Tuesday 11 October 2011

MD 25


MyDiary (25)
12/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sekarang musim orang Islam naik mengerjakan haji ke Mekah. Di Pasir Puteh tidak kurang juga yang ke sana termasuk beberapa orang tokoh-tokoh politik dan orang-orang yang disebut sebagai berpotensi tinggi sebagai calon PRU ke-13 ini.

Suasana agak hening dan aman dengan masing-masing mengambil kesempatan untuk pergi berjumpa dengan mereka. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran ada yang tidak. Semua itu tidak penting kerana yang penting ialah berjumpa dan meminta ampun dan maaf sebelum berpisah serta berpesan kepada yang pergi itu supaya jangan lupa memohon doa untuk mereka juga di sana nanti. Mereka yang akan pergi ini dianggap sebagai sudah mendapat seru.

Semua orang Islam tetap bercita-cita hendak menunaikan rukun Islam yang ke-5 ini. Tinggal lagi mampu atau pun tidak. Kemampuan pergi dan balik serta cukup belanja dalam masa peninggalannya kepada sesiapa yang ditanggung nafkahnya seperti anak isteri dan lain-lain.

Suasana seperti ini harus dilihat sebagai suasana untuk sama-sama bertenang. Dalam masa mereka di tanah suci, kita di tanah air sewajarnyalah mengambil sikap untuk tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh menyentuh perasaan orang lain. Jika betul-betul ditakdirkan orang yang pergi ke Mekah itu menjadi calon sekembalinya nanti, maka sudah tentulah beliau mahukan supaya suasana berkempen dilakukan dengan cara yang sebaik mungkin dan bersopan.

Elakkanlah daripada membincangkan soal-soal yang menyentuh peribadi mana-mana orang. Jika soal itu dirasakan sebagai sesuatu yang harus diketengahkan demi kepentingan politik dan orang ramai seperti penyelewengan atau pun penyalahgunaan kuasa, itu pun masih juga tidak baik untuk diperbincangkan secara terbuka seperti di dalam kedai-kedai kopi atau dalam laman web internet seperti Facebook atau lain-lain. Apa yang perlu dilakukan ialah membawa kes itu ke muka pengadilan samada melalui saman mahkamah atau pun laporan kepada SPRM. Biarlah pihak yang berkuasa ini menggunakan undang-undang yang sah untuk menentukan samada orang-orang itu bersalah atau pun tidak.

Saya menyentuh perkara ini kerana saya telah mendapat tahu bahawa ada desas desus pilihanraya pada kali ini akan menyaksikan perkembangan yang sedemikian. Saya tidak bolehlah menyatakan dengan jelas di dalam tulisan saya ini kerana ianya bukan bidang dan minat saya untuk memperincikan sesuatu yang tidak jelas. Kepada mereka yang tidak berpuas hati itu, saya hanya ingin menyampaikan nasihat saya supaya perkara-perkara seperti ini janganlah dibuat main-main kerana menyentuh peribadi seseorang walaupun ianya ada kaitan dengan kepentingan politik dan orang ramai sekali pun, kita masih perlu berhati-hati kerana dikhuatiri ianya mungkin rekaan sahaja untuk menjatuhkan maruah seseorang. Atau pun ianya mungkin sudah terlalu digembargemburkan sehingga cerita asal yang lama sudah menjadi terlalu jauh daripada benar.

Jika ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa seperti ‘Abuse of Power (AP) atau ‘Criminal Breach of Trust’ (CBT), maka sewajarnyalah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkuasa itu. Kita seharusnya menunggu dan membiarkan pihak yang berkuasa itu sendiri menanganinya mengikut lunas undang-undang. Ini adalah lebih baik kerana orang yang membuat aduan atau laporan tidak akan diketahui oleh sesiapa.

Kita hanya berhak membuat aduan dan laporan, jika dirasakan perlu, tetapi tidak berhak membuat sebarang penghakiman secara terbuka untuk disebarkan kepada orang ramai. Apalagi untuk dijadikannya sebagai bahan kempen politik terhadap seseorang didalam musim pilihanraya nanti.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment