Wednesday 23 November 2011

MD 35

MyDiary (35)
24/11/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Saya melhat kemajuan kerja yang sedang dicapai oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh pada masa ini agak bertambah baik dan meyakinkan. Berbanding dengan pergerakan yang agak perlahan pada beberapa bulan yang lalu, pergerakan pada masa ini sudah dilihat laju dan tersusun.

Ketua Bahagian dilihat semakin hari semakin bersemangat mengepalai pasukannya dengan berbagai-bagai aktiviti ‘turun padang’ di seluruh daerah Pasir Puteh termasuk jugalah usaha-usaha berjumpa dengan pengundi-pengundi luar. Di belakangnya pula, jentera parti memberikan kerjasama rapat disemua peringkat kepimpinan.

Saya yakin jika momentum ini dapat dikekalkan, segala harapan yang telah diletakkan keatas bahunya tidak akan menjadi sia-sia sebagai harapan tinggal harapan. Apa yang diperlukan selebihnya ialah pengekalan komitmen oleh semua pihak lain di belakangnya. Semangat juang yang kental sudah tentulah modal perjuangan yang amat diperlukan pada saat-saat seperti sekarang kerana pilihanraya sudah semakin hampir.

Beliau dilihat agak ‘tahan lasak’ juga dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Sudah tentulah itu semua disebabkan oleh pengalaman yang telah beliau lalui dengan penuh sabar. Saya berkata bahawa beliau ialah seorang yang sangat penyabar kerana saya sendiri pernah mengkritik beliau dengan lantang dan bertubi-tubi tetapi beliau telah menerima segala kritikan saya itu dengan sikap dan hati yang terbuka.

Jarang terdapat orang yang boleh menerima kritikan-kritikan tajam seperti itu. Saya tidak tahu mengapa beliau mampu. Mungkin kerana saya ialah orang UMNO sepertinya juga.

Jika itulah yang menjadi asasnya, saya yakin beliau mampu juga menerima cabaran daripada orang yang bukan ahli UMNO.

Saya berkata begitu kerana buat pada masa ini, terdapat segelintir orang-orang tertentu yang sedang giat menjalankan aktiviti sulit untuk tujuan menjatuhkannya. Mereka terdiri daripada orang-orang yang sudah lama membuat perancangan itu sejak dari hari pertama beliau memegang jawatan Ketua Bahagian. Perancang utama gerakan ini tidak tinggal di Pasir Puteh tetapi mempunyai orang-orangnya di Pasir Puteh untuk membantu beliau. Sekali sekala beliau akan balik ke Pasir Puteh untuk tujuan berjumpa dengan orang-orangnya termasuk jugalah berjumpa dengan wakil rakyat parti lawan secara sulit.

Pada mulanya gerakan beliau tidak siapa pun tahu kerana beliau sering balik sebagai orang UMNO. Gerakan beliau mula dihidu apabila beliau melakukan satu kesilapan besar pada hari raya ke-3 Aidil Adha.

Orang bertanya mengapa beliau sangat inginkan Ketua Bahagian jatuh padahal beliau sendiri pun bukan ahli UMNO? Saya tidak mampu menjawab persoalan itu secara tepat tetapi terdapat dua andaian munasabah yang telah dibuat oleh orang ramai terhadapnya. Pertama, beliau bekerja untuk seseorang dari pucuk kepimpinan parti lawan negeri Kelantan. Kedua, beliau mempunyai cita-cita untuk menjawat satu jawatan tinggi di JPM. Oleh kerana beliau dapati Ketua Bahagian sekarang bukan orang yang boleh membantunya untuk dapatkan jawatan itu, maka seseorang yang lain hendaklah dijadikan bakal Ketua Bahagian. Orang itu adalah orang yang akan membantunya dapatkan jawatan itu melalui proses lobi politik.

Orang tidak kisah tentang cita-citanya itu. Yang menjadi perhatian ialah beliau sudah dianggap sebagai pengacau dan musuh dalam selimut kerana aktiviti yang dilakukannya secara penyamaran itu penuh dengan unsur-unsur memecahbelahkan perpaduan orang-orang UMNO Pasir Puteh.

Walau bagaimana pun, sebagai seorang Ketua Bahagian sudah tentulah latar belakang orang ini sudah dikenalpasti sepenuhnya dan pergerakannya diambil perhatian. Malahan, aktiviti kerosakan terhadap parti UMNO yang beliau lakukan itu mungkin sudah pun diketahui oleh pucuk kepimpinan UMNO negeri Kelantan sendiri. Mungkin juga tindakan sewajarnya akan disarankan untuk diambil terhadap sesiapa yang didapati berada di belakangnya, jika orang itu ialah orang UMNO.

Saya ingin mengakhiri artikel saya ini dengan pesanan kepada seluruh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh supaya teguh berdiri di belakang Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dan sentiasa berhati-hati terhadap anasir-anasir yang sedang menyuntik jarum kebencian terhadap pemimpin UMNO Pasir Puteh dengan cerita-cerita palsu rekaan mereka.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.        

No comments:

Post a Comment