Wednesday 2 October 2013

Terbitan Khas



Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 27)
Presiden tidak bertanding. Timbalan Presiden pun tidak juga. Yang bertanding peringkat paling atas ialah Naib Presiden, diikuti oleh Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri selain Ahli Majlis Tertinggi

Walau bagaimana pun, sampai hari ini kedua-dua pemimpin tertinggi parti UMNO ini tidak pernah dilihat memberikan sebarang isyarat atau tanda menyokong sesiapa diantara mereka yang bertanding itu. Tiada siapa yang tahu siapa yang Presiden sokong atau mahukan untuk menjadi Naib-Naib Presiden itu kerana terdapat enam orang yang bertanding. Tiada siapa juga boleh mengetahui siapa yang Presiden mahu untuk menjadi Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan juga Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Inilah sikap sebenar seorang pemimpin yang adil dan bijak. Beliau tidak akan sekali-kali membiarkan kata-kata beliau tersasul sehingga orang boleh membuat tafsiran bahawa beliau menyokong sianu dan sianu, kerana beliau tahu jika pertandingan berlaku, maka terpulanglah kepada perwakilan sendiri untuk membuat pilihan mereka secara demokrasi.

Malang seribu kali malang, contoh yang ditunjukkan ini tidak diikuti oleh sesetengah pemimpin diperingkat Bahagian. Sudah ada yang terang-terangan menyokong sianu dan sianu. Apabila dijemput hadir oleh orang yang bertanding diperingkat bawahan, beliau akan istiharkan sokongannya kepada orang itu secara terbuka. Esoknya, beliau akan istihar menyokong orang lain pula kerana orang lain itu pula yang menganjur perjumpaan di tempat lain dan menjemputnya.

Taktik bersifat ‘psychological’ pemimpin Bahagian seperti ini adalah taktik lama. Beliau sebenarnya cuba mendapatkan sokongan untuk dirinya sendiri sahaja kerana beliau sendiri pun menghadapi cabaran. Orang lain menang atau kalah beliau tidak peduli.

Dahulu saya pernah berkata bahawa perpecahan dalaman parti berlaku sebaik sahaja berlakunya pertandingan diperingkat jawatan tertinggi Bahagian iaitu jawatan Ketua UMNO Bahagian. Sekarang bukan itu sahaja yang menyebabkan perpecahan. Sikap penyandang juga menambahkan lagi perpecahan ini kerana sudah tentulah calon-calon yang tidak disokongnya itu merasa tidak senang dan beranggapan bahawa Ketua seperti ini bersikap pilih kasih dan tidak adil.

Sepatutnya Ketua seperti ini tidak mencampuri dan tidak menzahirkan sokongannya kepada mana-mana orang. Beliau sepatutnya berkata, contohnya begini….
“macam mana ambo nak campur? ambo sendiri pun ada orang yang cabar. Jadi pandai-pandai sendirilah masing-masing cari sokongan daripada perwakilan. Ambo nak contohi sikap dan tindak tanduk yang ditunjukkan oleh Presiden parti. Ambo malu ke dia sebab ambo rapat dengan dia dan ambo pun bertanding di MT”

Kalaulah macam ini kata-kata nasihatnya kepada calon-calon lain dan perwakilan, saya yakin penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian yang ikhlas seperti ini di mana-mana pun akan terus menang lagi, walaupun dicabar hebat, termasuk jugalah penyandang di tempat saya iaitu Pasir Puteh.

Wan Ab Malek bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment