Monday 6 August 2012

MyDiary (78)


MyDiary (78)
7 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PENGAGIHAN BARANGAN KEPERLUAN KEPADA ORANG-ORANG KAMPUNG DALAM DUN SEMERAK OLEH PEMEGANG JAWATAN PENTING PARTI UMNO BAHAGIAN PASIR PUTEH

‘Trend’ mengadakan majlis menghulurkan bantuan kepada orang-orang kampung, terutamanya orang-orang miskin, nampaknya sudah mulai hendak diamalkan oleh pihak pemegang-pemegang jawatan penting dalam UMNO Bahagian Pasir Puteh. Beras, gula, milo, biskut, barangan seperti periuk nasi eletrik dan lain-lain menjadi antara barangan yang dibawa untuk disumbangkan. Oleh kerana mereka adalah orang-orang parti, maka pakaian yang dipakai pun melambangkan mereka sebagai orang-orang parti juga. Begitu jugalah dengan kenderaan yang mereka gunakan. Bendera parti dipasang seolah-olah mereka sedang berkempen didalam musim pilihanraya.

Saya tidak tahu mengapa aktiviti ini baru hendak dimulakan. Alangkah baiknya jikalau aktiviti ini sudah berjalan dari dahulu lagi. Ini adalah kerana proses untuk menawan hati pengundi-pengundi bukan boleh dibuat dalam masa yang singkat. Sepatutnya, aktiviti kebajikan seperti ini sudah dimulai sebaik sahaja setiap orang yang memegang jawatan ini mula memegangnya dulu. Setelah tiga tahun lebih memegang jawatan barulah mereka menampakkan batang hidung masuk kampung berjumpa dengan orang-orang kampung.. Sudah tentulah apa yang dilakukan itu boleh ditafsirkan sebagai aktiviti politik semata-mata kerana pilihanraya sudah semakin hampir. Maka dengan itu, UMNO dilihat sebagai tidak lebih daripada platform untuk mereka yang berkepentingan ini mencari pengaruh untuk diri mereka sendiri sahaja, bukan untuk parti.

Slogan dan budaya UMNO yang berbunyi “Bersatu Bersetia Berkhidmat” diamalkan secara bermusim. Ianya mendapat perhatian dan diamalkan hanya apabila masuknya musim pemilihan dan pilihanraya sahaja. Sepatutnya slogan ini diamalkan sepanjang masa secara konsisten tanpa mengambilkira apa musimnya.

Dalam kaitan ini, saya dapati ada perbezaan aktiviti yang dilakukan oleh seseorang yang tidak memegang sebarang jawatan politik dengan orang yang memegangnya. Orang yang tidak memegang jawatan ini sudah pun bertahun-tahun melakukan kerja membantu orang-orang miskin ini. Kadang-kadang aktivitinya diketahui orang tetapi lebih banyak yang tidak diketahui. Buat pada masa ini, oleh kerana zaman ini ialah zaman Facebook, maka aktivitinya kadang-kadang dipaparkan jika ada bersamanya seseorang yang mempunyai akaun Facebook.

Walau bagaimana pun, saya bukan bermaksud untuk memperkecilkan usaha yang dilakukan itu. Usaha seperti ini harus diteruskan walaupun selepas pilihanraya. Jika tidak, orang ramai akan melihatnya seperti apa yang telah saya sebutkan di atas itu tadi bahawa UMNO akan dianggap semata-mata sebagai alat sahaja bagi mereka yang berkepentingan kerana mereka memegang jawatan didalam parti ini padahal UMNO itu sendiri membawa tiga slogan penting yang sepatutnya menjadi amalan mereka pada setiap masa dan ketika.

Oleh itu, teruskanlah usaha anda itu dan jangan berhenti.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment