Friday 11 October 2013

Terbitan Khas



Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 31)
Terdapat tulisan saya dalam siri yang terdahulu memaparkan teguran saya supaya kempen tidak keterlaluan sehingga meminta perwakilan ‘menolak’ mana-mana calon yang mencabar Ketua UMNO Bahagian. Semua orang berharap supaya suasana ini berterusan sehingga hari pemilihan peringkat Bahagian pada 19hb Oktober 2013 ini.

Namun, dua hari yang lepas, dengan tidak semena-mena orang Pasir Puteh telah dikejutkan dengan satu kenyataan yang tidak masuk akal oleh salah seorang penyandang jawatan tertinggi sayap parti dalam UMNO Bahagian Pasir Puteh. Kenyataan itu membawa maksud “sesiapa yang tidak menyokong dan mengundi penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian sekarang, mereka akan menanggung dosa”.

Sebelum ini kita banyak mendengar cerita pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan menghukum orang-orang UMNO. Ada yang membuat fatwa sembelihan orang-orang UMNO tidak halal dimakan contohnya. Ada yang membuat fatwa sembahyang dengan imam UMNO tidak sah contohnya. Ada yang membuat fatwa mengundi calon UMNO dalam pilihanraya membawa kepada kekafiran contohnya tetapi mengundi PAS masuk syurga sebaliknya. Ada juga yang membuat fatwa bernikah pun tidak sah jika dinikahkan oleh jurunikah orang UMNO contohnya.

Semua itu telah berlalu dan ditelan zaman. Semua itu telah diperjelaskan dari masa kesemasa sehingga orang-orang PAS pun sudah sedar bahawa semua itu hanyalah fatwa-fatwa politik yang tidak berasas semata-mata untuk tujuan memancing undi sahaja. Sebab itulah sekarang PAS sendiri pun sudah sanggup berpakat dengan parti-parti lain walaupun parti-parti lain itu ditunjangi oleh orang-orang bukan Islam.

Kalaulah fatwa-fatwa seperti itu pun sudah ditolak oleh orang-orang melayu PAS, apakah fatwa baru yang mula dibawa oleh seorang pemimpin melayu UMNO Pasir Puteh itu boleh dianggap rasional dan munasabah? Tidakkah itu dianggap kebudak-budakan dan tidak masuk akal?

Kalau dizaman tahun 60’an, orang-orang kampong sangat takut kepada polis. Sekarang polis pun sudah menjadi kawan mereka. Oleh itu, zaman ini adalah zaman dimana mereka tidak lagi boleh diperbodoh-bodohkan dengan kenyataan-kenyataan dangkal seperti itu lagi. Kenyataan bahawa tidak menyokong dan tidak mengundi seorang ketua parti boleh mengakibatkan mereka menananggung dosa sudah tentulah menjadi bahan ketawa mereka sahaja. Kata mereka, jika hendakkan sangat pemimpin ini kekal di dalam Bahagian, minta sahajalah Majlis Tertinggi ubah perlembagaan parti supaya tiada pemilihan dibuat. Lantik sahajalah mana-mana orang untuk menjadi Ketua selama mana tempuh yang dikehendaki. Namun, jika pemilihan diadakan, perwakilan berhak menentu dan memilih mana-mana calon yang mereka suka.

Saya tidak tahu mengapa seorang pemimpin sayap parti boleh membuat kenyataan sedangkal itu padahal beliau telah lama menjadi pemimpin. Mungkin beliau merasa terlalu bimbang kerana ketua yang serakit dengannya itu dicabar hebat sehingga membuatkan beliau menggelabah dan tertekan. Dengan itu, beliau pun membuat kenyataan bagi pihak ketuanya dengan mengeluarkan fatwa seperti ini kerana cara lain sudah tidak ada baginya. Ini semua dilakukannya kerana terlalu inginkan supaya ketuanya dapat mempertahankan jawatannya dengan harapan jika beliau sendiri menang juga di peringkat sayap, maka beliau pun bolehlah terus bersamanya lagi di dalam Bahagian.

Tidak salah bagi mana-mana ketua sayap parti berkempen untuk ketuanya asalkan tidak keterlaluan caranya. Yang salah ialah ketua berkempen untuk anak-anak buahnya yang menerajui sayap-sayap parti kerana ini akan dianggap mengamalkan sikap pilih kasih sebagai bapa terhadap anak-anaknya.

Atau pun mungkin juga beliau membuat kenyataan itu dengan niat sekadar bergurau sahaja.
(Secara peribadi saya harap ianya dibuat dengan niat bergurau sahaja walaupun beliau dikenali tidak pernah bergurau sebelum ini).

Jika serious, beliau diharap dapat membuktikannya dengan nas-nas agama yang sahih untuk menyokong kenyataannya itu. Jika tidak, usah dimainkan lagi soal-soal dosa pahala seperti ini kerana ianya boleh mencerminkan juga tahap kejahilan ketuanya secara tidak langsung.   

Jika beliau bergurau, gurauan seperti ini hendaklah jangan diulangi lagi. Jika diulangi, ianya tidak lagi akan dianggap sebagai gurauan tetapi dianggap sebagai sesuatu yang diluar norma amalan kepimpinan kerana tidak pernah dalam sejarah UMNO Bahagian Pasir Puteh terdapat sebelum ini mana-mana pemimpinnya membuat kenyataan seperti ini keatas orang-orang UMNO sendiri.  Fatwa songsang hanya layak diucap oleh pemimpin-pemimpin yang nyanyok sahaja sepertimana yang pernah berlaku didalam parti PAS sebelum ini terhadap orang-orang UMNO. Pemimpin UMNO tidak sewajarnya meniru rentak PAS kerana PAS sendiri pun sudah meninggalkan rentak itu.

Jika tidak, saya ingin mencadangkan supaya slogan ‘meremajakan’ UMNO ditukar kepada slogan ‘mendewasakan’ UMNO.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment