerenah orang-orang tertentu. Mereka merupakan orang-orang lama parti tetapi masih tidak sedar bahawa pilihanraya sudah semakin hampir. Mereka bersikap seolah-olah pilihanraya tidak akan diadakan. Bagi mereka yang penting ialah bagaimana hendak menjatuhkan pemimpin yang tidak disukai mereka. Ini disebabkan mereka masih berdendam diantara satu sama lain.

Apa sahaja yang dibuat oleh sesiapa pun dari sesuatu pihak masih tetap dipertikaikan oleh pihak yang lain. Walau pun kadang-kadang program yang hendak dibuat itu sudah jelas bertujuan membantu parti pun, program itu tetap juga dianggap sebagai program yang mempunyai udang disebalik batu.

Saya melihat orang-orang UMNO Pasir Puteh bukan sebenarnya ketandusan pemimpin yang berwibawa tetapi mereka ketandusan kemajuan pemikiran yang positif. Saya melihat mereka masih seperti kanak-kanak sekolah (walaupun berpelajaran tinggi) yang sentiasa ingin bermain dan bergurau dan kadang-kadang bila gurauan itu menjadi melampau mereka akan berkelahi sesama sendiri pula. Ini tidak banyak berlaku di dalam parti lawan PAS.

Saya tidak tahulah bagaimana pemimpin UMNO hendak menangani ahli-ahlinya ini. Yang saya tahu sudah agak banyak program-program dibuat tetapi tidak banyak kesan positif yang ditinggalkan. Ahli-ahli UMNO masih bercakaran sesama sendiri tentang perkara-perkara remeh tanpa sedikit pun merasa bahawa masa sudah terlalu getir untuk menghadapi pilihanraya. Mereka suka berbincang tentang siapa yang patut menjadi calon. Mereka berbincang tentang layak atau pun tidak orang itu atau orang ini. Seorang demi seorang mereka tampilkan. Kadang-kadang berpusing balik kepada orang yang sama. Ini pun jarang berlaku dikalangan orang-orang parti lawan PAS.

Saya merupakan diantara orang yang paling lantang menentang kepimpinan UMNO Bahagian pada waktu yang lalu. Sepatutnya saya terus menentang beliau kerana orang yang sama masih memimpin Bahagian. Namun, saya bukanlah seorang yang terlalu dibawa perasaan sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab saya sebagai ahli UMNO. Apabila pilihanraya sudah hampir saya tetap tahu dan sedar bahawa masa untuk mengkritik kepimpinan Bahagian sudah berlalu tetapi masa harus diisi pula dengan kegiatan menulis menyokong beliau kerana beliau tetap seorang ketua bagi parti.

Sokongan yang saya berikan berbanding dengan kritikan saya tempuh hari sudah tentulah bagi sesetengah orang melihatnya sebagai sesuatu yang agak pelik. Ada yang tergamak menuduh saya sebagai ‘dibeli’. Namun, saya tidak mengambil kisah semua itu kerana apa yang saya tahu, saya bukanlah orang yang seperti itu kerana saya menyokong semula beliau bukan bererti saya menyokong beliau secara peribadi tetapi sokongan saya adalah semata-mata sokongan kepada seorang Ketua Bahagian dan parti. Maknanya, siapa pun yang menjadi Ketua, saya tetap akan menyokongnya demi parti dan pilihanraya yang semakin hampir ini.

Saya harap sentimen berpuak-puak yang semua tahu tidak menguntungkan parti segera dihentikan oleh semua pihak. Jika tidak, lebih baik kita semua berehat saja dirumah bersama keluarga masing-masing untuk menanti tempuh lima tahun lagi dibawah pemerintahan dan kuasa parti lawan.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment