Friday 30 September 2011

MD 17


MyDiary (17)
30/09/2011

Konsep kesetiaan kepada parti bergantung kepada beberapa persepsi. Ada yang berkata kesetiaannya ialah kesetiaan kepada pemimpinnya. Ada juga yang berkata kesetiaannya ialah kesetiaan kepada organisasinya.

Kedua-duanya betul. Namun, bagi saya itu semua kurang penting. Apa yang lebih penting ialah kesetiaan kepada parti yang sebenar-benarnya melalui sikap dan tindakan. Namun, ada sikap yang jelas ada juga yang tidak. Ada tindakan yang dilihat bersesuaian dan ada juga yang tidak. Kedua-dua senario ini masih juga tidak boleh dinilai secara muktamad dan mutlak untuk menentukan apa-apa kerana niat sebenar seseorang itu tiada siapa yang tahu kecuali Allah Swt.

Kita boleh setia kepada parti dengan cara setia kepada pemimpinnya. Kalau diperingkat pusat, semua ahli dalam dan luar negara hendaklah setia kepada Presiden parti dan juga lain-lain yang bersamanya. Kalau diperingkat negeri, semua ahli dalam dan luar negeri hendaklah setia kepada Pengerusi Perhubungan dan juga lain-lain yang bersamanya. Kalau diperingkat Bahagian, semua ahli dalam dan luar daerah hendaklah setia kepada Ketua Bahagian dan juga lain-lain yang bersamanya. Akhir sekali kalau diperingkat Cawangan, semua ahli dalam dan luar mukim hendaklah setia kepada Ketua Cawangan dan juga lain-lain yang bersamanya.

Itu adalah bentuk dan cara setiap ahli setia kepada kepimpinan. Semua itu bolehlah dirumuskan juga sebagai kesetiaan kepada organisasi secara mutlak dan inilah tahap kesetiaan kelas pertama.

Walau bagaimana pun, kadang-kadang kesetiaan ini terganggu. Ahli-ahli diganggu dengan berbagai-bagai ragam khabar tentang orang-orang yang memegang jawatan kepimpinan itu. Ada khabar secara bertulis ada khabar secara percakapan. Ada khabar yang betul ada juga yang tidak. Semua itu menyumbang kepada banyak masalah jika tidak ditangani segera. Sejauh mana seseorang pemimpin itu boleh menghadapinya, bergantung kepada keupayaan serta tahap kesabaran yang dimilikinya. Ada pemimpin yang tahan ada juga yang tidak. Ada pemimpin yang tidak mengendahkannya ada juga yang melatah.

Untuk merumuskannya, saya berpendapat bahawa siapa yang memimpin sesebuah organisasi itu tidak penting. Yang penting ialah organisasi itu sendiri. Pemimpin sentiasa boleh ditukar ganti apabila sampai masanya dan kuasa memilih adalah ditangan ahli-ahli organisasi itu. Begitu jugalah UMNO. Pemimpin tidak semestinya kekal. Jika beliau adil dan bijak serta jujur, seseorang itu sudah tentu sentiasa diberikan mandat semula untuk memimpin lagi. Jika sebaliknya, ahli-ahli sudah tentu akan bertindak memilih orang lain pula apabila sampai masanya.

Oleh itu, janganlah dek kerana kita tidak mahu seseorang pemimpin itu memimpin, maka kita musnahkan keseluruhan organisasi itu. Kita hendaklah juga bersabar dan menunggu. Kadang-kadang seseorang pemimpin itu tidak semestinya salah sepanjang masa atau kadang-kadang kesalahan itu dibuat tanpa sengaja. Kita boleh maafkannya dan memberikan peluang yang secukupnya untuk beliau membetulkannya semula . Jika selepas ditegur, seseorang pemimpin itu masih lagi melakukan kesalahan atau kesilapan yang sama, maka baru itulah masanya ahli-ahli wajar mengambil tindakan keatasnya.

Dalam konteks UMNO Bahagian Pasir Puteh, ianya tidak terkecuali. Kepimpinannya mungkin ada melakukan kesalahan dan kesilapan. Ahli-ahli sentiasa memerhati dan menilai. Itu hak mereka kerana seseorang pemimpin yang memegang kuasa adalah sebenarnya dengan kehendak ahli-ahli itu bukan dengan kehendak pemimpin itu sendiri.

Oleh itu, buat pada masa ini marilah kita sama-sama memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap kerja-kerja persiapan menghadapi pilihanraya umum yang semakin hampir. Bermula dengan Ketua Bahagian sendiri yang selayaknya menjadi calon parlimen, sehinggalah kepada seluruh jentera yang telah diatur, semua pihak hendaklah memulakan langkah dengan semangat kerja berpasukan yang sejati untuk sama-sama menentukan supaya parti dapat dipertahankan untuk memerintah lagi negara selepas pilihanraya ini.

BERSATU  BERSETIA  BERKHIDMAT

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Wednesday 28 September 2011

MD 16


MyDiary (16)
29/09/2011

Teori memperkuatkan UMNO Bahagian dizahirkan melalui bermacam-macam pendapat. Ada itu ada ini. Orang politik berkata lain orang biasa berkata lain. Pasir Puteh tidak terkecuali daripada bahang berbagai-bagai pendapat oleh orang-orang politik dan juga yang tidak. Dalam Facebook sahaja, bermacam-macam ragam orang-orang luar dan dalam menyampaikan pendapat mereka.

UMNO Bahagian Pasir Puteh telah menjadi sangat popular. Semua pihak memberikan perhatian yang istimewa kepadanya. Walau bagaimana pun, yang popular ialah ketiga-tiga pemimpin utama Bahagian dan juga mereka yang disebut-sebut sebagai bakal calon-calon pilihanraya.

Dengan kerenah-kerenah tertentu dipihak Ketua Bahagian, UMNO Bahagian Pasir Puteh hampir-hampir berpecah dua. Namun, perpecahan ini telah dapat diatasi apabila tindakan pantas diambil oleh Pengerusi Perhubungan. Sekarang keadaan sudah hampir pulih seperti sediakala. Masing-masing sudah bersedia memperkuatkan semula barisan kepimpinan demi menghadapi pilihanraya yang semakin hampir.

Seorang Ketua Bahagian adalah pemimpin tertinggi diperingkat Bahagian. Tidak kiralah siapa yang memegangnya, jawatan itu seharusnya dihormati. Oleh itu, dari semenjak dahulu lagi maka Ketua Bahagian adalah orang yang selalunya menjadi calon parlimen. Manakala Timbalan dan Naibnya pula menjadi calon DUN.

Seseorang Ketua Bahagian juga sewajarnyalah menjadi orang yang paling banyak berurusan dengan pihak pusat. Maka sewajarnyalah beliau berada di Dewan Rakyat jika beliau menang dalam pilihanraya. Tidak kiralah samada beliau di sana sebagai seorang menteri kabinet atau pun tidak.

Saya melihat struktur inilah yang sepatutnya dipelihara yang sememangnya orang-orang dahulu sudah pun mengajar kita cara ini. Masa itu jika seseorang itu ialah ahli parlimen, sudah tentu beliau ialah Ketua Bahagian di tempatnya. Begitu jugalah jika seseorang itu ialah seorang Ketua Bahagian, sudah tentulah juga beliau ialah ahli parlimen kawasannnya.

Di Pasir Puteh pun, saya harap tradisi ini dikekalkan semula. Dengan cara ini, apabila seseorang itu hendak bertanding jawatan Ketua Bahagian, beliau seharusnya bersedia juga untuk bertanding pula dalam pilihanraya sebagai calon parlimen. Jika tradisi ini dipelihara, apabila sesiapa sahaja yang menang jawatan Ketua Bahagian itu, beliau sudah tentu akan terus memberikan tumpuan kepada kerja-kerja memenangkan partinya. Tiadalah lagi juga berlaku sebarang lobi melobi oleh lain-lain pihak untuk cuba mengetengahkan orang lain untuk menjadi calon parlimen.

Saya melihat perkara ini wajar diambil perhatian oleh pihak pengurusan tertinggi parti. Jika dirasakan wajar, pindaan harus digubal dalam perlembagaan parti supaya seseorang Ketua Bahagian itu diperuntukan keutamaan sebagai calon parlimen dalam pilihanraya kecuali beliau menolak dengan sukarela diatas sebab-sebab keuzuran atau lain-lain alasan yang munasabah.

Saya yakin jika ini dapat dipersetujui dan dicapai, unsur-unsur perpecahan di dalam parti tidak lagi akan menjadi sesuatu yang boleh melemahkan perpaduan dan semangat kerja berpasukan ahli-ahli UMNO secara keseluruhan.

Oleh

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

MD 15


MyDiary (15)
28/09/2011

Masalah ‘solidarity’ kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh nampaknya sudah mulai menuju kearah penyelesaian yang boleh meyakinkan semua pihak. Saya merasa amat gembira apabila mendapati semangat muafakat diperingkat kepimpinan sudah mulai menampakkan tanda-tanda ianya akan tumbuh semula dengan subur.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa apabila berlakunya insiden pemecatan Timbalan Ketua daripada jawatan Penyelarasnya tempuh hari, rata-rata ahli sudah seperti berputus asa. Perasaan itu menjadi reda sedikit apabila Pengerusi Perhubungan mengambil tindakan pantas campurtangan tetapi belum cukup untuk betul-betul meyakinkan ahli-ahli.

Hari ini, suasana semakin bertambah baik. Ianya terhasil barangkali diakibatkan oleh sikap Ketua Bahagian sendiri yang sudah mulai dilihat boleh menerima kepelbagaian sikap dan perasaan orang lain di dalam saf kepimpinan UMNO Bahagian itu sendiri.

Saya tidak mahu mengaitkannya dengan tulisan-tulisan saya yang lepas kerana apa yang lebih penting ialah masa untuk setiap orang memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab memenangkan parti dalam pilihanraya umum sudah sampai. Semua orang seharusnya mula bergerak sebagai sebuah pasukan terutama mereka yang memegang jawatan parti di dalam Bahagian. Semua orang harus mengetepikan segala persilisihan faham yang lalu demi parti. Jika ini dapat dicapai, kerisauan panjang ahli-ahli di Cawangan tidaklah lagi menjadi sesuatu yang melemahkan semangat mereka untuk bekerja dalam suasana perpaduan juga.

Saya dengan ini ingin menyeru supaya saf kepimpinan utama dan AJK Bahagian sendiri memulakan segera langkah-langkah mereka dengan cara yang dimaksudkan itu. Ahli-ahli di cawangan ingin melihat mereka membuktikan ikrar mereka sewaktu bertanding merebut jawatan dahulu bahawa mereka ingin membantu parti memenangi pilihanraya jika mereka menang jawatan yang ditandingi masing-masing itu.   

Saya bersama mereka sebagai ahli biasa.

Oleh

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

Tuesday 27 September 2011

MD 14


MyDiary (14)
28/09/2011

Semua pihak diperingkat pengurusan parti sebenarnya sedang sibuk dengan urusan mengatur calon-calon walaupun pada zahir suasananya senyap seolah-olah semua pihak berdiam diri. Masing-masing pihak ingin memastikan supaya calon-calon yang akan bertanding nanti adalah betul-betul yang boleh menang.

Di luar tidak nampak riaknya tetapi dalam Facebook suasananya sangat sibuk dengan berbagai-bagai pendapat dan andaian. Ada hujah yang munasabah tetapi ada juga hujah yang dibuat secara kiasan, gurauan atau sindiran.

Walau apa pun, sememangnya semua pihak sedang berdebar-debar untuk mengetahui siapa calon mereka. Tekaan demi tekaan dibuat dari masa kesemasa. Kadang-kadang ada juga usaha-usaha mendapatkan pendapat dengan cara memperlagakan seseorang yang dianggap bakal calon dengan lawannya dan ini boleh dilakukan hanya di dalam Facebook secara bebas.

Semua itu merupakan era baru. Sebelum ini tidak pernah berlaku perdebatan politik yang hebat dengan hujah-hujah ilmiah dan rasional seperti yang sedang berlaku di dalam Facebook. Namun, mereka semua bukanlah orang-orang yang memegang jawatan politik. Orang-orang yang memegang jawatan politik samada UMNO atau pun PAS, tidak pula menyertainya dan memainkan peranan kecuali seorang dua sahaja.

Saya tidak tahulah sejauh mana keberkesanan Facebook ini dalam menyalurkan pendapat dan cadangan orang ramai ini. Mereka semua sentiasa bertungkus lumus cuba menyampaikan sesuatu dengan cara itu. Hasrat mereka adalah murni dan seharusnya diberikan perhatian oleh orang-orang politik itu sendiri. Untungnya IT atau teknologi maklumat ini ialah mereka berada di mana-mana sahaja tetapi masih boleh berinteraksi diantara satu sama lain pada setiap masa. Tidak payah menghimpunkan mereka yang sudah tentu jika ini hendak dibuat banyaklah masalah yang terpaksa diatasi seperti masa, tempat, perjalanan, penginapan dan kewangan.

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada mereka yang telah berusaha mewujudkan medan-medan perbahasan tersebut di dalam Facebook. Merekalah orang-orang yang mencetuskan senario baru ini.

Oleh kerana liputan jalur lebar sudah pun hampir sampai ke tahap menyeluruh, saya yakin sebahagian besar orang-orang politik pun tidak mahu mensia-siakan manfaat darinya.

Jika tidak, mereka akan rugi kerana ketinggalan dari segi maklumat.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

MD 13


MyDiary (13)
27/09/2011

Ada orang tanya saya tadi macam mana suasana politik di Semerak sekarang. Saya kata sekarang saya sudah tidak menulis SSPDS lagi tetapi saya gantikan dengan 'MyDiary' ini pula yang tidak akan menyentuh hanya Semerak sahaja tetapi segala apa yang berkaitan dengan politik di mana-mana sahaja. Ianya mungkin kekal menjadi tajuk tulisan saya sampai bila-bila selagi saya mampu menulis.

Walau bagaimana pun, tumpuan saya sudah tentulah di Semerak kerana saya tinggal dan mengundi di sini.

Saya menjawab soalan kawan saya tadi itu dengan memberitahu beliau bahawa suasana di Semerak sekarang sama sajalah dengan lain-lain DUN di Pasir Puteh. Tenang sahaja selepas program Simulasi Pilihanraya tamat. Tidak ada isu-isu besar atau sensasi yang membolehkan orang ramai bercakap di kedai-kedai kopi. Orang-orang di pekan Semerak menjalani kehidupan mereka seperti biasa kebanyakannya bekerja makan gaji dan berniaga sementara orang-orang kampung bercucuk tanam dan membela ternakan. Orang-orang di pantai pula kebanyakannya bekerja sebagai nelayan atau memproses ikan.

Semerak adalah satu daerah tradisional. Sejak dari dahulu lagi tidak ada sebarang perubahan ketara. Orang-orang Semerak masih lagi mengharapkan Tok Bali dibangunkan segera secara ketara mengikut apa yang telah dirancang 20 tahun yang lalu. Orang-orang Semerak tahu bahawa jika Tok Bali dibangunkan mengikut perancangan asal, sudah tentulah daerah Semerak pun akan turut menerima tempias pembangunannya kerana kedudukannya yang hanya dipisahkan oleh sebatang sungai sahaja.

Beberapa bulan yang lepas, kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan usul penubuhan Perbadanan Pembangunan Tok Bali (PPTB). Ianya diwujudkan dengan tujuan supaya Tok Bali dibangunkan di bawah satu badan khas yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala perancangan pembangunan dan perlaksanaannya. Diantara pembangunan terbesarnya ialah sebuah pelabuhan pantai yang akan dibina oleh East Coast Terminal yang dikatakan menelan kos sebanyak RM10 bilion dengan jangkamasa pembinaannya selama 10 tahun. Kawasan yang terlibat ialah seluas 1,200 ekar sepanjang pantai Tok Bali termasuk sebahagian kawasan Bachok.

Projek mega ini akan menjadikan Tok Bali lebih-lebih lagi terkenal. Namun, apa yang lebih penting ialah peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan akan terbuka luas kerana sudah tentulah tenaga kerjanya amat ramai yang akan diperlukan. Mengikut sumber, pekerja mahir dalam kerja ‘welding’ atau kimpalan sahaja pun seramai 500 orang yang akan diperlukan. Begitu jugalah lain-lain peluang seperti bidang perniagaan untuk orang-orang tempatan.

Itulah yang sedang dinanti-nantikan oleh semua orang-orang Semerak buat pada masa ini. Mereka semua merasa sangat bertuah kerana menjadi warga Semerak. Mereka akan meminta supaya anak-anak mereka yang bekerja di luar negeri dalam sektor swasta supaya kembali bekerja di sini.

Walau macamana pun saya tidak mendapati projek ini hendak dilaksanakan sepertimana projek-projek mega yang lain. Sudah terdapat tanda-tanda ianya bermula tetapi tidak dilihat seperti hendak dimulakan sebagai sebuah projek yang besar. Selain daripada tiada papan tanda yang besar dan munasabah, tiada majlis pecah tanah dibuat secara besar-besaran sebagai tanda bermulanya projek ini dengan serious. Saya tidak tahulah kalau-kalau PPTB mahu membinanya secara diam-diam dan akan mewar-warkannya hanya setelah projek ini siap sepenuhnya nanti.

Apa yang saya harapkan ialah projek ini tidak dijadikan bahan utama kempen politik oleh mana-mana pihak. Jika ianya wajar dibina kerana ianya benar-benar ‘viable’, maka pembinaannya haruslah disegerakan tanpa sebarang sekatan oleh mana-mana pihak. Projek seperti ini tidak seharusnya dijadikan sesuatu yang hanya kerajaan negeri Kelantan sahaja banggakan disebabkan pembinaannya diuruskan oleh PPTB tetapi ianya hendaklah dijadikan juga sebagai projek kebanggaan kerajaan pusat. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama lain seperti kelulusan pelaburan, perlesenan dan sebagainya yang kuasanya berada pada pihak kerajaan pusat. Oleh itu, saya melihat mahu tidak mahu PPTB harus mempunyai hubungan kerja yang erat dengan kerajaan pusat.

Jika sebaliknya, orang-orang Kelantan khususnya orang-orang Semerak terpaksalah membuat penilaian semula pada pilihanraya umum ini nanti jika pembangunan Tok Bali masih mahu direalisasikan.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.     

Saturday 24 September 2011

MD 12


MyDiary (12)
25/09/2011

Saya telah menghasilkan sebanyak hampir 200 artikel politik. Sebahagian besarnya terdapat di dalam blog saya http://wanmalekwannoh-abelekrm.blogspot.com.

Kesemuanya adalah artikel-artikel pendek yang keseluruhannya menyentuh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Ada juga kadangkala saya menyentuh kepimpinan PAS Pasir Puteh tetapi itu hanyalah sekadar hujah-hujah perbandingan sahaja.

Saya akan terus menulis selagi saya menjadi ahli UMNO. Semua tulisan-tulisan saya akan mengandungi kritikan dan cadangan untuk UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Inilah untungnya jika kita tidak memegang sebarang jawatan parti. Jika tidak, saya sendiri pun tidak akan boleh menulis apa-apa kecuali puji-pujian.

Saya mengambil sikap untuk mengkritik kepimpinan UMNO Bahagian sahaja bukan kepimpinan diperingkat yang lebih tinggi kerana saya merasa bahawa setakat itulah sahaja yang saya mampu lakukan. Selain daripada itu, saya menganggap bahawa kekukuhan parti UMNO banyak bergantung kepada kukuhnya parti diperingkat Bahagian. Sebab itulah perwakilan Bahagian dipilih untuk seterusnya mengambil bahagian di peringkat perhimpunan agung.

Saya berkata bahawa saya akan terus mengkritik kepimpinan UMNO Bahagian selagi saya menjadi ahli UMNO. Ini bermakna bahawa saya akan mengkritik tanpa mengambilkira siapa yang akan menerajui Bahagian pada masa yang akan datang. Jika pun orang lain pula yang akan memimpinnya, saya akan terus mengkritik seperti biasa jika terdapat apa-apa yang dirasakan perlu dikritik. Ini bergantung kepada situasi serta keperluan.

Semua ini saya lakukan dengan dua sebab utama. Pertama, saya ingin lahirkan satu suasana dan budaya keterbukaan didalam UMNO Bahagian Pasir Puteh dimana ahli-ahli biasa akan merasa bebas untuk membuat kritikan terhadap kepimpinan. Sebab itu semua kritikan-kritikan saya itu sengaja saya zahirkan secara terbuka di dalam blog untuk tatapan ramai. Kedua, saya ingin lahirkan satu suasana bahawa kerja menawarkan diri untuk bertanding memegang sesuatu jawatan penting parti bukanlah seharusnya dijadikan sesuatu yang dikejar-kejar tetapi ianya hendaklah dianggap sebagai amanah yang sebenarnya berat untuk dipikul.

Oleh itu, kritikan secara terbuka adalah satu-satunya cara dan kaedah untuk mengawal mereka yang menang dan diberikan kepercayaan memegang jawatan parti terutama kepimpinan utama. Dengan itu juga, ianya boleh melahirkan suasana bahawa ahli-ahli UMNO berhak juga untuk menentukan sebarang keputusan parti secara tidak langsung bukannya kepimpinan sahaja. Mereka berhak menentukan keputusan melalui cawangan-cawangan dan pihak kepimpinan hanyalah sekadar menjalankan tugas dan amanah yang telah dimandatkan. Kepimpinan tidak berhak membuat keputusan semata-mata mengikut selera dan cita rasa mereka sendiri sahaja kerana parti adalah hak ahli-ahli atau orang ramai. 

Dengan ini, saya berharap kita akan kembali kepada suasana asal bahawa penglibatan seluruh ahli-ahli adalah ‘relevant’ didalam membuat keputusan sepertimana yang terkandung didalam perlembagaan parti termasuk jugalah hak mereka untuk mengkritik dan memberikan cadangan.

Supaya dengan itu juga, sesiapa yang memegang jawatan parti tidaklah lagi merasa terlalu bebas membuat keputusan sendiri yang kadangkala merugikan parti itu sendiri. Apalagi jikalau keputusan yang dibuat itu hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja termasuk dirinya sendiri.

Dengan cara ini juga diharapkan setiap kali diadakan pemilihan, mereka yang menang tidak merasa mereka mendapat ‘keistimewaan’ untuk dimegah-megahkan tetapi mereka merasa bahawa mereka hanyalah diberikan mandat untuk menjalankan tugas-tugas bagi pihak seluruh ahli-ahli mengikut perlembagaan parti.

Maka dalam kaitan ini, saya ingin membuat sedikit pengumuman bahawa besar kemungkinan saya akan mula mengajak kawan-kawan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipanggil ‘ Biro Aduan Politik’ khas untuk menerima segala aduan dan cadangan samada sulit atau pun tidak terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Segala aduan dan cadangan akan dihantar terus kepada pucuk kepimpinan parti diperingkat pusat dan juga negeri. Sebahagian besar ahli jawatankuasa adalah mereka yang aktif dalam Facebook dengan seorang ketua (sudah tentu bukan saya) yang tidak memegang sebarang jawatan parti kecuali ahli biasa sahaja.

Saya yakin bahawa ‘mechanism’ yang akan diwujudkan ini dapat membantu parti didalam mengawal secara berkesan segala tindak tanduk salah kepimpinan, jika ada. Sekurang-kurangnya ada badan ‘prefect’ yang sentiasa mengawas dan melaporkan.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

MD 11


MyDiary (11)
24/09/2011

Hari ini ialah Hari Simulasi Pilihanraya di DUN Semerak. Saya sendiri mengundi di Semerak. Begitu juga isteri saya. Pada PRU13 ini lima daripada anak-anak saya akan mula membuang undi juga. Mereka semua adalah pengundi-pengundi luar.

Cuaca hari ini amat baik. Saya telah ke pusat pembuangan undi dimana di situlah nanti saya dan isteri saya akan membuang undi. Semua kelima-lima anak saya pula akan membuang undi di pusat lain yang berhampiran.

Pada hari ini berkebetulan terdapat seorang rakan yang mengadakan kenduri kesyukuran kerana beliau dan isterinya akan ke Mekah tidak lama lagi. Oleh kerana itu, ramailah petugas-petugas pilihanraya olok-olok ini datang untuk menemui beliau sambil menjamu selera setelah penat bertugas.

Apabila saya sampai di sana, secara kebetulan juga saya menemui seorang orang kuat Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh yang memegang jawatan penting parti diperingkat Bahagian. Dari jauh saya telah disapanya dan bersungguh-sungguh meminta supaya saya mengambil makanan dan duduk disebelahnya.

Beliau berkata bahawa bukan mudah hendak berjumpa dengan saya kerana saya jarang-jarang dilihat keluar ke bandar Pasir Puteh. Kami pun berbuallah secara biasa tanpa sedikit pun menyentuh sebarang topik politik.

Beliau tahu bahawa saya telah banyak menulis artikel-artikel kritikan terhadap kepimpinan ketuanya tetapi beliau tidak pernah menunjukkan sebarang reaksi negatif terhadap saya setiap kali beliau terserempak dan berdepan dengan saya. Saya tidak tahulah apa perasaan sebenar beliau terhadap saya di dalam hatinya.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah baru minggu yang lepas saya ada menerima panggilan telefon dari seorang kawan baik saya di Kuala Lumpur yang merupakan kawan baik beliau juga. Kawan baik saya ini memaklumkan kepada saya beliau telah ditemui dan diberitahu oleh kawannya ini bahawa kawannya ini merasa terlalu amat marah terhadap saya kerana menulis kritikan-kritikan terhadap ketuanya di dalam blog.

Hari ini saya telah terserempak dengan beliau lagi tetapi tidak pula nampak beliau seperti mempunyai perasaan itu bahkan begitu ramah dan mesra dengan saya.

Saya harap beliau ikhlas sepertimana juga saya.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.    

Thursday 22 September 2011

MD 10


MyDiary (10)
23/09/2011

Setiap hari saya memerhatikan pergerakan pendapat dan pandangan oleh setiap peserta dalam Facebook. Terdapat banyak medan yang dicipta tetapi yang paling popular ialah dua iaitu ‘P-28 Parlimen Pasir Puteh’ dan ‘PRU13 - P.28 PASIR PUTEH MILIK SIAPA???’ selain daripada ‘MAKMUR’ dan juga ‘MEJA BULAT NGO KELANTAN’.

Kedua-dua medan ini mendapat sambutan dan penglibatan para pengkritik dari semua peringkat. Walaupun ramai diantara mereka menggunakan nama-nama samaran tetapi hujah dan pendapat mereka boleh memberikan petunjuk bahawa mereka semua adalah orang-orang yang berpelajaran, matang dan berpengalaman.

Saya yakin orang-orang yang mencipta medan-medan ini terdiri daripada mereka yang bijak dan kreatif. Mereka terdiri daripada golongan orang-orang yang sangat mengambil berat tentang sebuah parti besar orang-orang melayu. Mereka sebenarnya orang-orang yang masih sayangkan sebuah parti melayu yang dipanggil UMNO walaupun kadang-kadang hujah mereka dilihat seperti menyanjungi parti PAS. Itu semua dibuat hanyalah sebagai hujah-hujah perbandingan sahaja.

Mereka semua adalah seperti saya juga. Mengkritik kerana sayangkan parti UMNO tetapi bukan menyayangi pemimpin-pemimpinnya sahaja. Mereka sayangkan organisasi itu bukan pemimpin itu. Mereka mengkritik hanya kerana mereka berpendapat bahawa orang yang memimpin itu tidak mahu memimpin dengan cara yang baik mengikut etika-etika sepertimana yang terkandung didalam perlembagaan parti. Mereka mengkritik kerana pemimpin-pemimpin itu mengamalkan kepimpinan secara suka hati mereka atau tidak mengambil tahu tentang orang-orang di bawah. Mereka mengkritik kerana pemimpin-pemimpin itu tidak mahu menjadikan kerja ‘turun padang’ sebagai sesuatu yang utama. Mereka mengkritik kerana mereka tidak rela melihat parti terus dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin seperti ini. Mereka mengkritik kerana tidak mahu kesan kepimpinan oleh pemimpin-pemimpin seperti ini akan mengakibatkan parti kalah dalam pilihanraya.

Sebaliknya mereka tetap memuji pemimpin-pemimpin yang ikhlas dan jujur.

Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini terjadi suasana kritikan terhadap UMNO Pasir Puteh seperti yang sedang berlaku sekarang. Kemudahan teknologi internet telah membolehkan orang ramai menggunakannya untuk tujuan seperti ini.

Sebab itulah saya berpendapat bahawa sesiapa yang dapat mengharungi cabaran kritikan yang hebat ini, maka beliau akan menjadi lebih matang dan berkemampuan. Itu pun jika seseorang pemimpin itu sanggup membetulkan semula apa-apa yang tidak betul. Jika tidak, pemimpin itu sudah tentu tidak akan dibiarkan memimpin lagi apabila sampai musim pemilihan yang seterusnya nanti.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Wednesday 21 September 2011

MD 8


MY DIARY (8)
21/09/2011

Bapa di rumah memerlukan sokongan ahli keluarga. Penghulu di kampong memerlukan sokongan orang-orang kampong. Penggawa di daerah memerlukan sokongan penghulu-penghulu. Ketua Jajahan memerlukan sokongan penggawa-penggawa.

Inilah bentuk kesatuan masyarakat dizaman dahulu dan inilah sahaja yang ada pada masa itu.

Sekarang ianya sudah berubah dengan amat ketara. Masyarakat melayu Kelantan sudah terbahagi kepada dua kesatuan. Satu ialah formasi untuk kerajaan pusat sementara yang satu lagi untuk kerajaan negeri.

Walau apa pun, masyarakat sekampung masih tetap bersama dalam kehidupan seharian. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa kerajaan pusat ialah BN dan kerajaan negeri ialah PAS. Sekurang-kurangnya buat pada masa ini.

Orang-orang Kelantan sudah menjalani kehidupan seperti ini selama 21 tahun. Satu jangkamasa yang boleh dikatakan lama.

Mereka masih tidak pasti berapa lama lagi mereka akan berada dalam keadaan ini. Mereka semua tahu bahawa sudah tentulah berada dalam satu formasi merupakan pilihan yang terbaik tetapi pada hari ini cita-cita seperti ini masih menjadi sesuatu yang agak sukar untuk dicapai. Orang-orang UMNO mahukan supaya kerajaan negeri diambilalih sedangkan orang-orang PAS  mahu kerajaan pusat yang diambilalih.

Saya tetap melihat bahawa kemungkinan kedua-dua golongan ini bersatu sebagai sesuatu yang seharusnya dijadikan agenda utama. Ini adalah kerana kalau pun berlaku sebarang pertukaran samada di peringkat pusat atau negeri, kedua-dua formasi ini tetap juga akan wujud secara berasingan jika tidak disatukan. Orang-orang UMNO tetap dengan UMNOnya dan begitulah juga orang-orang PAS tetap dengan PASnya.

Di Pasir Puteh, fenomena ini tidak berlaku hanya dalam konteks diantara dua parti besar orang-orang melayu sahaja. Fenomena ini sudah menular kedalam parti masing-masing juga dengar polar-polar sokongan yang berasingan.

Kedua-dua parti ini sedang menghadapi masalah ini. Yang membezakan mereka ialah kesan akhirnya. PAS lebih mampu untuk menyekat penularan ini apabila sampai masa pilihanraya tetapi UMNO kurang berdaya.

UMNO bukan sahaja tidak begitu mampu menyekat penularannya tetapi kesannya cukup mendalam disebabkan sikap kepimpinan yang dibelenggui oleh pengaruh pemimpin-pemimpin lama yang masih memainkan peranan secara tidak langsung. Ada pemimpin yang sudah berehat tetapi ada juga yang masih ‘mengaktifkan’ diri mereka walaupun sudah lama tidak memegang jawatan utama parti.
Apabila ini terjadi dan dibiarkan oleh kepimpinan parti itu sendiri, sudah tentulah penularan perpecahan menjadi semakin tidak terkawal walaupun seruan demi seruan dibuat.

Saya tidak tahulah samada selepas sesuatu seruan itu dibuat, usaha susulan dibuat juga untuk memastikan bahawa jurang perpecahan diperkecilkan. Saya tidak dapati usaha ini dibuat secara ‘aggressive’ atau bersungguh-sungguh oleh kepimpinan parti.

Oleh itu, jika formasi terhadap polar yang berbeza semakin bertambah dan kuat, saya berharap kepimpinan parti tidak akan menyalahkan ahli-ahli itu kerana ianya terjadi secara semulajadi atau ‘natural’ bukan dengan kehendak polar itu sendiri.

Kata-kata ringkas dalam bahasa Inggeris, ‘water finds its own level’ mungkin merupakan sesuatu yang ‘applicable’ dan mudah difahami maksudnya.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

MD 9


MY DIARY (9)
21/09/2011

Pada masa ini terdapat satu tajuk panas dalam Facebook ruangan P-28 Parlimen Pasir Puteh yang dimuatkan oleh ‘Kulob Kecik’ pada 20/09/2011 jam 7.00pm yang menarik perhatian saya. Ianya berkenaan dengan beberapa soalan tentang Kapt. (B) Wan Marzudi Bin Dato’ Hj. Wan Omar, JP yang telah diajukan oleh ‘Cicak Karung’.

Berikut ialah sedutan pertanyaan-pertanyaan yang dimaksudkan itu.
Cicak Karung
*DUN SEMERAK ! KAPTEN (B) WAN MARZUDI* .... 'Calon mampu menang' bagi BN di
kerusi DUN Semerak?
1. Apakah jawatan yang pernah beliau pegang dalam UMNO Pasir Puteh..baik
dizaman Kamaruddin Mat Nor mahupun zaman Cg. AV?
2. Jika 'calon mampu menang' , kenapa untuk jawatan AJK Bahagian pun beliau
tewas?
3. Jika tiada restu UMNO Bahagian, adakah beliau punya 'JENTERA' beliau
sendiri untuk membantunya bergerak dalam seluruh kawasan DUN Semerak?
4. Apakah 'jasa dan budi' yang telah beliau lakukan di Pasir Puteh atau
Semerak khasnya? Adakah hanya bermodalkan 'sejarah' bapaknya? Sejauh mana
bapaknya masih ada 'jentera' untuk mengerakkan Wan Marzudi ?
5. Program yang mana beliau terlibat ataupun yang beliau 'modalkan'.....
adakah 'menyentuh' hati pengundi Semerak? Atau hanya setakat 'naik angin'
kerana di 'pong' oleh kaki Ringgit Malaysia (RM)? Atau pencari2 kesempatan?
6. Adakah hanya dengan 'program' yang diletupkan sejak setahun ini boleh
meletakkan beliau sebagai 'mampu menang'?
7. Kenapa YB Semerak, Wan Hassan lebih suka 'berlawan' dengan beliau
daripada Cg. AV di Semerak??? Adakah Wan Hasan 'rasa' lebih mudah untuk
beliau menang???

Soalan 1 :-
Kapt. (B) Wan Marzudi JP sebenarnya pernah juga memegang beberapa jawatan kecil di dalam UMNO Bahagian Pasir Puteh. Dari tempuh 2006-2009 beliau adalah AJK Bahagian DiLantik. Selain jawatan ini beliau memegang jawatan Pengerusi Biro Kebajikan Dan Bencana Alam UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Diperingkat Cawangan pula, beliau adalah Ketua Cawangan UMNO Semerak ‘A’ dari tahun 2000 hingga sekarang.
Beliau pernah juga dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Dato’ Hanifah Aman Timbalan Menteri Komuniti bagi pemilihan UMNO di Kelantan pada tahun 2006.
Soalan 2 :-
Kapt. (B) Wan Marzudi sememangnya pernah kalah dalam pertandingan AJK Bahagian. Walau bagaimana pun, beliau tetap dilantik juga oleh Ketua Bahagian pada masa itu iaitu Datuk Hj. Kamaruddin Md Nor.
Soalan 3 :-
Tidak ada keperluan baginya untuk membuat sebarang persediaan dalam konteks ini. Beliau sedikit pun tidak bimbang tentang perkara ini kerana beliau sentiasa berkata bahawa beliau tidak pernah pun bercita-cita untuk menjadi calon. Beliau percaya segala-galanya adalah ketentuan ilahi. Beliau akan ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji tidak lama lagi dan di sana beliau akan juga memohon ampun dan berdoa semoga Allah SWT memberikan petunjukNya.
Beliau tahu bahawa peranan Ketua Bahagian dalam perkara ini sangatlah besar. Sebab itu, walaupun beliau tidak dilihat bersama dengannya, ini tidak bermakna bahawa beliau menanam sikap ‘bermusuh’ dengannya.    
Soalan 4 :-
Tentang jasa dan budi beliau terhadap masyarakat Semerak, beliau tidak pernah menganggap apa sahaja yang disumbangkannya itu sebagai sesuatu yang harus diberikan penghargaan. Beliau menganggap segala jasa dan budi yang telah ditaburnya (walaupun sudah 11 tahun) itu hanyalah sebagai tanggungjawabnya terhadap masyarakat setempat dimana beliau dilahir dan dibesarkan.
Tentang jentera ‘bapaknya’ pula, itu juga tidak perlu beliau khuatir. Bapaknya sudah tua dan uzur, maka sewajarnyalah dibiarkan beliau berehat sahaja.
Soalan 5 :-
Sepertimana dalam jawapan saya di atas, peranan beliau didalam membantu masyarakat setempat adalah kecil dan dilakukan semata-mata sebagai seorang ahli UMNO biasa sahaja. Segala yang telah dibuat itu pula tidak ada kena mengena dengan sesiapa kerana beliau boleh membuat keptusan sendiri. Orang-orang yang dilihat berdampingan dengannya hanyalah sekadar kawan-kawan biasa dan bukan berperanan sebagai penasihat-penasihat. Beliau tidak pernah melantik sesiapa pun kerana beliau bukan memegang sebarang jawatan penting.
Soalan 6 :-
Beliau tidak pernah ‘meletupkan’ sebarang program hanya dengan tujuan untuk menjadi calon. Ini adalah kerana beliau sudah biasa menjalankan aktiviti-aktiviti sosial itu sudah sekian lama.
Soalan 7:-
Beliau tidak tahu menahu tentang hasrat YB Wan Hassan lebih mahukan beliau sebagai lawannya dalam pilihanraya yang akan datang ini berbanding Ketua Bahagian sendiri.
Sebagai kesimpulan, saya ingin mengajak para pembaca kepada satu keadaan dimana jikalaulah Kapt. (B) Wan Marzudi JP ini tidak pernah melakukan apa-apa berbanding dengan apa yang telah selama ini beliau lakukan, saya ingin bertanya manakah yang lebih baik?
Apakah lebih baik jika beliau duduk diam-diam dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk bantuan kepada sesiapa pun?
Atau apakah setiap kali beliau hendak menghulurkan bantuan, beliau terpaksa meminta izin daripada UMNO Bahagian Pasir Puteh terlebih dahulu?
Atau apakah sebenarnya ada orang-orang yang merasa khuatir tentang apa yang dibuatnya padahal apa yang dibuatnya itu hanyalah sesuatu yang kecil sahaja disisi masyarakat?
Inilah selalunya persoalan yang timbul daripada orang-orang UMNO Pasir Puteh setiap kali ada orang-orang UMNO lain seperti Kapt. (B) Wan Marzudi JP yang melakukan kerja-kerja kebajikan. Seolah-olah kerja-kerja kebajikan tidak diutamakan oleh UMNO itu sendiri.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Friday 16 September 2011

MD 7


MY DIARY (7)
17/09/2011

Semua orang memuji-muji Majlis Gelombang Merah Menyambut Kemerdekaan Ke 54 dan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Pasir Puteh yang telah berlangsung semalam di Pasir Puteh.

Ada yang memuji secara sederhana tetapi ada juga yang memuji melangit-langit. Ada yang memuji itu orang-orang yang hadir, ada juga yang tidak hadir. Ada yang memuji itu orang parti sendiri dan ada juga ahli biasa.

Biar sayalah yang mengkritiknya sedikit. 

Dalam puji memuji ini terdapat dua perkara yang menarik perhatian saya.

Pertama, jumlah kehadiran yang diperkatakan sangatlah rambang. Ada yang berkata 6,000 dan ada yang berkata 8,000. Saya ingin mengambil angka maksima iaitu 8,000.

Bagi saya kalau pun angka ini betul, ianya bukanlah satu angka yang harus dijaja dan dibanggakan kerana 8,000 / 64,393 (mengambil statistik 2008) = 12.4% sahaja. Bagi saya, peratusan yang sepatutnya dibanggakan ialah 30% atau 1/3 kerana majlis ini ialah majlis peringkat parlimen dan juga anjuran BN bukan UMNO sahaja.  

Kedua, saya tidak mendengar atau mendapati reaksi spontan daripada mana-mana ahli MCA. Ini mungkin disebabkan selain daripada gambar pemimpin mereka tidak dicetak di atas ‘flyer’, pemimpin ini pun tidak juga dijemput untuk berucap sepatah dua dalam majlis semalam padahal majlis itu dibuat di tengah-tengah Bandar Pasir Puteh.

Yang hendak saya puji ialah sikap kepimpinan UMNO Bahagian yang juga merupakan Pengerusi BN Pasir Puteh yang mulai memperlihatkan minatnya dalam membela golongan OKU. Diharapakan sikap dan kerja membela mereka ini dapat dipanjangkan lagi kerana ada ramai lagi yang tidak dapat hadir semalam.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

MD 6


MY DIARY (6)
16/09/2011

Saya ingin membuat sedikit tambahan kepada artikel saya yang lepas. Ianya sambungan kepada ayat saya yang terakhir Dalam artikel MD 3 saya yang bertarikh 11/09/2011  yang berbunyi…

“Oleh itu, saya mengakhiri kata-kata saya kepada mereka bahawa jika pun ditakdirkan  Kapt. (B) Wan Marzudi JP menjadi calon di atas tiket BN dan seterusnya ditakdirkan beliau pun menang, saya yakin YB Wan Hassan sendiri pun sudah bersedia untuk menerima beliau sebagai wakil rakyatnya pula kerana beliaulah orang pertama yang telah menyambut baik saranan dan usaha penerapan saya itu”.

Ayat ini telah ditafsirkan oleh YB Wan Hassan sendiri apabila beliau berkata di dalam laman Facebooknya bahawa… 

Wan Hassan Wan Ibrahim (12/09/2011 8.57am) dalam ruangan tajuk saya MD 3 :-
“Terima Kasih Abg Lek yang selalu menulis suasana politik DUN Semerak dan secara langsung saya dijadikan Ikon samada kritikan atau pujian yg boleh dijadikan terapi minda dengan olahan miskipun kritikan dan pujian bukannya indek kepada sokongan atau sebaliknya. Sepanjang 5 pilihanraya bermula tahun 1990 di DUN Semerak, dimenangi oleh Us Otman Wahab(PAS) ,1995 Hj Sulaiman Ahmad( PAS) 1999 Hj Husin Awang (PAS) 2004 KAmarudin Mohd Noor(BN) 2008 W Hassan W Ibrahim (PAS) Pilihanraya Kecil 1997 (Kamarudin Mohd Nor),konsep perpaduan yg cuba diterapkan oleh Abe Lek dialukan.tapi calon2 yg bertanding sudah tentu TIDAK BERSEDIA UTK KALAH , TULISAN YANG MENGELIRUKAN PERLU DIELAKKAN KERANA TAK PERLU ADA COBAAN UNTU MENG-SACRIFICE SESIAPA DLM ISU INI .Perpaduan YG NAK DITURAPKAN PERLU DALAM PARTI YANG SEDANG DALAM ICU. supaya kita tidak menjadi ketam dalam mengajar anak”.

Dan beliau menulis semula komen berikut selepas itu….

Wan Hassan Wan Ibrahim (12/09/2011 2.44pm) dalam ruangan tajuk saya MD 4 :-
seorang penulis yang baik akan terus menulis,walaupun kadang disalah tafsir,pembaca mempunyai pentafsiran sendiri dan punyai kepelbagaian.Ada yang mengkeritik,marah atau setuju semua ini adalah pencapaian atau merit kpd apa yang kita tulis... samada diperingkat diploma,sarjana muda,atau sarjana hingga keperingkat yang lebih tinggi ianya tak boleh dibeli walaupun kita mampu.Bloger yang punyai sifat tajdid (mendidik) tak perlu risau atau jauh hati sebab teguran bukan beerti benci malahan sebaliknya."berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu memberi menafaat kepada orang mukmin".Amin n maaf kalau tersinggung, Dari Hamba yng kerdil Ilmu dan sentiasa menghormati Abe Lek”.




Ulasan saya :-

Saya bukanlah bermaksud supaya YB Wan Hassan mulai bersedia dari sekarang untuk menerima Kapt. (B) Wan Marzudi JP sebagai wakil rakyat baru DUN Semerak. Saya hanya memberikan bayangan dan harapan sahaja supaya kemungkinan ini dapat diterima baik oleh beliau dan setiap orang-orang PAS. Saya juga tidak bermaksud untuk cuba mengelirukan sesiapa kerana dalam keadaan sekarang saya pun tahu bahawa keputusan sudah dibuat oleh setiap pengundi.

Saya tahu bahawa tiada siapa yang bertanding untuk kalah. Saya sekadar mengharapkan bahawa apabila pilihanraya selesai masyarakat Semerak kembali bersatu semula dalam kehidupan seharian mereka seperti biasa dan menerima sesiapa sahaja yang menang dan menjadi wakil rakyat.

Oleh itu saya nak ubah sedikit ayat… “saya yakin YB Wan Hassan sendiri pun sudah bersedia….” kepada ayat baru…saya harap YB Wan Hassan sendiri pun akan bersedia….”

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Wednesday 14 September 2011

MD 5


MY DIARY (5)
14/09/2011

Hari ini saya menerima kertas jemputan dalam bentuk ‘flyer’ ke Majlis Gelombang Merah Menyambut Kemerdekaan Ke 54 Dan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Pasir Puteh yang akan diadakan pada 16/09/2011 jam 8.00 malam bertempat di Perkarangan Stesyen Kereta Sewa Pasir Puteh. Program adalah anjuran Jawatankuasa Barisan Nasional Pasir Puteh.

Kertas itu berwarna ‘light blue’ melambangkan warna kebiasaan BN dengan aturcara majlis dicetak di belakang kertas.

Saya menerima kertas jemputan itu apabila saya hadir ke majlis hari raya di PDK Semerak pagi tadi. Yang menghulurnya ialah Penyelia PDK. Diantara AJK PDK yang hadir ialah Puan Wan Marzida Dato’ Hj Wan Omar dan Pn Hjh Rahmah atau lebih popular dengan panggilan ‘Ani Che Harun Kemas’ sementara saya ialah SU yang baru dilantik.

Pada pengamatan saya, tiadalah apa yang perlu diperkatakan tentang program ini kerana UMNO dan BN Pasir Puteh sememangnya berhak melakukan apa sahaja program yang dirasakan perlu sepertimana juga mana-mana parti politik lain. Sebagai seorang ahli parti, sewajarnyalah program seperti ini diberikan sokongan.

