Friday 3 August 2012

MyDiary (75)


MyDiary (75)
3 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PUAN HAJJAH KARIMAH BT HAJI MOHD NOR
BAKAL PENGERUSI PDK SEMERAK YANG BARU

‘PDK Semerak’ ialah sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti atau ‘PDK’ iaitu sebuah pusat latihan untuk kanak-kanak OKU dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Terletak di sebuah rumah banglo yang disewa di sebuah taman perumahan berhampiran Pusat Kesihatan Cherang Ruku, pusat ini telah lama wujud dengan jumlah kira-kira 40 orang murid yang menjalani program latihan khas dibawah tiga orang guru. Jadual persekolahan mereka ialah dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari dari hari Ahad hingga hari Rabu setiap minggu. Murid-murid ini berada bersama di dalam satu kumpulan mereka yang tersendiri dengan umur yang berbeza-beza dan dengan pakaian seragam khas mereka.

Sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk PDK ini sepertimana juga PDK-PDK di setiap DUN yang lain iaitu Selising, Limbongan dan Gaal dengan seorang Pengerusi yang dipilih dalam mesyuarat agung. Untuk PDK Semerak, Pengerusinya ialah YB ADUN Semerak.

Puan Hajjah Karimah Bt Hj Mohd Nor ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Puteh dan juga bekas seorang Senator. Beliau sedang diura-ura akan bertanding untuk jawatan Pengerusi PDK Semerak apabila sampai masanya mesyuarat agung PDK ini diadakan nanti. Sepertimana biasa, sudah tentulah pertandingan akan berlaku jika Pengerusi sekarang hendak mempertahankan jawatan ini. Pertandingan ini akan berlaku dengan mengira undi yang akan diperolehi oleh masing-masing calon mungkin hanya dengan cara mengangkat tangan sahaja. Untuk tujuan itu, sudah tentulah penyokong kedua-dua calon dikehendaki hadir dan mereka adalah ibubapa murid-murid PDK ini sebagai ahli-ahlinya.

Saya dengan ini ingin mengambil sedikit kesempatan awal untuk memaklumkan bahawa PDK Semerak memerlukan seorang Pengerusi yang baru untuk menggantikan Pengerusi sedia ada. Ini adalah kerana PDK berada di bawah JKM, maka lebih sesuai dan sewajarnyalah Pengerusinya terdiri daripada seseorang yang menjadi ahli UMNO dan penyokong kerajaan pusat walaupun syarat ini tidak dimestikan. Sebab itu, PDK-PDK lain di Pasir Puteh semuanya dipengerusikan oleh orang-orang UMNO bukan orang-orang PAS.

Saya tidak bermaksud untuk cuba mengheret PDK Semerak ini kedalam kancah politik kepartian tetapi sebagai seorang bapa yang mempunyai seorang anak yang belajar juga di PDK ini, saya telah dapati wujud kesukaran-kesukaran tertentu apabila jawatan ini disandang oleh seseorang yang bukan penyokong kerajaan pusat. Sebagai contoh, pernah satu majlis diadakan untuk murid-murid PDK seluruh Pasir Puteh dimana isteri Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan hadir sebagai tetamu undangan untuk menyampaikan sumbangan kepada murid-murid ini yang telah dihadiri oleh semua Pengerusi-Pengerusi PDK lain tetapi tidak oleh Pengerusi PDK Semerak.

Ini hanyalah satu contoh sahaja. Bayangkanlah kesukaran-kesukaran lain yang boleh dihadapi oleh PDK ini jikalau majlis seumpama itu pun tidak boleh dihadiri oleh seorang Pengerusi yang tidak sama kepentingan dan aliran politiknya.

Oleh itu, saya dan juga ibubapa-ibubapa lain di PDK Semerak ini sangat-sangatlah berharap supaya Puan Hajjah Karimah Bt Hj Mohd Nor, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Puteh sudi apalah kiranya memegang jawatan Pengerusi PDK ini nanti demi murid-murid OKU di DUN Semerak.

Saya yakin dengan sokongan padu seluruh ibubapa murid-murid PDK ini, PDK Semerak akan lebih maju dan lebih terbela dibawah Puan Hajjah Karimah sebagai Pengerusinya untuk tempuh masa yang mendatang ini.

Kepada YB ADUN Semerak pula, saya bukan bermaksud untuk memperkecilkan kemampuan beliau selama ini tetapi berharap beliau sudi melepaskan jawatan ini kepada Puan Hajjah Karimah pula. Jika ini boleh dilakukan, sudah tentulah ianya lebih baik kerana tiada pertandingan perlu dijalankan. Segala jasa dan budi baik beliau sepanjang tempuh menjawat jawatan Pengerusi PDK ini sudah tentu diingati dan saya bagi pihak semua ibubapa murid-murid PDK Semerak dan juga AJKnya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Jasa YB tetap dikenang jua.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment