Thursday 16 August 2012

MyDiary (86)


MyDiary (86)
17 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

MASA YANG TIDAK SEHARUSNYA DIBUANG LAGI OLEH AHLI-AHLI UMNO PASIR PUTEH

Ahli-ahli UMNO Pasir Puteh tidak sepatutnya membuang masa lagi. Persiapan untuk menghadapi PRU13 sepatutnya dijadikan sebagai satu kerja yang paling utama pada masa ini. Mereka yang ditugaskan sebagai jentera parti sepatutnya menggunakan sepenuh masanya untuk tujuan itu tanpa melibatkan lagi aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah. Tumpuan dan fokus harus diberikan kepada kerja memperkukuh perpaduan dan sokongan kepada parti UMNO.

Semua ahli UMNO harus mengembeling tenaga mereka sepenuhnya dengan cara dan tahap kemampuan masing-masing. Diperingkat kepimpinan, mereka seharusnya memastikan apa yang telah dirancang itu berjalan dengan lancar. Diperingkat jentera pula, mereka berkewajipan untuk menentukan apa yang telah dirancang itu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Saya tidak mahu menyentuh tentang kerja yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO Pasir Puteh. Begitu juga tentang kerja jentera parti kerana saya sudah banyak kali menyentuhnya di dalam artikel-artikel saya yang lepas. Kali ini saya ingin menyentuh pula tentang kerja-kerja sokongan oleh ahli-ahli UMNO selain daripada dua kumpulan di atas itu.

Mereka adalah para pemikir yang banyak menulis atau menghasilkan bahan tulisan politik seperti saya. Mereka berfikir dan menulis di dalam banyak ‘wall-wall’ Facebook mengenai banyak perkara yang menyentuh isu politik. Ada yang menulis sekali sekala sahaja tetapi ramai juga ahli-ahli UMNO yang menulis secara tetap dan kerap. Ada juga yang tidak pernah menulis apa-apa tetapi sentiasa membaca apa yang orang lain tulis. Oleh kerana masing-masing mempunyai stail menulis yang berbeza-beza, maka hasil tulisan mereka pun boleh mencerminkan sikap dan peribadi mereka yang berbeza-beza juga.

Apa pun, semua ahli UMNO ini sama sahaja dari segi matlamatnya termasuk mereka yang tidak pernah menulis itu. Mereka semua inginkan UMNO menang dalam PRU13 ini.

Sumbangan mereka mungkin dianggap tidak sebesar sumbangan kepimpinan dan jentera parti didalam usaha untuk menentukan parti UMNO mencapai kemenangan dalam PRU13 ini. Mereka sekadar berada di rumah dengan aktiviti menghadap komputer dan menulis sahaja sedangkan kepimpinan dan jentera parti terpaksa berhempas pulas dengan program-program parti pada setiap masa siang dan malam.

Sebaliknya, saya tidak pula melihat sumbangan para pemikir ini kecil. Pada saya, sumbangan mereka ini mungkin lebih besar dan lebih bermakna berbanding kerja-kerja yang dilakukan oleh kepimpinan dan jentera parti itu sendiri. Ini adalah kerana usaha mereka melibatkan perahan otak demi menyalurkan ‘idea’ yang baik kepada kepimpinan dan jentera parti. Kerja mereka tidak mengenal masa. Mereka sebenarnya ‘bekerja’ siang dan malam juga, bahkan melebihi kepimpinan dan jentera parti.

Saya berani berkata sedemikian kerana saya sendiri pun sudah lama terlibat juga dengan kerja penulisan ini secara aktif seperti mereka itu. Yang berbeza hanyalah saya lebih menumpukan kepada penulisan artikel untuk dimuatkan ke dalam blog tetapi mereka yang lain itu melibatkan diri mereka di dalam menghasilkan tulisan di dalam Facebook.

Yang membezakan juga ialah saya menulis secara serious tetapi masih ramai lagi para pemikir ini yang suka menulis dengan cara santai dengan menyentuh perkara-perkara remeh dan tidak relevan. Masih lagi ramai yang suka membuang masa melayan lawan-lawan dari pihak lain berbahas dengan panjang lebar dan berjela-jela.

Saya tidak melihat kegiatan seperti ini mendatangkan faedah kepada parti. Membuang masa ‘bermain’ dengan hujah-hujah menegakkan benang yang basah adalah sesuatu yang seharusnya tidak lagi dijadikan amalan pada masa ini. Kerja politik bukan seperti bermain dam. Kalah menang dalam pertandingan bermain dam ini tidak memberi sebarang faedah kepada kedua-dua pemain itu melainkan keseronokan semata-mata.

Para pemikir yang aktif menulis ini sepatutnya bersikap professional. Mereka bukan budak-budak sekolah yang berterusan ‘bermain’ dan ‘bergurau’ sepanjang masa sehingga kerja sebenar dilupa dan diabaikan. Daripada membuang masa berhujah dengan pihak lain yang menyokong parti lawan, saya rasa adalah lebih baik mereka menumpukan perhatian kepada usaha sebenar sepertimana yang dikehendaki oleh perlembagaan parti dan juga kepimpinannya. Berbahas selama mana pun dengan pihak yang menyokong parti lawan ini tidak boleh menghasilkan sebarang kesan keatas mereka. Mereka tetap menyokong parti mereka sepertimana juga kita.

Oleh itu, saya rasa adalah lebih baik jika masa diisi dengan penulisan bahan-bahan yang boleh menarik pengundi-pengundi supaya menyokong parti UMNO.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment