Saturday 30 July 2011

SSPDS 47

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (47)
“…….Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung satu hari yang bermula jam 9 pagi tadi menyaksikan hampir 10,000 rakyat Kelantan berkunjung ke stadium itu.

Selain dapat bersemuka dengan anggota exco kerajaan negeri dan wakil rakyat yang lain, oarang ramai juga boleh mengenali lebih dekat anak syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut serta mengadakan pameran mereka hari ini.

Hadirin juga turut dihidangkan nasi gulai kawah serta pelbagai buah-buahan tempatan yang rata-ratanya disumbang oleh anak-anak Kelantan sendiri. Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung satu hari yang bermula jam 9 pagi tadi menyaksikan hampir 10,000 rakyat Kelantan berkunjung ke stadium itu.

Selain dapat bersemuka dengan anggota exco kerajaan negeri dan wakil rakyat yang lain, oarang ramai juga boleh mengenali lebih dekat anak syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut serta mengadakan pameran mereka hari ini.

Hadirin juga turut dihidangkan nasi gulai kawah serta pelbagai buah-buahan tempatan yang rata-ratanya disumbang oleh anak-anak Kelantan sendiri…..”
Di atas adalah petikan ayat-ayat dari Harakah keluaran hari ini tanpa diedit semula dan itu adalah sebagai bukti jelas bahawa segala kerja keras YB Wan Hassan selama ini berhasil. Perhimpunan ini sememangnya mendapat sambutan orang ramai yang terdiri daripada anak-anak Kelantan di sana. Kejayaan sesuatu majlis itu boleh diukur dari jumlah kehadiran walaupun mereka yang datang belum tentu semuanya akan balik mengundi parti PAS tetapi sekurang-kurangnya mereka datang juga tanda minat. Ianya sama seperti kalau kita ‘bekwah’ dan orang yang dijemput semuanya hadir maka kerja ‘bekwah’ itu akan dianggap berjaya dan menandakan kita mempunyai saudara mara dan rakan taulan yang ramai.
‘Gulai kawah’ yang disediakan itu sememangnya kegemaran orang-orang Kelantan dari sejak turun menurun lagi. Ianya sudah menjadi sinonim dan kebanggaan orang-orang Kelantan apabila diadakan sesuatu majlis besar. Sebab itu saya telah mengkritik sambutan oleh BN Pasir Puteh tatkala PM datang pada 2 Julai dulu itu. Penyediaan ‘nasi bungkus’ menggantikan ‘gulai kawah’ dan ketiadaan  acara-acara tradisi lain adalah sesuatu yang amat dikesali.  
Saya harap walaupun kita ‘bermusuh’ dengan parti PAS, tetapi apa-apa yang betul dipihaknya hendaklah diterima jua sebagai sesuatu yang boleh dicontohi. Begitu jugalah sebaliknya. Apa-apa yang baik dipihak UMNO, pihak parti PAS hendaklah menerimanya dengan ikhlas sebagai contoh juga. 
Saya masih tetap dengan cita-cita saya untuk melihat UMNO dan PAS sekurang-kurangnya duduk semeja walaupun belum boleh seia sekata.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
31 Julai 2011 Semerak.

POLITIK ADALAH KERJA BERCAKAP

Pandangan Peribadi untuk ahli-ahli UMNO Pasir Puteh
1)Persidangan Tahunan UMNO tahun ini tiada pemilihan disemua peringkat disebabkan pilihanraya umum yang sudah hampir. Oleh itu, AJK Bahagian akan terus kekal sepertimana yang dipilih pada 8/11/2008. Begitu juga AJK Cawangan.
Walau bagaimanan pun, cakap-cakap kedai kopi tidak terkecuali daripada tajuk pemilihan parti selepas pilihanraya umum walaupun tajuk popular ialah tentang pilihanraya umum terutama siapa calon-calonnya nanti.
Di sini saya ingin menyentuh hanya tentang pemilihan parti yang akan datang kerana bagi saya itulah sebenarnya yang lebih penting dibicarakan berbanding dengan pilihanraya. Saya katakan ianya lebih penting kerana kesan dan prestasi pilihanraya banyak bergantung kepada siapa yang menerajui sesuatu Bahagian itu. Kemampuan dan kebijaksanaan kepimpinan diperingkat Bahagian akan menentukan hala tuju sebenar parti samada menuju ke arah kemenangan atau kekalahan.
Tempuh berparti lebih panjang daripada tempuh pilihanraya. Peranan sesebuah parti memakan masa bertahun-tahun menyusun gerakerja sedangkan tempuh pilihanraya hanya beberapa hari sahaja. Kalau dicontohkan, samalah dengan seorang pelajar yang belajar selama beberapa tahun untuk menduduki peperiksaan yang hanya memakan masa beberapa hari sahaja.
Sebab itulah, saya berpendapat bahawa kepimpinan parti sebenarnya lebih penting daripada pilihanraya. Bukan kerja dimusim pilihanraya yang penting tetapi kerja semasa seseorang itu memegang jawatan dalam partilah yang penting untuk dinilai. Kalau seseorang pemimpin parti itu telah memulakan kerja dari peringkat awal-awal lagi dengan satu tujuan iaitu supaya parti yang dipimpinnya menang dalam pilihanraya, saya yakin itulah kerja yang betul. Tetapi kalau seseorang pemimpin parti itu sentiasa asyik dengan kerja-kerja sampingan lain dan kerja itu hanya boleh dilakukan hanya dengan menggunakan kuasa kepimpinan yang ada, saya rasa itu tidak betul.
Dalam konteks ini, saya melihat UMNO Bahagian Pasir Puteh agak lewat melakukan kerja-kerja persiapan pilihanraya berbanding dengan parti PAS. Oleh kerana lewat, banyaklah kerja-kerja terpaksa dibuat dengan tergesa-gesa dan sudah tentulah sesuatu kerja yang dibuat secara tergesa-gesa itu akan mengakibatkan kerja itu banyak mengalami kesilapan bahkan kegagalan.
2)Politik adalah kerja bercakap. Tidak ada dalam dunia pemimpin politik yang tidak bercakap kecuali bisu tetapi orang bisu tidak ada yang menjadi pemimpin politik. Sebab itu hari-hari Perdana Menteri bercakap dan berucap. Baik surat khabar atau television atau radio, tiap-tiap hari kita membaca atau mendengar pemimpin politik bercakap dan berucap. Kerja bercakap adalah kerja yang paling mahal dan paling bernilai dalam dunia. Sebab itulah juga kerja dakwah ialah bercakap kerana semua nabi dan rasul bercakap dan berucap untuk menyampaikan ajaran agama. Sebab itulah juga maka tiadalah kerja lain yang lebih tinggi martabatnya melainkan kerja bercakap dan berucap kerana itu adalah kerja para nabi dan para rasul. Menulis kemudiannya menjadi kerja kedua paling mahal dan bernilai kerana apa yang diucapkan akan ditulis untuk dibaca oleh orang-orang lain atau kemudian yang tidak dapat mendengar. Al-Quran ditulis dan terhasil selepas wahyu Allah diucapkan.
Sayangnya, pemimpin parti di Pasir Puteh tidak pernah mahu menjaga dengan rapi apa yang hendak dipercakapkan atau diperucapkan. Mungkin disebabkan keadaan tergesa-gesa seperti yang telah saya sebutkan tadi, maka banyaklah kesilapan-kesilapan yang terjadi. Walaupun silap sesetengah ahli parti tidak pula mahu mengakui kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin parti itu kadang-kadang disebabkan terlalu ghairah berpolitik. Mereka tidak kisah asalkan kenyataan yang dibuat pemimpin itu berunsur asakan yang boleh menghasilkan sorakan.
3)Oleh kerana saya melihat UMNO Bahagian Pasir Puteh masih belum mempunyai kepimpinan sebenar yang berwibawa, saya ingin mencadangkan beberapa tokoh seperti berikut untuk dipertandingkan dalam pemilihan yang akan datang :-
1) Kapt. (B) Wan Marzudi Dato’ Hj Wan Omar, JP untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian.
2) Puan Wan Marzida Dato’ Hj Wan Omar untuk jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian
3) En Armin Baniaz Dato’ Pahamin untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian.
Sila komen atau berikan pandangan.

Disediakan oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh,
T-29, Taman Jaya,
16700 Cherang Ruku,
Pasir Puteh,
Kelantan.
No. Ahli UMNO 03924693
Tel. 019-937 5226
Email : wanmalekwannoh@yahoo.com
(no signature - computer generated)

Friday 29 July 2011

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (46)
Hari ini ialah hari program ‘Himpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan’ yang diadakan di Stadium MBPJ Kelana Jaya bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 malam anjuran kerajaan negeri Kelantan. Permit perhimpunan telah diperolehi secara sah seminggu sebelum ini. Advertorial pun dikeluarkan secara rasmi dan lengkap di dalam akhbar Sinar Harian 28 Nov 2011.
Diantara program-program hari ini ialah Kejohanan Bolasepak Interaktif, Wacana Khas, Bersantai dan Berinteraksi Anak Kelantan, Persegaran Bersama Pimpinan Utama Kelantan, Solat & Kuliah dan Interaktif Bersama Pimpinan. Program ini boleh dilihat dalam laman web http://www.facebook.com/HAKDIP
YB Wan Hassan adalah orang yang paling sibuk dalam urusan ini. Beliau ialah Pengarah Hal Ehwal Pengundi-Pengundi Luar PAS Pusat. Sudah tentulah beliau mahu supaya program ini berjaya dengan cemerlang kerana ianya melibatkan pengundi-pengundi luar anak-anak Kelantan terutama yang akan pulang mengundi di DUN Semerak. Baginya program ‘Himpunan’ ini akan dijadikan ‘KPI’ bagi beliau bukan sahaja untuk naik seterusnya di dalam parti di peringkat pusat tetapi ianya juga sebagai satu ukuran penting samada beliau akan menang atau pun tidak didalam PRU ke-13 nanti jika dicalonkan lagi.
Saya melihat segala kerja keras beliau selama ini sangatlah patut dicontohi oleh pimpinan UMNO Kelantan. Walau pun beliau bukanlah Pesuruhjaya PAS Negeri, tetapi kerja-kerja yang dilakukannya ini tidak mampu dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Kalau pun cuba dibuat, saya tidak yakin ianya mampu mendapat sambutan orang ramai iaitu anak-anak Kelantan pengundi luar sepertimana yang dianjurkan oleh kerajaan PAS negeri Kelantan ini.
Saya tidak bermaksud hendak memperkecilkan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dari segi kemampuannya tetapi apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah kemampuam yang telah dicapai oleh YB Wan Hassan ialah kerana kerja kuat beliau selama ini secara konsisten tambah pula diberikan kerjasama rapat oleh kawan-kawannya yang lain. Mereka betul-betul bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap tanpa banyak soal. Pergerakan mereka diketuai oleh YB Wan Hassan kadang-kadang tidak dapat dikesan kerana terlalu laju dan cepat termasuk jugalah dalam membuat keputusan.
Saya tidak melihat ciri-ciri ini ada pada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh. Sedikit teguran sahaja sudah membuatkannya melenting dan terus mengistiharkan secara terbuka orang-orang tertentu sebagai ‘pengkhianat kepada parti’. Saya juga tidak melihat ciri-ciri kepimpinan seperti ini ada pada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Daripada maklumbalas belum pernah ada sebarang aktiviti atau program untuk menambat hati pengundi-pengundi luar ini dibuat secara serious oleh kepimpinan UMNO negeri.
Dengan itu, saya harap UMNO Pasir Puteh cepat-cepat ‘buck-up’ dan susun aktiviti ‘turun padang’ dengan lebih rancak dan serius biarpun pengundi-pengundi luar sudah digenggam PAS.
Yang paling penting ialah ketiga-tiga Ketua, Timbalan dan Naib harus terlebih dahulu membuktikan merekalah yang paling bersungguh-sungguh kerana merekalah di hadapan sekali. Mereka harus terlebih dahulu dilihat sebagai contoh untuk memberi semangat kerja berpasukan yang kuat. Mereka harus mulai betul-betul ‘mengikhlaskan’ diri masing-masing untuk bekerja bersama-sama bukan lagi dilihat ‘bersama’ hanya dalam mesyuarat atau program parti tetapi selepas itu membawa haluan masing-masing.
Masa untuk Ketua UMNO Bahagian mengulangi aduannya kepada Presiden parti bahawa beliau seorang sahaja yang buat kerja sudah berlalu.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
30 Julai 2011 Semerak.

Wednesday 27 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (45)
Pada hari ini berlangsung dua majlis di DUN Semerak. Satu di SMK Dato’ Ismail diadakan Majlis Penyampaian Netbook (Fasa 2) kepada 170 orang murid sekolah-sekolah menengah Pasir Puteh. Yang satu lagi ialah Mesyuarat Agong PPK di Peladang Semerak.
Majlis Penyampaian Netbook dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Ketua UMNO Bahagian telah menyentuh beberapa perkara dalam ucapan perasmiannya. Sebagai orang politik sudah tentulah beliau tidak akan melepaskan peluang apabila dijemput untuk bercakap tentang isu-isu politik walaupun majlis itu bukan majlis politik yang tidak sepatutnya dipolitikkan. Dalam ucapannya, beliau telah menyentuh isu Himpunan Bersih yang lalu, isu judi/ bulan puasa di Kedah dan isu YB Semerak mengagihkan tanah tidak kepada mereka yang betul-betul layak dan memerlukan.
Saya tidak berminat untuk mengulas apa-apa tentang kedua-dua isu  Himpunan Bersih dan isu larangan judi di bulan puasa di Kedah tetapi saya ingin memperkatakan tentang ketidakadilan YB Wan Hassan dalam tugas dan tanggungjawabnya berkaitan dengan pemberian tanah kepada rakyat Semerak seperti yang didakwa oleh Ketua UMNO Bahagian itu.. Saya merasa terpanggil untuk memperkatakannya kerana isu ini berlaku di DUN Semerak dimana saya tinggal dan mengundi.
Saya tidak ingin mendahului YB Wan Hassan kerana tidak mempunyai apa-apa pengetahuan dalam hal ini. Saya juga tidak ingin mencampuri urusan dalaman partinya tetapi saya terpaksa menulisnya juga kerana menganggap isu ini berkemungkinan besar akan dijadikan bahan ‘panas’ dalam kempen pilihanraya nanti oleh pihak BN.  Isu pemberian tanah adalah sesuatu yang sememangnya terlalu sensitif bagi semua orang dan saya berpendapat bahawa bukan sahaja pihak BN bahkan orang-orang PAS sendiri pun sememangnya ada hak untuk mempertikaikannya jika terbukti ada berlaku ketidakadilan atau penyelewengan dipihak wakil rakyat parti PAS. Begitu jugalah jika wakil rakyat  itu ialah seorang wakil rakyat dari parti UMNO maka bukan sahaja pihak parti PAS sahaja bahkan orang-orang UMNO sendiri pun berhak melakukan perkara yang sama.  Oleh itu, saya harap beliau akan segera membuat kenyataan selepas membaca artikel saya ini. Sudah tentulah orang yang paling tahu dan faham tentang kerjanya ialah beliau sendiri dan saya yakin beliau bersedia untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam memperjelaskan isu ini.
Dengan demikian saya belum berupaya untuk membuat kritikan dengan mengatakan bahawa YB Wan Hassan telah tidak berlaku adil dalam perkara mengagihkan tanah kepada rakyatnya. Walau bagaimana pun, beliau seharusnya segera membuat penafian secara terbuka jika betul-betul selama ini segala tindak tanduknya dalam isu ini tidak pernah mengandungi unsur-unsur salahguna kuasa atau ketidakadilan. Penafian atau penjelasan adalah sangat penting kerana ianya mencerminkan dasar sebenar kepimpinannya. Ianya juga boleh mencerminkan kepincangan dasar parti PAS dan jika tidak ditangani secara jujur dan ikhlas, ianya boleh membawa kesan yang ‘substantial’ keatas dirinya sendiri jika beliau diletakkan sekali lagi sebagai calon PAS DUN Semerak dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.
Saya harap YB Wan Hassan akan bersedia membuat kenyataan dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat tanpa berselindung disebalik alasan-alasan yang tidak munasabah atau yang tidak berkaitan. Jika perlu beliau dicadangkan memuatkannya kedalam Sinar Harian selain daripada Facebook.
Jika tidak, rakyat DUN Semerak akan merasa was-was bahkan curiga hasil daripada kenyataan terbuka yang telah dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian di SMK Dato’ Ismail pagi tadi yang kebetulan lokasi sekolah itu pun di Semerak juga.
Semoga isu ini tidak berpanjangan dan usaha supaya UMNO dan PAS berbaik-baik dapat dicapai sekurang-kurangnya duduk bersama dan semeja walaupun belum dapat seia dan sekata.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
27 Julai 2011 Semerak.

Monday 25 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (44)
Pada malam ini berlangsung satu acara dibawah anjuran MKN dan KRT Semerak di Padang SK Cherang Ruku. Dengarnya antara acara selingan yang akan berlangsung termasuklah acara dikir barat selain daripada ucapan-ucapan.
Dari satu segi program seperti ini amatlah baik untuk seluruh masyarakat Semerak kerana KRT sudah lama tidak mengadakan sebarang program untuk orang ramai. Ianya sedikit sebanyak sudah tentu boleh memberikan maklumat-maklumat penting yang berkaitan untuk pengetahuan orang ramai. Biasalah juga apabila sesuatu program diadakan terdapat acara-acara selingan seperti dikir barat sebagai bahan memeriahkan lagi acara. Malahan orang ramai sememangnya lebih memperkatakan tentang dikir barat berbanding dengan program sebenar malam ini. Mereka semua akan keluar semata-mata hendak berhibur dengan acara dikir barat itu.
Saya tidak mahu mempertikaikan program itu secara umumnya tetapi saya ingin mempertikaikan kenapa acara dikir barat dijadikan acara selingan. Apakah tidak ada acara-acara lain yang boleh diselitkan? Apakah hanya dikir barat sahaja yang boleh dijadikan sebagai tarikan supaya orang ramai datang beramai-ramai?
Saya bertanya soalan itu kerana kita sekarang sudah berada diambang bulan Ramadhan. Hari ini ialah 23 Syaaban 1432 Hijri iaitu hanya seminggu sahaja lagi bagi umat Islam menempuh bulan puasa. Bukankah lebih elok kalau diselitkan acara selingan itu dengan acara-acara yang lebih bersesuaian seperti nyanyian nasyid atau bacaan Al-Quran? Bukankah acara selingan seumpama ini lebih sesuai sebagai menghormati bulan Ramadhan yang hampir tiba? Atau mungkinkah kerana hendak mengambil hati kaum-kaum lain maka dirasakan acara ini tiada kena mengena dengan bulan Ramadhan? Jika demikian halnya, tidak bolehkah program ini dibuat dalam masa yang lain bukan dimasa menghampiri bulan Ramadhan?
Saya tidak tahulah mengapa orang yang merancang program ini tidak mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap bulan yang mulia ini sehingga masih sanggup mengadakan acara-acara yang tidak sesuai. Sudah tentulah orang yang berkenaan itu ada jawatan dalam KRT Semerak dan beliau pun ada hubungan yang rapat dengan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Saya bukannya mahu mengaitkan program ini dan orang yang merancangnya dengan UMNO Bahagian tetapi saya yakin jika Ketua UMNO Bahagian mengambil berat dan memainkan peranan menasihatinya, sudah tentu orang yang berkenaan tidak akan berani menyelitkan program itu seperti di Semerak pada malam ini.
Apa pun, diharap kandungan bahan kata-kata dalam dikir barat malam ini banyak memberikan tumpuan kepada unsur-unsur yang sesuai sebagai menghormati bulan Ramdhan yang hampir tiba bukan dibawa dengan gaya dan kata-kata sebagaimana lazim didikirkan.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
25 Julai 2011 Semerak.

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (43)
Hari ini terbit berita dalam Sinar Harian edisi Timur bertajuk “10,000 Petugas Pas Berkumpul… Ijtimak Diadakan Sebagai Persediaan Awal Menjelang PRU-13 Tidak Lama Lagi”. Program ini telah diadakan pada 24 Julai 2011 di Pantai Geting Tumpat.
Sekali lagi PAS Kelantan terbukti lebih ‘advanced’ berbanding UMNO Kelantan. Saya telah menyentuh tentang kemajuan kerja PAS Kelantan apabila program “Himpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan” yang akan diadakan pada 30 Julai 2011 ini di Stadium MPPJ Kelana Jaya juga dengan sasaran seramai 10,000 orang jemputan dalam artikel saya yang baru lepas iaitu SSPDS 41.
Saya tidak tahu mengapa PAS Kelantan suka kepada angka 10,000. Setiap program yang dianjurkan selalu sahaja digunakan angka ini seolah-olah ianya semacam sinonim dengan setiap program PAS akhir-akhir ini. Saya tidak tahu jugalah samada 10,000 itu adalah angka yang tepat atau pun tidak.
Apa pun, itu tidak penting. Yang penting ialah mereka sentiasa adakan program dan saya belum melihat UMNO Kelantan melakukan sesuatu seumpama ini untuk orang-orang Kelantan di perantauan.
Barangkali UMNO Kelantan merasa cukup dengan maklumat-maklumat yang disampaikan melalui tv, radio dan surat khabar untuk mempastikan mereka balik mengundi BN. PAS Kelantan merasa sebaliknya. Mereka merasa sebaiknya mereka pergi sendiri berjumpa dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi ini. Mereka membawa mesej persaudaraan atau ‘silaturrahim’ untuk pengundi-pengundi ini dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Pengundi-pengundi ini pun tidak mahu lebih daripada itu.
Saya yakin BN Kelantan pun mampu merancang dan melaksanakan program seperti ini tetapi kemampuan itu tidak pernah terbukti. Sepatutnya ‘initiative’ ini datang dari Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sendiri tetapi mungkin beliau terlalu sibuk dengan tugas-tugas menterinya dan juga kerja-kerja ‘turun padangnya’ maka beliau tidak adalah masa untuk itu. Beliau dilihat sibuk ‘turun padang’ di kawasannya sendiri sejak akhir-akhir ini. Ini terbukti apabila banyak gambar-gambar beliau ‘turun padang’ dimuatkan dalam Facebook. Usaha beliau ini boleh dijadikan contoh kepada lain-lain Ketua Bahagian di Kelantan tetapi Pengerusi Perhubungan lupa bahawa beliau tidak payah terlalu ‘turun padang’ disebabkan jawatan dan tanggungjawab yang lebih besar yang ada padanya. Sepatutnya kerja-kerja ini beliau wakilkan sahaja kepada orang kanannya.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
25 Julai 2011 Semerak.

Sunday 24 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (42)
Pada hari ini terdapat desas desus bahawa Cikgu Azmi ada kemungkinan akan ditempatkan di DUN Semerak sebagai calon dalam pilihanraya umum ini nanti bukan di parlimen Pasir Puteh. Desas desus ini baru hari ini saya dengar kerana selama ini Cikgu Azmi adalah dalam jangkaan senarai calon-calon parlimen.
Saya tidak mahu menyangkal bahawa desas desus ini palsu. Segala-galanya berkemungkinan. Walau bagaimana pun saya ingin memperkatakan sesuatu dalam topik ini yang ada hubungkaitnya dengan cabaran yang akan dihadapi oleh parti PAS di Semerak.
Sepertimana yang telah saya perkatakan dalam artikel-artikel yang lepas bahawa hanya seorang tokoh sahaja di Semerak yang mampu menggugat YB Wan Hassan.  Antara artikel-artikel itu ialah ‘Calon-Calon Yang Berpotensi’ dan ‘SSPDS 39’.  Beliau ialah Kapt. (B) Wan Marzudi Dato’ Hj Wan Omar, JP. Beliau dikatakan hanya satu-satunya orang yang boleh memberikan harapan untuk BN menang Di DUN Semerak kerana kekuatan pengaruh yang agak seimbang. Selain daripada beliau, orang ramai tidak mempunyai keyakinan dan harapan yang tinggi. Sebab itu, Cikgu Azmi bukanlah orang yang sewajarnya ditempatkan di DUN Semerak. Begitu jugalah lain-lain orang termasuk Ketua UMNO Bahagian sendiri.
Saya tidak pasti juga dari mana sumber sebenar desas desus ini. Kalau datangnya dari UMNO sendiri, ini bermakna satu perancangan sedang dibuat berpandukan kepada maklumbalas yang tidak tepat. Mungkin juga sengaja dirancang untuk tujuan tertentu yang saya belum pasti tentangnya. Kalau datangnya dari pihak parti PAS pula, ini bermakna bahawa mereka sedang menggunakan taktik ‘perang psychology’ dan propaganda semata-mata dengan tujuan supaya pemimpin-pemimpin UMNO berada dalam keadaan syak wasangka sesama sendiri lalu bercakaran dalam hal berebut calon. Mungkin juga mereka sedang mencari-cari jalan supaya Kapt. (B) Wan Marzudi JP tidak diletakkan di DUN Semerak kerana bimbang kekuatan pengaruhnya betul-betul boleh menggugat YB Wan Hassan.
Segala-galanya berkemungkinan.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
24 Julai 2011 Semerak.

Saturday 23 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (41)
Pada 30 Julai 2011 bersamaan 28 Syaaban 1432 Hijri (Sabtu) satu program secara besar-besaran akan diadakan di Stadium MPPJ bagi meraikan seluruh rakyat negeri Kelantan yang berada di Lembah Klang oleh kerajaan negeri Kelantan. Program itu dinamakan sebagai ‘Himpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan’. Mereka terdiri daripada anak-anak Kelantan yang bekerja di sana. Diantara program-programnya ialah perlawanan bola sepak, forum, pameran, wacana, dikir barat dan lain-lain yang akan diadakan dari pagi sampai malam. Sebahagian besar daripada mereka akan balik mengundi apabila tiba masanya nanti. Mereka dijemput untuk hadir oleh kerajaan negeri Kelantan tanpa mengira latar belakang politik. Dijangkakan seramai 10,000 orang rakyat Kelantan akan hadir.
Sesuatu seperti ini bukanlah pihak BN Kelantan tidak boleh lakukan. Kepimpinan BN Kelantan pun boleh dan mampu juga tetapi buat pada masa ini pihak kepimpinan PAS Kelantan jelas telah mendahului BN Kelantan.
Walau bagaimana pun, bukan soal kemampuan yang ingin saya berikan perhatian kepada pembaca-pembaca. Soalnya ialah siapa sebenarnya di belakang semua itu sebagai tulang belakang, perancang dan penggerak utamanya. Semua pihak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk merancang dan melaksanakan sesuatu program. Semua pihak juga sama-sama mempunyai kemampuan lain seperti kewangan dan logistik. Namun, itu bukan bererti semua pihak mampu merancang dan melaksanakan sesuatu dengan berkesan sehingga berjaya. Kadang-kadang tenaganya hebat-hebat tetapi belum tentu sesuatu rancangan itu berjaya.
Berkaitan dengan program ini, ingin saya maklumkan bahawa orang yang menjadi tenaga utama merancang dan menggerakkan usaha ini ialah YB Wan Hassan Wan Ibrahim ADUN Semerak. Seorang yang sangat kerdil tanpa sebarang ‘degree’ tetapi mempunyai kemahuan dan semangat yang kental dalam usaha mempertahankan partinya. Beliau telah diamanahkan oleh pucuk kepimpinan PAS Pusat dengan jawatan Pengarah Hal Ehwal Pengundi-Pengundi Luar PAS Malaysia.
Saya kira pucuk kepimpinan PAS Pusat tidak membuat keputusan melantik seseorang seperti YB Wan Hassan untuk memegang jawatan sepenting itu hanya secara cabutan undi dalam tin biskut. Sudah tentulah mereka mahukan seseorang yang betul-betul mampu merancang dan melaksanakan sesuatu keatas pengundi-pengundi luar itu. Sudah tentulah mereka mahukan seseorang yang ‘efficient’ yang sudah terbukti kemampuannya biar pun orang itu tidak ada ‘degree’.  
Lain pula kalau kita melihat kepada UMNO. Pemimpin-pemimpin parti ini nampaknya lebih cenderung kepada mendapatkan ‘degree’ melebihi ‘commitment’ kepada parti. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memajukan diri sendiri dari segi kelulusan akademik dan kewangan peribadi. Mereka lebih memberikan tumpuan kepada usaha-usaha kenaikan pangkat, mendapatkan kontrak, mempunyai rumah besar, mempunyai kereta besar atau mewah dan mempunyai kestabilan ekonomi kerana mereka merasa mereka adalah ‘pemimpin’. Mereka lebih-lebih merasa sebagai pemimpin apabila pembesar-pembesar negara datang berkunjung.  Oleh itu mereka merasa merekalah orang yang paling penting didalam masyarakat dan sewajarnyalah ‘keistimewaan-keistimewaan’ tertentu diutamakan kepada mereka. Sebab itu mereka tidak ada masa untuk sama-sama berfikir dan merancang apa-apa untuk contohnya, pengundi-pengundi luar,  kerana perkara ini tidak dijadikan agenda utama mereka.
Inilah bezanya UMNO dan PAS. Dalam UMNO budaya merebut ‘peluang’ masih berleluasa dikalangan barisan kepimpinannya tetapi dalam PAS usaha menambahkan sokongan kepada partinya menjadi agenda utama setiap pemimpinnya. Pemimpin-pemimpin PAS tidak berminat untuk mengistiharkan jumlah orang-orang UMNO yang masuk PAS kerana menganggap isu seperti ini sebagai isu dan taktik lama yang sudah ketinggalan zaman tetapi pemimpin-pemimpin UMNO sebaliknya.
Selagi jarak perbezaan dan ketidakseimbangan ini tidak dikurangkan, selagi itulah UMNO tidak akan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lawannya. Inilah juga faktor yang menghalang kepada visi untuk melihat orang-orang melayu bersatu melalui dua parti besar.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
23 Julai 2011 Semerak.