Kertas jemputan itu telah saya lekatkan di dinding berhadapan meja tulis saya supaya saya tidak terlupa. Tiba-tiba isteri saya telah datang dan bertanya ‘gambar yang di bawah sekali itu gambar Datuk Wan Najib ke?’. Pertanyaan itu telah dengan serta merta menarik perhatian saya lalu meminta beliau mengesahkannya kerana gambar dicetak secara luntur atau pudar. Isteri saya mengambil cermin matanya dan berkata betullah gambar itu ialah gambar Datuk Wan Najib. Beliau mampu mengecamnya kerana Datuk Wan Najib ialah gurunya sewaktu beliau bersekolah di SMK Kuala Besut.

Maka sahlah gambar itu ialah gambar Datuk Wan Najib.

Saya pun berfikir dan bertanya kepada diri sendiri mengapa gambar Pengerusi MCA Pasir Puteh tidak pula disertakan padahal MCA merupakan komponen BN sebaliknya digantikan dengan gambar Datuk Wan Najib? Tidakkah elok juga jikalau gambar pemimpin MCA dipaparkan sebagai tanda setiakawan dalam BN?  

Saya bertanya apakah tidak terlebih baik juga jika gambar-gambar Timbalan Ketua dan Naib Ketua dipaparkan di bawah gambar Ketua supaya dapatlah dilihat kepimpinan UMNO Bahagian pun sebagai sebuah pasukan? Mengapa mereka berdua ini tidak disertakan tetapi digantikan dengan gambar orang lain yang tidak pun memegang salah satu daripada tiga jawatan utama parti?

Saya bertanya soalan ini bukanlah kerana saya mempunyai apa-apa masalah dengan sesiapa tetapi sekadar ingin menegur dan memberikan pendapat. Walau pun perkara ini kecil, tetapi ianya boleh memberikan bayangan seolah-olah masalah yang pernah timbul baru-baru ini masih belum diselesaikan dengan berkesan.

Ini menandakan seolah-olah usaha pihak atasan meredakan perbalahan diperingkat pucuk kepimpinan Bahagian masih belum mencapai tahap yang boleh meyakinkan ahli-ahli dan ini juga menandakan bahawa perpecahan dikalangan ahli-ahli juga masih lagi belum ditangani secara bersungguh-sungguh padahal pilihanraya umum sudah semakin hampir.

Oleh itu, gambar Datuk Wan Najib tidak salah disertakan tetapi ianya menjadi janggal kalau gambar-gambar Timbalan Ketua, Naib Ketua dan Pengerusi MCA tiada.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Monday 12 September 2011

MD 4


MY DIARY (4)
12/09/2011

Saya tidak banyak mengkritik kepimpian PAS Kawasan Pasir Puteh kerana saya bukan ahli parti itu. Saya banyak menyanjung sebaliknya kerana hendak menyedarkan kepimpinan UMNO Bahagian tentang kemajuan kerja yang dilakukan oleh mereka.

Saya tidak menyentuh isu-isu peribadi kepimpinan PAS kerana saya tidak berminat melibatkan diri didalam perbahasan seperti ini. Begitu jugalah terhadap mana-mana individu kepimpinan UMNO Bahagian.

Saya tidak menyentuh isu-isu politik kerana saya tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi didalam perkara-perkara itu.

Saya tidak menulis tentang ramai orang kerana saya hanya kenal rapat beberapa tokoh sahaja.

Saya harap ada orang lain yang menjalankan tugas-tugas yang saya tidak buat itu. Saya hanya ingin memberikan tumpuan kepada kerja menulis pandangan, kritikan dan cadangan terhadap kepimpinan parti yang saya jadi ahlinya sahaja. Saya juga harap ada orang lain yang boleh menulis tentang orang-orang lain yang saya tidak menulis tentang mereka.

Dengan itu saya harap tiada lagi diantara pembaca blog saya yang bertanya mengapa saya tidak menulis tentang perkara-perkara yang telah saya sebutkan itu.

Masa ini adalah masa untuk memperkemaskan parti. Apabila kita bercakap tentang berkemas-kemas, ini bermakna bahawa seolah-olah semua peralatan sudah tersedia. Kalau di rumah, seorang isteri akan melakukan kerja-kerja ini dipagi hari dengan cara meletakkan segala perkakas di tempat asalnya semula dan menyapu lantai serta membuang habuk-habuk di perabut. Jika tetamu datang, rumah sudah bersih dan teratur.

Begitu jugalah sesebuah parti. Sekarang adalah masa ‘mengemaskan rumah’. Jika pilihanraya datang, parti sudah bersih dan teratur juga.

Ada rumah yang kelengkapan rumahnya terlalu banyak dan sesak. Ada rumah yang tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ianya bergantung diatas kemampuan ketua keluarga itu sendiri.

Begitu jugalah sesebuah parti. Ada Bahagian yang terlalu ramai ahli-ahlinya yang berminat untuk menjadi calon. Ada Bahagian yang kurang mempunyai ahli-ahli seperti ini.

Saya memilih untuk bersetuju dengan Bahagian yang ada ramai ahli-ahli yang berminat hendak menjadi calon. Suasana ini sebenarnya adalah satu suasana yang baik. Sejak dari awal lagi saya telah menulis tentang perkara ini. Bagi saya, sesiapa pun boleh menggalakkan diri untuk menjadi calon. Ini tidak salah dari segi perlembagaan parti. Sebab itu saya telah menghasilkan artikel yang bertajuk 'Kertas Cadangan 4' bertarikh 18 Sept 2009.

Apabila ramai orang yang berminat, mereka akan berlumba-lumba untuk memenangi perlumbaan. Saya melihat senario ini ada berlaku di Pasir Puteh. Apabila Cikgu Azmi dan Kapt. (B) Wan Marzudi JP contohnya, mula mempergiatkan diri mereka dengan usaha-usaha awal ‘turun padang’ mereka, terdapat beberapa individu lain dari kepimpinan Bahagian turut melakukannya juga. Mereka terdiri daripada orang-orang yang berfikiran positif bahawa kerja ‘turun padang’ adalah suatu aktiviti asas yang seharusnya dilaksanakan oleh setiap pemimpin parti pada setiap masa. Mereka juga adalah orang-orang yang berani menghadapi cabaran kerana faham bahawa setiap kerja baik yang dibuat sudah tentulah juga akan menghadapi rintangan dan cabaran daripada mereka yang berfikiran negatif.

Apa yang penting ialah kerja-kerja yang dibuat itu disukai oleh orang ramai kerana sudah tentulah mereka lebih ramai berbanding dengan jumlah kepimpinan Bahagian.

Suasana berlumba-lumba hendak menjadi calon sepatutnya diberikan galakan. Apabila sudah ramai, ianya akan menjadi sesuatu yang tidak akan mengakibatkan sesiapa diantara mereka merasa diperkecilkan lalu merajuk apabila sampai masanya mereka tidak terpilih. Sebab itu, semasa pertandingan diperingkat Bahagian sendiri pun, kita tidak dapati orang-orang yang bertanding diperingkat AJK Bahagian merasa terlalu kecewa jika kalah kerana jumlah yang bertanding adalah ramai. Kita sentiasa dapati orang yang kecewa adalah orang yang kalah bertanding diperingkat atasan sahaja kerana jumlahnya tidak ramai.

Walau pun begitu, ada caranya dimana mereka yang kalah diperingkat atasan itu boleh pula disatukan semula supaya ahli-ahli di bawah tidak berpecah.

Cikgu Azmi dan Kapt. (B) Wan Marzudi JP merupakan dua contoh terbaik di Pasir Puteh dari segi ‘berminat’ hendak menjadi calon. Walau pun mereka kadang-kadang dikritik hebat kerana didapati ada perkara-perkara yang agak janggal dibuat mereka tetapi itu semua telah dilalui dan ditangani dengan sebaik mungkin tanpa membuatkan sesiapa pun berkecil hati terutama kepimpinan Bahagian sendiri.

Perkara remeh-temeh itu tidak menghalang mereka meneruskan kerja-kerja ‘turun padang’.

Mereka berkata kepada saya bahawa sememangnyalah mereka tidak akan menolak jika ditawarkan untuk menjadi calon tetapi tidak akan sekali-kali merasa kecewa sehingga mengambil langkah-langkah untuk ‘sabotaj’ calon lain jika tidak terpilih. 

Itu jaminan mereka kepada saya.

Jaminan ini juga adalah untuk seluruh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh.



Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Saturday 10 September 2011

MD 3


MY DIARY (3)
11/09/2011

Ramai orang Semerak yang bertanya kepada saya samada dalam pilihanraya umum ini nanti akan berlaku pertembungan diantara Kapt. (B) Wan Marzudi JP dengan YB Wan Hassan atau pun tidak.

Saya menjawab bahawa saya tidak berkuasa untuk memberikan jawapan yang tepat.

Saya bertanya balik kepada mereka apakah mereka mahu atau pun tidak kedua-dua mereka ini bertembung?

Ramai yang senyum dan ada yang berkata sesuatu.

Diantara kata-kata yang diucapkan terdapatlah dua kenyataan dari dua orang yang telah menarik perhatian saya. Kedua-dua mereka adalah orang lama yang jauh lebih tua daripada saya tetapi masih gagah dan kuat bergerak kesana kemari. Kedua-duanya masih belum nyanyok, tidak pekak dan juga tidak berkurap yang boleh menyebabkan orang-orang lain tidak mahu mendekati mereka. Mereka juga tidak pernah memegang sebarang jawatan parti seumur hidup tetapi tidak pernah gagal keluar mengundi sejak dari zaman dahulu lagi.

Kenyataan pertama berbunyi… “ayahnya tidak pernah kalah dalam pilihanraya”

Dan

Kenyataan kedua berbunyi…. “Semerak selalu bertukar”.

Saya diam dan senyum memberikan tanda bahawa kenyataan-kenyataan itu sememangnya benar.

Namun, saya tidak mendiamkan diri terlalu lama kerana mereka sedang menunggu saya berkata sesuatu. Oleh itu, mahu tidak mahu saya terpaksa membuat sedikit komen berkaitan topik itu.

Saya berkata bahawa adalah tidak penting siapa lawan siapa. Bagi saya, yang penting ialah ‘perpaduan’ sesama kita di Semerak. Tentang siapa yang akan menang dan siapa pula yang akan kalah, itu adalah hak pengundi-pengundi termasuk kita semua untuk memilih apabila sampai masanya nanti.

Orang-orang Semerak hendaklah jangan terlalu terbawa-bawa dengan isu ini sehingga soal calon menjadi sesuatu yang memecahbelahkan masyarakat. Biarlah siapa pun yang jadi wakil rakyat, kita tetap menjadi satu masyarakat yang bersatu padu dalam kehidupan seharian.

Saya berkata bahawa saya telah mulakan sesuatu yang mempunyai kelainan di Semerak iaitu usaha-usaha untuk menerapkan kefahaman masyarakat terhadap seorang wakil rakyat. Seorang wakil rakyat seharusnya diterima oleh semua orang sebagai seorang wakil rakyat walaupun sewaktu pilihanraya beliau bertanding diatas tiket yang berlainan parti. Usaha ini telah saya mulakan dengan kerjasama wakil rakyat yang sedia ada untuk dijadikan contoh kepada DUN-DUN lain. Walaupun kesannya belum menampakkan hasilnya secara ketara, saya tetap dengan pendirian saya bahawa bermulanya orang menerima sesuatu adalah dengan bermulanya sesuatu dari seseorang.

Oleh itu, saya mengakhiri kata-kata saya kepada mereka bahawa jika pun ditakdirkan  Kapt. (B) Wan Marzudi JP menjadi calon di atas tiket BN dan seterusnya ditakdirkan beliau pun menang, saya yakin YB Wan Hassan sendiri pun sudah bersedia untuk menerima beliau sebagai wakil rakyatnya pula kerana beliaulah orang pertama yang telah menyambut baik saranan dan usaha penerapan saya itu.  

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Friday 9 September 2011

MD 2


MY DIARY (2)
09/09/2011

Saya dapati kerja ‘timbuk-menimbuk’ dalam Facebook sangat digemari oleh sesetengah Facebookers.

Saya sendiri pun kena.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang ganjil kerana dalam masa berforum sudah tentulah terdapat berbagai-bagai pendapat dengan berbagai-bagai ragam cara penyampaiannya. Semua itu adalah kebebasan orang-orang yang menulis itu. Mereka bebas untuk menulis apa sahaja dan saya menganggap semua itu selari dengan prinsip saya sendiri.

Apabila saya di’timbuk’ bertalu-talu oleh beberapa rakan dalam facebook, saya sentiasa mengikutinya dengan perasaan seronok. Kadang-kadang ianya boleh menghiburkan saya untuk menghilangkan rasa ‘boring’ kerana saya sudah banyak menulis artikel-artikel politik yang serious.

Sebab itulah saya mampu menerimanya secara positif. Tambah-tambah apabila ada yang membongkar kisah-kisah penglibatan politik silam saya yang kebanyakan orang-orang Pasir Puteh sendiri pun sudah mengetahuinya.

Ada yang nak tahu mengapa saya tidak mengambil kisah tentang hal-hal ini dan tahan di’timbuk’..

Pertama ialah kerana saya sendiri pun telah banyak juga ‘timbuk’ orang dalam artikel-artikel saya. Jadi sewajarnyalah jikalau orang lain pula ‘timbuk’ saya.

Kedua ialah kerana saya sudah biasa kena ‘timbuk’ secara habis-habisan dulu. Pernah dulu saya ditangkap dan ditutup mata oleh satu kumpulan di Kuala Lumpur lalu dibawa kesatu tempat yang sampai hari ini pun saya tidak tahu di mana lokasinya. Saya telah dikurung di situ selama sembilan (9) hari sembilan malam. Saya telah di'timbuk' dan didera secara ‘mental torture’ habis-habisan siang dan malam kerana saya didapati menentang ‘establishment’ sehingga kepada tahap mengepalai tunjuk perasaan sambil berpidato. Masa itu orang yang menjadi ketua skuad ‘mendera’ ini belum jadi menteri. Setelah penat ‘menimbuk’ saya dengan berbagai-bagai cara dan bahan, akhirnya beliau mengaku kalah dan melabelkan saya sebagai ‘ore kelate yang paling babil dalam dunia’. Yang menjadi kehairanannya ialah apabila saya telah dilepaskan (dengan mata ditutup juga), saya telah dipujuk supaya menyertai mereka untuk tugas-tugas 'menimbuk' dan mendera orang-orang lain pula selepas itu.

Walau macamana pun, satu perkara yang kawan-kawan sudah lupa. Mereka lupa bahawa saya bukan orang penting dalam politik Pasir Puteh. Saya hanyalah ahli UMNO biasa yang tidak memegang apa-apa jawatan penting parti jauh sekali ada pengaruh terhadap ahli-ahli yang lain. Perkara yang sedikit membezakan ialah mungkin saya suka menulis dan mengkritik kepimpinan di dalam blog yang orang lain tidak mahu melakukannya.

Saya tidak berharap bahawa tulisan-tulisan saya diambil kisah oleh sesiapa terutama oleh pihak kepimpinan parti kerana tiada satu pun yang ditulis pernah ditujukan secara terus kepada mana-mana pihak yang saya kritik itu kecuali satu atau dua artikel penting sahaja. Mereka boleh memilih untuk membacanya atau pun tidak. Orang yang tidak suka membaca Berita Harian contohnya, boleh membaca Harakah. Begitulah juga sebaliknya.

Oleh itu, saya berharap semoga pihak kepimpinan parti mampu juga bertahan dengan ‘deraan’ disepanjang tempuh memegang kuasa. Ianya boleh mematangkan kita.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.