Thursday 24 November 2011

MD 36

MyDiary (36)
24/11/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PKR akan meletakkan calonnya di Pasir Puteh untuk bertanding kerusi parlimen. Itulah desas desus yang diperkatakan. Semakin hari semakin kuat bunyinya. Sebagai pertukaran, PAS akan meletakkan calon mereka di Machang.

Saya tidak tahulah buat sementara ini betul atau pun tidak ianya akan berlaku seperti yang diperkatakan itu. Dalam politik segala-galanya boleh berlaku. Tiada apa yang mustahil kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Oleh itu, tiada apa yang salahnya jika parti itu meletakkan calonnya nanti di Pasir Puteh.

Yang salahnya ialah jika terdapat usaha-usaha untuk menarik orang-orang UMNO kepada parti itu atau pun sekurang-kurangnya menyokong parti itu dalam pilihanraya nanti. Yang lebih salahnya pula ialah cara dan kaedah yang dibuat itu bertentangan dengan etika perlembagaan parti UMNO terhadap orang-orang UMNO.

Saya berkata begitu kerana ada diperkatakan bahawa usaha yang dibuat itu adalah datangnya dari orang-orang UMNO sendiri. Usaha ini sedang dibuat secara sulit dan rapi oleh tenaga-tenaga yang dipilih oleh pihak-pihak tertentu. Buat sementara waktu ini, usaha yang dibuat ialah cuba mengelirukan ahli-ahli UMNO dengan cara melaga-lagakan mereka sesama sendiri. Apabila orang-orang UMNO ini berpecah dan tidak sependapat, maka mudahlah nanti orang-orang UMNO ini dipujuk supaya menyertai mereka kononnya mereka tiada lagi tempat di dalam UMNO.

Walaupun pihak utama yang merancangnya adalah orang-orang UMNO tetapi pihak yang aktif menjalankan kegiatan dakyah ini dikatakan menyamar sebagai ahli UMNO dan bercakap seperti orang UMNO. Pada hakikatnya, mereka bukan ahli UMNO.

Saya seterusnya mendapat khabar bahawa kegiatan mereka amat licik sehingga kepada tahap semakin hampir menembusi bilik maklumat pejabat UMNO Kuala Lumpur. Mereka perlu masuk ke sana dengan kerjasama orang di dalam kerana di situ terdapat banyak maklumat-maklumat penting yang mereka perlukan untuk tujuan merangka strategi politik mereka. Mereka juga dikatakan mempunyai rangkaian orang hubungan mereka di Pasir Puteh yang sentiasa menyalurkan setiap maklumat dari masa kesemasa. Orang-orang ini pun adalah orang-orang yang melakukan penyamaran yang licik sebagai orang UMNO. Mereka terdiri daripada orang-orang yang sangat bijak berkata-kata. Sebab itu tidak hairanlah jika seseorang yang berada di Kuala Lumpur itu tahu banyak perkara tentang UMNO Bahagian Pasir Puteh walaupun orang itu jarang pulang.

Saya dengan ini ingin menekankan sekali lagi bahawa orang-orang UMNO Pasir Puteh harus berwaspada dan bersatu dan jangan membiarkan sebarang anasir-anasir negatif menggugat perpaduan kita. Saya menganggap tulisan saya ini sekadar memberitahu sesuatu sebagai amaran awal terhadap kegiatan ‘subversive’ yang sedang dijalankan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk tujuan memecahbelahkan perpaduan parti dan menghancurkan UMNO Pasir Puteh.

Musuh dalam selimut adalah lebih bahaya daripada musuh yang nyata di hadapan. Mereka dahululah yang perlu dihapuskan.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.  

No comments:

Post a Comment