Wednesday 1 August 2012

MyDiary (74)

MyDiary (74)
2 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

HARAPAN PENGUNDI-PENGUNDI DI KAMPUNG

Saya diminta menulis sedikit tentang tajuk di atas ini. Permintaan ini datangnya dari seseorang yang mewakili orang-orang kampung yang akan mengundi BN dalam PRU13 ini. Beliau merupakan orang lama UMNO yang tidak terlibat dalam apa jua permasalahan atau krisis politik dalaman parti tetapi berperanan sebagai ‘orang tua’ kepada mereka yang memegang jawatan di dalam UMNO Pasir Puteh dan juga Semerak.

Katanya, nilai setiap undi yang akan disumbangkan kepada UMNO dan BN dalam setiap pilihanraya adalah tinggi namun orang-orang kampung tidak meminta dibayar dengan apa-apa. Mereka hanya sekadar inginkan supaya kerajaan negeri Kelantan beralih kuasa sepertimana juga orang-orang di bandar yang menyokong BN. Ini bermakna bahawa undi yang mereka berikan adalah sama nilainya dengan undi yang diberikan oleh orang-orang di bandar.

Walau pun begitu, katanya, apa yang diperolehi oleh orang-orang di kampung tidak sama dengan apa yang diperolehi oleh orang-orang di bandar. Orang-orang di bandar sentiasa mendapat faedah pembangunan yang jauh lebih besar berbanding dengan orang-orang di kampung. Segala infrastrukturnya lengkap dan amat memudahkan mereka sedangkan apa yang diperolehi oleh orang-orang kampung selalunya secara ‘ala kadar’ sahaja.

Beliau memberikan satu contoh dimana jalan-jalanraya di bandar begitu jauh dimajukan dengan kos yang sangat tinggi tetapi di kampung-kampung jalan yang berlubang pun tidak diselenggarakan. Tidak cukup dengan di bawah, jalan bertingkat dibina untuk orang-orang di bandar dengan kos ada yang mencecah berbilion ringgit tetapi jalan-jalan di kampung terus dibiarkan dengan keadaan rosaknya semakin menjadi-jadi.

Beliau berharap kerajaan Barisan Nasional atau BN akan memberikan perhatian kepada keperluan orang-orang kampung dengan sewajarnya nanti jika kerajaan negeri beralih kuasa melalui undi orang-orang kampung ini.

Itu sahaja yang diperlukan sebagai balasan kepada budi orang-orang kampung mengundi BN. Nikmat-nikmat lain, jika ada, beliau berkata itu terpulanglah kepada kerajaan untuk merancang dan melaksanakannya asalkan kemudahan asas seperti jalanraya diutamakan terlebih dahulu.

Harapan oleh “Abe Nor Pandai Besi” dari Kampung Telaga Papan, Semerak sebagai mewakili orang-orang kampungnya. Beliau ialah seorang veteran UMNO yang juga memegang jawatan Ketua UMNO Cawangan Semarak B, Semerak.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment