Saturday 4 August 2012

MyDiary (76)


MyDiary (76)
5 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

LAWATAN YB DATUK SERI DR. ZAHID HAMIDI KE SEMERAK

Lawatan seorang menteri kanan ke Semerak pada 4 Ogos 2012 boleh membawa seribu makna. Bagi orang-orang UMNO ianya sudah tentu membawa seribu makna yang sangat positif tetapi bagi orang-orang PAS pula tafsirannya sudah tentulah dengan cara lain yang dibuat-buat.

Beliau telah singgah untuk bersama-sama dengan jemaah Semerak di Masjid Al-Taqwa menunaikan solat isya’ dan tarawih serta mengambil masa juga ke Bilik Gerakan BN DUN Semerak yang baru dibuka untuk bertemu mata dengan jentera pilihanraya secara santai dan tidak formal.

Bagi saya, orang-orang Semerak sangat bertuah walaupun orang-orang PAS menganggapnya tiada apa-apa kecuali ianya sekadar lawatan politik menjelang PRU13 sahaja.

Saya berkata bahawa orang-orang Semerak sangat bertuah kerana beliau memilih untuk datang ke Semerak bukan ke tempat-tempat yang lain dalam sedikit kesempatan yang ada. Sudah tentulah beliau mempunyai sebab yang kuat dan munasabah mengapa memilih Semerak kerana sebagai seorang menteri kanan sudah tentulah juga orang-orang di tempat lain pun inginkan supaya beliau datang ke tempat mereka juga.

Walau bagaimana pun, lawatan singkat beliau seperti ini bukan membawa sebarang projek untuk orang-orang Semerak. Beliau datang bukan dengan tujuan untuk merasmikan sebarang perletakan batu asas atau merasmikan sebarang projek yang baru disiapkan oleh kontraktor.  Kedatangan beliau hanyalah sebagai seorang pemimpin UMNO untuk berjumpa dengan orang-orang UMNO di Semerak dan mengapa belaiu memilih Semerak itulah yang menjadi sesuatu yang penting.

Untuk menjelaskannya lagi, beliau datang ke Semerak bukan secara suka-suka sahaja tanpa sebarang tujuan yang penting. Seorang menteri yang juga merupakan seorang Naib Presiden parti tidak berbuat sesuatu seperti itu walaupun kunjungannya tidak formal. Oleh itu, lawatan belaiu bukanlah satu lawatan kosong walaupun tidak dinyatakan dengan jelas apa tujuan sebenarnya itu. Sudah tentulah juga lawatannya ini bukan semata-mata dengan kemahuannya sendiri tetapi kemungkinan besar ‘diarah’ juga oleh Presiden parti sendiri.

Bagi saya, diantara sebab utama beliau ke Semerak ialah untuk melihat dan meninjau sendiri sejauh mana ‘perpaduan’ parti UMNO di Pasir Puteh telah dicapai. Ini adalah kerana beliau tahu bahawa masalah perpaduan ahli-ahli UMNO Pasir Puteh masih lagi berada ditahap yang ‘kritikal’ dan membimbangkan. Belaiu tahu bahawa jika perpaduan ini tidak diperbaiki dan diperbetulkan, parti UMNO tidak akan berjaya dalam PRU13 ini di Pasir Puteh.
.
Ini sekurang-kurangnya boleh dilihatnya sendiri melalui kehadiran pemimpin-pemimpin UMNO Pasir Puteh bersamanya di Semerak. Jika semua pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Pasir Puteh hadir, itu bermakna sekurang-kurangnya proses perpaduan sudah mulai memberi kesan kearah yang positif. Jika sebaliknya, proses ini masih sukar kerana perpaduan parti hanya bermula dari peringkat atasan dahulu.

Oleh itu, saya berharap sangatlah supaya kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh terlebih dahulu membuktikan kepada ahli-ahli di bawah bahawa mereka mampu ‘bersatu’ dalam ertikata yang sebenar. Sepertimana juga YB Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, ahli-ahli UMNO Pasir Puteh pun mahu supaya ini dicapai terlebih dahulu dengan segera untuk membolehkan gerakerja pilihanraya berjalan dengan lancar seterusnya kemudian.

“Bersatu Teguh Bercerai Roboh”


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment