Sunday 26 August 2012

MyDiary (90)


MyDiary (90)
27 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

PERPADUAN PARTI UMNO PASIR PUTEH

Sehingga ke hari ini orang-orang UMNO Pasir Puteh masih menunggu-nunggu saat diadakan pertemuan ‘meja bulat’ diantara pemimpin dua kelompok terbesar yang telah mengakibatkan perpecahan didalam parti UMNO.

Kata mereka, pertemuan pertama ini hendaklah diadakan dengan kadar segera supaya perpecahan tidak terbawa-bawa sehingga ke hari pilihanraya. Mereka mahu supaya dua kelompok ini bergabung semula sebagai sebuah pasukan dibawah satu panji untuk mara ke medan perang menghadapi musuh. Mereka mahu supaya kedua-dua pemimpin ini berkorban demi parti UMNO, satu-satunya parti yang didokong oleh semua orang UMNO. Mereka semua mahu supaya kedua-dua pemimpin ini melupakan sejenak persengketaan yang lalu.

Dengan itu, langkah harus dimulakan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh untuk merealisasikan pertemuan bersejarah ini. Tiadalah lagi saat yang paling menggembirakan orang-orang UMNO Pasir Puteh melainkan saat seperti ini apabila mereka menyaksikan pertemuan pertama ini. Pertemuan pertama yang akan merintis jalan kepada perpaduan parti yang sebenar.

Mereka mahu supaya kedua-dua pemimpin ini insaf dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri. Perpaduan sahajalah yang masih tinggal sebagai modal untuk memenangkan parti dalam pilihanraya nanti. Tanpa perpaduan, semua orang tahu bahawa UMNO akan kecundang lagi disebabkan kerapuhannya.

Saya mencadangkan supaya Setiausaha UMNO Bahagian Pasir Puteh diberikan mandat untuk menjalankan tugas-tugas menyelaras pertemuan pertama ini bagi pihak UMNO Bahagian Pasir Puteh sementara seorang wakil utama memainkan peranannya bagi pihak yang kedua. Selaku 'fasilitator' pula, saya cadangkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Puteh.

“BERSATU”   “BERSETIA”   “BERKHIDMAT”


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment