Wednesday 9 October 2013

Terbitan Khas



Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 30)

Kempen pemilihan diperingkat UMNO Bahagian Pasir Puteh tidaklah begitu hangat sehingga hari ini. Mereka yang bertanding diperingkat AJK Bahagian masing-masing berkempen secara sederhana sahaja. Mereka yang berkempen diperingkat lebih atas seperti Ketua-Ketua sayap pun dilihat begitu juga.

Yang agak aktif ialah calon-calon atau wakil-wakil mereka yang bertanding diperingkat ketiga-tiga jawatan utama iaitu Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua. Ada yang melakukannya dengan cara menziarahi rumah perwakilan, ada yang menelefon dan ada yang menggunakan kemudahan IT dalam internet.

Setakat ini tiada kedengaran sebarang masalah. Masing-masing menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk memikat sokongan perwakilan. AlhamdulilLah, suasana seperti inilah yang diharapkan kerana bagi saya, bukan pertandingan dan siapa yang akan dipilih nanti sebagai Ketua, tetapi ada perkara lain yang lebih penting. Perkara itu ialah perpaduan dikalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Sebab itu, saya tidak berapa suka kepada pendekatan yang diambil oleh orang-orang yang berkempen dengan cara terlalu mengajak supaya perwakilan menolak siapa-siapa yang mencabar penyandang. Ajakan dan kempen seperti ini sebenarnya bukan kaedah yang sihat untuk tujuan menyuburkan suasana perpaduan.

Agen-agen kempen bagi pihak penyandang sepatutnya mengajak supaya perwakilan menyokong penyandang dengan cara mewarwarkan kelebihan yang ada pada penyandang itu sahaja. Suara-suara keras supaya pencabar ditolak adalah bertentangan dengan perlembagaan parti itu sendiri dan tidak demokratik. Suara-suara seperti ini juga boleh mengundang kepada perbalahan sesama ahli-ahli UMNO dan akibatnya agenda perpaduan terbantut. Selain daripada itu, sesiapa pun boleh mencabar mana-mana penyandang kerana inilah juga kebebasan yang diberikan mengikut perlembagaan parti dan ketetapan yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi.

Oleh itu, saya ingin sarankan supaya suara-suara keras seperti itu disekat atau dikurangkan. Pihak penyandang sendiri sepatutnya melarang orang-orangnya supaya menggunakan cara yang lebih sederhana demi perpaduan ahli-ahli. Menggunakan kaedah keras tidak membawa sebarang manfaat selain daripada anggapan oleh orang ramai bahawa mereka ini tidak matang berpolitik dan merugikan parti kerana mengapi-apikan perbalahan.

Semua orang tahu saya sendiri menyokong YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor yang bertanding menentang penyandang Ketua UMNO Bahagian. Namun, saya tidak pernah membuat seruan melalui tulisan saya baik di dalam Facebook atau Blog supaya perwakilan menolak penyandang. Saya hanya menulis tentang kelebihan yang ada pada YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor sahaja mengikut perspektif saya sendiri melalui pengalaman mengenalinya sejak awal tahun 70’an.

Pada saya, beliau harus kembali mengetuai UMNO Bahagian Pasir Puteh kerana kelebihan-kelebihan tertentu yang ada padanya. Saya yakin, jika beliau diberikan peluang sekali lagi untuk memimpin semula UMNO Bahagian Pasir Puteh, manfaat utama yang akan diperolehi oleh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh dibawah kepimpinannya ialah perpaduan dalaman diantara ahli-ahli. Saya berkata begini kerana inilah suasana yang telah dikecapi semasa beliau memimpin UMNO Bahagian Pasir Puteh dahulu tetapi telah hilang apabila penyandang mengambilalih. Selain daripada itu, segala kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan oleh YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor sepanjang tempoh beliau memimpin dulu, sudah tentulah akan diperbaiki dan khidmatnya dipertingkatkan dengan lebih berkesan.

Apa pun, usaha memupuk semula semangat perpaduan dikalangan ahli-ahli adalah perkara yang paling pokok bagi YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor. Sebagai seorang yang berpengalaman jauh lebih lama berbanding penyandang, beliau lebih faham bahawa inilah asas kekuatan sesebuah parti politik diperingkat Bahagian.

Dengan itu, saya ingin menyeru kepada semua perwakilan supaya memilih YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor semula untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh tetapi janganlah pula menganggap mengundi beliau sebagai ‘menolak’ YB Cikgu Zawawi Othman. Menolak YB Cikgu Zawawi Othman adalah sikap yang negatif sepertimana juga menolak YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor kerana kedua-duanya tetap diperlukan juga walaupun dalam konteks yang berlainan.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment