YB Datuk Hj Husam Bin Musa ADUN Salor (siri 2)
Pembentangan
 bajet negeri Kelantan bagi tahun 2014 petang tadi menarik sekali. Dato 
Husam Musa, Adun Salor yang sebelum ini adalah Exco Kelantan bangun 
berucap memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai pemberian kawasan 
balak seluas 3500 ekar di hutan simpan Chabang Tongkat Hulu Sat Machang.
 
 
 Menariknya, apabila beliau menimbulkan cerita ini pelbagai persoalan muncul. Antaranya mengapa beliau bangun
 untuk melawan kerajaan dari partinya sendiri?  Mengapa tidak beliau 
atasi kelemahan kerajaan negeri semasa beliau berkuasa dahulu? Mengapa 
hanya sekarang beliau memberikan pelbagai cadangan untuk membangunkan 
negeri?  Adakah ini sabotaj beliau kepada kerajaan negeri selepas tidak 
lagi dilantik menjadi Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri yang baru?
 
 Saya tidak hendak mempertahankan sesiapa dalam hal ini. Saya tidak 
boleh kata apa yang Adun Salor timbulkan itu benar atau salah. Tapi yang
 saya yakin ialah Adun Salor membuat 'kerja rumahnya' sebelum berucap di
 DUN tadi. Maka sekarang ini bagi melihat kekuatan hujah masing-masing, 
saya menunggu jawapan MB dalam penggulungan nanti.
 
 Bukan saya 
sahaja yang menunggu, rakyat juga ternanti-nanti jawapan MB. Ini kerana 
dalam beberapa hal, bajet tadi tidak menjawab banyak persoalan yang 
dinantikan rakyat tentang peruntukan pembinaan lebuh raya dan stadium 
serta peruntukan untuk menjayakan projek kambing jamnapari dan padi 
organik—perkara yang sebelum ini juga saya timbulkan.
 
 Satu lagi
 yang rakyat hendak tahu secara rasmi ialah tentang kenaikan tarif air 
yang dikatakan naik sehingga 39% mengikut tahap tertentu penggunaan air,
 tetapi tidak diumumkan. Yang rakyat hendak tahu ialah betulkah tarif 
air naik? Jika naik, kenapa tidak diumumkan?  Dalam hal ini, seorang 
kawan saya memberitahu saya, sekeras-keras kerajaan BN pun, kenaikan 
harga minyak dan letrik diumumkan kepada rakyat.
 
 Kembali kepada
 tindakan Adun Salor tadi, persoalan yang perlu kita jawab bukanlah soal
 beliau mengkritik kepimpinan partinya, tetapi apakah tindakan beliau 
itu salah? Saya tidak melihat begitu. Saya tunggu perbahasan seperti ini
 sekian lama, iaitu ahli dari parti sendiri membahas dasar dan keputusan
 kerajaan. 
 
 Pada saya, tindakan Adun Ssalor adalah baik untuk 
memperbaki kelemahan parti, lagi pun beliau adalah Adun biasa yang bukan
 lagi berada dalam barisan kepimpinan kerajaan. Lainlah kalau beliau 
ahli Exco yang terikat dengan doktrin ‘tanggungjawab bersama’.
 
 
Di pihak kerajaan negeri pula, terimalah pandangan Adun Salor sebagai 
politik profesional dan politik matang.  Jawablah dengan baik untuk 
menangkis dakwaan beliau, bukan untuk melihat beliau sebagai musuh parti
 atau musuh kerajaan negeri. Ingat, dari segi hierarki parti, Adun Salor
 adalah naib presiden PAS. Maka, sebagai naib presiden, tidak ada tujuan
 bagi beliau untuk mensabotajkan parti dan kerajaan negeri dokongannya.
 
 Melihat lebih jauh, hati saya berkata: Jikalah politik cara ini juga 
diamalkan di parlimen, alangkah majunya politik kita dan alangkah 
baiknya untuk rakyat dan negara kita. Semoganya!


No comments:
Post a Comment