Sunday 5 August 2012

MyDiary (77)


MyDiary (77)
6 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

N31 SEMERAK: -
PELUANG BN SEMAKIN HARI SEMAKIN TIPIS

Tajuk diatas sudah tentu mengundang kemarahan orang-orang UMNO tetapi ianya tetap suatu kenyataan yang tidak boleh dinafikan.

Pada suatu peringkat dahulu, peluang ini dilihat sangat cerah tetapi akhir-akhir ini peluang itu semakin hari semakin disia-siakan. Sekarang, ianya sudah agak terlambat dan tidak boleh diperbaiki lagi walau dengan apa cara sekali pun.

Pada suatu peringkat dahulu, segala usaha telah dilakukan untuk menentukan supaya BN dapat merampas kembali kuasa N31, tetapi peluang itu telah dapat direbut semula oleh PAS. Sekarang, orang-orang UMNO terutamanya jentera pilihanraya hanya pandai bercakap kosong untuk menyedapkan hati kepimpinan parti sahaja sedangkan pada hakikatnya mereka sendiri pun tahu bahawa kekuatan BN semakin menurun. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana mereka memikul tugas parti secara berbayar, maka dengan itu ‘KPI’ hendaklah sentiasa dijaga supaya ‘periuk nasi’ mereka tidak terjejas.

Orang-orang parti sebenar atau tulen bukan seperti mereka. Mereka yang terdiri daripada Ketua-Ketua Cawangan contohnya, tidak hipokrit dan tidak mahu menipu orang ramai dan juga diri mereka sendiri dengan kepalsuan seperti itu. Mereka semua tetap mengakui dengan nyata dan jelas tanpa berselindung bahawa kepimpinan UMNO Pasir Puteh dan Semerak semakin hari semakin mensia-siakan peluang yang ada dan mereka diperingkat Cawangan pula tidak boleh berbuat apa-apa kecuali melihat dan tunggu sahaja.

Ini berlaku kerana keutamaan menggerakkan gerakerja parti sudah tidak diberikan kepada Ketua-Ketua Cawangan seperti biasa lagi. Keutamaan telah diberikan kepada JKKKP sebaliknya. Banyak sangatlah perkara-perkara yang tidak diketahui oleh Ketua-Ketua Cawangan menyebabkan mereka tidak boleh bergerak untuk membantu parti.

Dalam keadaan sokongan yang semakin hari semakin menurun ini, jentera parti dilihat semakin hari semakin seronok. Seolah-olah kerja mereka sudah selesai dan hanya menunggu tibanya saat-saat meraikan kemenangan. Ini dapat dilihat dengan jelas terutamanya apabila ada kunjungan pembesar parti. Mereka merasa sangat seronok kerana dapat bertemu mata dan bersalam dengan pembesar parti yang datang ini. Apa lagi, jika gambar mereka diambil pula untuk dipaparkan di dalam akhbar tempatan esoknya. Sudah tentulah, keratan akhbarnya dipaparkan pula ke dalam Facebook supaya orang-orang lain pun tahu bahawa mereka adalah orang-orang kuat parti dan rapat dengan kepimpinan UMNO Bahagian.

Itulah sahaja apa yang penting bagi mereka yang dianggap melambangkan kemenangan dalam pilihanraya nanti. Mereka masih tidak lagi sedar bahawa ketika ‘beras’ sudah kehabisan, orang-orang PAS sudah bersedia dengan ‘ubi kayu’ tetapi orang-orang UMNO tidak pun menanam pokoknya kerana terlalu asyik membuang masa di kedai-kedai kopi dari pagi sampai petang dengan cerita-cerita penglipur lara untuk menghiburkan hati mereka sendiri 

Mereka masih tidak lagi sedar bahawa diantara faktor paling penting untuk menentukan kemenangan dalam pilihanraya ialah faktor undi oleh pengundi-pengundi luar.  Mereka tidak sedar bahawa dari segi ini, UMNO dan BN Semerak sudah semakin jauh ketinggalan berbanding PAS. Mereka tidak sedar bahawa PAS sudah ‘mengikat’ pengundi-pengundi luar ini dengan ikatan dan simpulan yang sangat kuat sedangkan kepimpinan UMNO tidak mahu berbuat apa-apa walaupun sudah lama diberikan cadangan yang bernas dan praktikal untuk memikat hati mereka semula. Mereka tidak tahu bahawa pengundi-pengundi luar ini bukan semuanya orang-orang PAS tetapi mereka kecewa kerana kepimpinan UMNO Pasir Puteh tidak pernah mahu mengambil peduli tentang kepentingan undi yang akan dibawa pulang oleh mereka nanti.

Inilah akibatnya apabila keutamaan sesuatu perkara itu tidak diletakkan ditempatnya yang sewajarnya. Kalau dahulu, Ketua-Ketua Cawangan yang lebih tahu dan arif mendahului JKKKP, tetapi sekarang mereka tidak lagi dilayan sebegitu.

Tiap-tiap hari Ketua-Ketua Cawangan ini hanya melihat ‘cop’ Ketua Cawangannya yang sudah bertahun-tahun tersimpan di dalam almari bersama sekotak dakwatnya yang telah diberikan oleh kepimpinan Bahagian pada waktu mula-mula kepimpinan Bahagian ini mengambilalih kuasa pada 8 Nov 2008.

Ada Ketua Cawangan yang berkata bahawa ‘cop’nya masih putih lagi kerana tidak pernah digunakan.


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment