Sunday 6 October 2013

Terbitan Khas

Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 42)
Pada 1 Oktober 2013, Kongres AS gagal meluluskan satu bajet khas yang dituntut oleh kerajaan Obama. Akibatnya operasi kerajaan Amerika lumpuh (shutdown). Dari segi sejarahnya, ini bukanlah kali pertama operasi kerajaan AS ditutup. Sehingga kini, telah 19 kali operasi kerajaannya terhenti. Yang terakhir ialah pada tahun semasa pentadbiran Bill Clinton daripada 16 Disember 1995 sehingga 6 Januari 1996.

Semasa Clinton dulu, operasi kerajaan terhenti kerana Republikan menolak bajet Demokrat yang tidak seimbang. Republikan hanya menyokong bajet Demokrat 21 hari kemudian selepas Clinton mengambil langkah menyeimbangkan bajetnya.

Kali ini, operasi kerajaan AS terhenti kerana Demokrat yang menguasai Dewan Senat menolak gesaan Republikan supaya ia melakukan perubahan ke atas rang undang-undang penjagaan kesihatan negara (Obamacare) sebagai pertukaran kepada persetujuan mereka untuk menyokong bajet Demokrat.

Namun, keinginan Republikan ditolak Demokrat kerana rang undang-undang itu turut menangguhkan pelaksanaan rang undang-undang kesihatan Obama selama setahun dan membatalkan pelaksanaan cukai ke atas peralatan perubatan. Bagi Obama, pelan kesihatannya penting kerana ia memberi perlindungan insurans kesihatan kepada sekitar 50 juta penduduk berpendapatan rendah dan miskin di negara tersebut. Obama juga menegaskan pelan penjagaan kesihatannya sah setelah diluluskan di Kongres dan diiktiraf oleh mahkamah serta disahkan menjadi undang-undang pada 23 Mac 2010.

Bagi Dewan Perwakilan pula, ia tidak menyokong pelan kesihatan Obama kerana menyifatkannya sebagai satu pembaziran. Pelan itu juga menyekat kebebasan rakyat untuk tidak mengambil perlindungan insurans. Republikan juga menentang pelan kesihatan Obama kerana ia menyebabkan syarikat kecil dan sederhana terpaksa membeli insurans kesihatan untuk melindungi pekerja.

Atas perbezaan pandangan ini, maka kedua-dua parti enggan berkompromi menyebabkan tidak ada persetujuan bersama untuk meluluskan undang-undang bajet. Akibatnya, agensi-agensi kerajaan kecuali untuk beberapa sektor kritikal terpaksa ditutup kerana ketiadaan peruntukan. Penutupan agensi-agensi kerajaan itu melibatkan kira-kira 800,000 kakitangan yang diberikan cuti tanpa gaji sehingga bajet tersebut diluluskan.

Salahkah penutupan operasi kerajaan ini? Penutupan sebahagian besar agensi kerajaan AS itu dibenarkan perlembagaan AS. Tetapi kesannya kepada ekonomi Amerika dan dunia adalah cukup besar. Apakah kesannya?

Bagi ahli ekonomi yang tidak berpijak di dunia realiti, mereka menyatakan kesannya kepada kemerosotan ekonomi adalah minimum, asalkan krisis bajet itu dapat diselesaikan dalam masa dua minggu. Saya tidak faham bagaimana kita hendak menyatakan kesannya minimum jika 800,000 pekerja AS terjejas dan tidak menerima bayaran. Itu belum mengambil kira perdagangan dunia yang akan kerugian 50 bilion dolar dalam masa dua minggu jika krisis ini tidak selesai.

Saya juga tidak faham kenapa kesannya minimum jika kegagalan meluluskan bajet itu akan menyebabkan risiko AS tidak dapat membayar hutang-hutangnya, sedangkan AS adalah kuasa ekonomi dunia. Itu juga belum mengambil kira soal pelancongan yang merosot, perdagangan luar tergendala, persidangan yang diatur lebih awal terpaksa ditangguh atau dibatalkan dan lainnya.

Jika kesan penutupan operasi kerajaan ini besar, apakah pengajarannya untuk negara kita?

Yang penting dan utama ialah kita kena ingat jangan hanya kerana persaingan politik, ia sampai boleh melumpuhkan kerajaan. Dalam hal ini, kita tidak boleh mengikut perangai Obama dan Republikan yang enggan berkompromi kerana di akhirnya sikap merekalah yang menyebabkan rakyat dan negara susah. Betul, kerajaan kita meminta bajet tambahan pada tahun ini, tetapi itu bukannya alasan untuk ahli parlimen menolaknya. Kita boleh membangkang dan menegur kerajaan atas keborosannya, jika ada, dan mengingatkan supaya lebih berhati-hati lagi dalam perbelanjaan atau menyediakan bajet yang lebih lengkap lagi pada masa akan datang. Ini kerana ketiadaan belanja akan menyebabkan kerajaan lumpuh.

Kedua, tindakan Obama meminta peruntukan kewangan khas dari Kongres adalah kerana kerajaan kehabisan wang untuk berbelanja. Oleh itu, bagi negara kita adalah perlu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan baik. Sekarang ini hutang luar kita banyak dan terus meningkat. Kerajaan perlu beri perhatian kepada hal ini dengan mengambil tindakan segera bagi memastikan pengurusan ekonomi, kewangan, percukaian dan mata wang kita cekap. Kerajaan perlu mengelak dari berbelanja secara boros dan hapuskan ketirisan dalam perbelanjaan negara.

Ketiga, kesilapan Obama dalam kesnya ini adalah kerana keengganannya untuk berunding disebabkan mendengar kata penasihatnya yang separuh masak. Kerajaan kita perlu belajar dari pengalaman ini dengan tidak boleh berterusan menafikan kenyataan dan bergantung kepada penasihat sebelah pihak sahaja. Ada ketikanya kerajaan perlu mendengar suara rakyat luar dan teguran dari kumpulan masyarakat sivil.

Keempat, kes AS ini mengajar kita supaya pemimpin kita jangan hanya memikirkan hal politik dan populariti sahaja tanpa mempertimbangkan soal kepentingan jangka panjang negara. Jika negara sudah dalam keadaan ekonomi yang sakit, kerajaan perlu segera mengambil langkah wajar supaya negara tidak lagi terjebak dalam krisis kewangan seperti pada tahun 1997-1998. Macam AS sekarang ini, sekiranya Kongres gagal menaikkan had pinjamannya kepada AS$16.7 trilion, maka ia akan menuju ke arah negara yang gagal membayar hutang. Apabila ini berlaku, dunia sekali lagi akan menyaksikan gelombang kejutan pasaran kewangan.

Kelima, kes AS ini adalah tanda-tanda awal untuk kita bersedia merancang perbelanjaan. Bajet 2014 yang akan dibentangkan dua minggu lagi adalah peluang untuk kerajaan kita membuktikan bahawa kerajaan bersedia mengambil langkah yang tegas untuk meletakkan semula ekonomi negara kita di landasan yang betul. Kita tidak mahu menjadi seperti AS, negara kuat tenteranya, kuat ekonominya, tetapi peruntukan bajet tidak diluluskan. Di Somalia, Mozambique dan Zimbabwe yang kadar inflasinya beribu kali tinggi dari AS pun, kita belum mendengar lagi berita yang melaporkan bajetnya tidak diluluskan parlimen. Begitulah!

No comments:

Post a Comment