Friday 14 October 2011

MD 26


MyDiary (26)
14/10/2011
 (Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Isu wang RM2 juta semakin rancak dan panas diperbincang dan diperbahaskan di dalam Facebook. Mereka yang berbahas itu bukan terdiri daripada orang-orang UMNO sendiri sahaja tetapi disentuh dan dibahas juga oleh orang-orang PAS atau setidak-tidaknya penyokong-penyokong parti ini.

Ramai diantara mereka menggunakan nama samaran tetapi hujah mereka tetap membayangkan sikap mereka yang sebenar.

Mereka semua berbahas dan berbahas hampir setiap hari pagi dan petang tentang isu ini tetapi sampai hari ini tiada sebarang penjelasan yang dibuat oleh sesiapa. Mereka akan tetap mencari-cari penjelasan yang mereka mahukan selagi tiada sesiapa yang sanggup menampilkan diri untuk menjelaskannya. Mereka dilihat seperti mahukan kepastian tentang isu ini.  Kadang-kadang inilah yang membuatkan saya sendiri pun merasakan bahawa mungkin lebih baik isu ini diperjelaskan sahaja jika isu ini tidak lagi dapat dirahsiakan.

Kepimpinan UMNO Bahagian mungkin tidak mahu mengambil kisah tentang apa yang dipercakapkan. Mereka bersikap soal ini sebagai urusan dalaman parti yang tidak perlu dibuat sebarang penjelasan kepada orang ramai. Mereka bersikap bahawa jika permintaan dilayan, ianya boleh mendedahkan lagi mereka kepada pelbagai persepsi negatif terutama daripada phak parti lawan.

Saya bersetuju dengan sikap yang diambil itu. Namun, apakah dengan membiarkan orang ramai berterusan mempersoalkannya, ianya boleh memberikan kebaikan kepada parti? Dalam masa kita sedang berusaha keras menangkis berbagai-bagai tohmahan, apakah wajar isu seperti ini dibiarkan?

Isu kedua yang tidak kurang hebatnya ialah tentang siapa calon BN parlimen dan semua DUN-DUN di Pasir Puteh. Walaupun isu ini sememangnya tdak boleh juga dipersoalkan oleh sesiapa, namun kepimpinan UMNO Bahagian harus juga bijak menanganinya. Mereka juga ingin tahu siapa sebenarnya yang akan dicalonkan.

Dalam hubungan ini, saya melihat bahawa minat orang ramai ini sebenarnya bersesuaian dengan hasrat YAB Dato’ Seri Presiden sendiri yang mahukan supaya seseorang calon itu betul-betul terdiri daripada mereka yang dianggap ‘winnable’.  Oleh itu, tidak salah bagi mereka jika mereka mahukan supaya pendapat mereka diambilkira oleh kepimpinan Bahagian walaupun dengan cara meluahkannya di dalam Facebook sahaja.

Tidak salah juga bagi mereka jika contohnya, mereka tidak mahu orang-orang yang telah pun pernah kalah dalam pilihanraya umum yang lalu tidak disenaraikan lagi. Kali ini, mereka mahukan supaya mereka yang disenaraikan terdiri daripada muka-muka baru. Bukan muka-muka lama walaupun muka-muka lama itu sangat rapat dengan kepimpinan Bahagian sekali pun. Mereka berpendapat bahawa kekayaan peribadi atau pengalaman di dalam parti juga tidak semestinya dijadikan ukuran mutlak untuk melayakkan seseorang itu menjadi calon lagi kecualilah pengaruh mereka di akar umbi masih betul-betul kuat dan terbukti ‘winnable’. Mereka berkata bahawa pada kebiasaannya, orang-orang seperti ini tidak lagi diterima orang ramai dan mustahil boleh memberikan kemenangan kepada parti.

Oleh itu, muka-muka baru harus diketengahkan terutamanya bagi kerusi parlimen.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment