Friday 17 August 2012

MyDiary (87)


MyDiary (87)
17 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

PROGRAM KOSMETIK UMNO BAHAGIAN PASIR PUTEH

Saya yakin kritikan keras saya sebelum ini tentang kegagalan perpaduan parti dan pengundi luar atau 3PL itu telah mendapat perhatian dan tindakan segera oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Oleh itu, saya ingin mengambil sedikit kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Sekurang-kurangnya usaha sudah dibuat walaupun sudah terlewat.

Pada masa ini, orang-orang Pasir Puteh yang tinggal di Kuala Lumpur dan di lain-lain tempat sudah mulai pulang ke Kelantan untuk berhari raya di kampung masing-masing. Ada yang pulang menaiki bas, ada juga dengan kapal terbang. Ada yang memandu bersama keluarga, ada juga dengan keretapi. Ramainya orang-orang Pasir Puteh yang tinggal atau bekerja di Kuala Lumpur dan di tempat-tempat lain boleh dilihat setiap kali hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha menjelang tiba apabila mereka semua pulang ke Pasir Puteh. Mereka tidak sebegitu ramai untuk pulang pada hari cuti-cuti yang lain.

Kepulangan mereka pada tahun ini menyaksikan sedikit kelainan. Kalau ditahun-tahun yang lalu, tiada sesiapa menyambut mereka di sempadan Terengganu/Kelantan contohnya, tetapi pada tahun ini ada kain rentang dengan kata-kata menyambut kepulangan mereka. Di situ, mereka akan ditahan oleh beberapa orang yang memakai baju merah dan apabila cermin pintu diturunkan, salam dihulur dan disusuli dengan pertanyaan ‘apa khabar dan dari mana’. Pemandu kenderaan yang ditahan itu pun menjawab ‘dari KL’ contohnya, sambil tangannya menerima sebuah beg plastik yang ada isi di dalamnya. Penyambut dan pemandu pun sama-sama mengucapkan terima kasih sambil berlalu dengan penuh senyuman.

Bagi yang menyambutnya tadi, hatinya berharap orang itu faham bahawa sambutan beserta buah tangan itu bermakna. Hatinya berharap orang itu tadi adalah pengundi luar yang akan pulang lagi nanti ke Pasir Puteh untuk mengundi BN apabila PRU13 diumumkan. Seorang demi seorang pemandu ditahannya. Sudah tentulah jumlah kenderaan yang lalu pada masa ini sangat banyak dan sudah tentulah harapan penyambut-penyambut seperti itu tadi setinggi gunung supaya mereka semua adalah penyokong-penyokong parti UMNO dan BN.

Itu semua hanyalah ‘harapan’ semata-mata. Mana mungkin penyambut itu tadi boleh bertanya kepada pemandu yang ditahannya itu soalan-soalan seperti “demo parti gapo?” atau berkempen “pakoh dacing deh!”.

Sebab itulah saya telah tekankan dari awal-awal dulu lagi supaya kepimpinan UMNO Pasir Puteh jangan melengah-lengahkan masa dalam soal menarik sokongan pengundi-pengundi luar ini. Kaedahnya hendaklah awal dan dilakukan dengan cara “outreach” iaitu kepimpinan sendiri pergi ke Kuala Lumpur contohnya, untuk menemui mereka secara peribadi dan juga secara berkumpulan. Dengan cara ini, barulah dapat dipastikan siapa yang benar-benar berstatus ‘pengundi luar’ dari Pasir Puteh itu. Dengan sekadar menahan mereka di sempadan sahaja, kita tidak boleh tahu yang mana pengundi luar Pasir Puteh dan yang mana bukan tetapi apabila kenderaan itu ditahan, mahu tidak mahu kita terpaksa menganggap mereka sebagai pengundi luar Pasir Puteh juga walaupun bukan. Maka, lain yang disasar, lain yang terkena. Sehari suntuk berpenat lelah, hasilnya belum tentu berbaloi. Buah tangan habis, undi belum tentu.

Program itu melibatkan kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Kita tengok pula program yang melibatkan sayapnya iaitu Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh yang juga berkaitan dengan pengundi-pengundi luar.

Semalam telah diadakan satu program ‘Makan Colek’ peringkat Pemuda UMNO DUN Semerak di sebuah warong di tepi jalan pekan Semerak untuk meraikan pengundi-pengundi luar Semerak yang mana sudah pulang untuk berhariraya. Program itu sangat berjaya kerana jumlah kehadirannya yang sangat besar. Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pemuda UMNO DUN Semerak kerana mampu menarik sebegitu ramai orang ke majlis ini.

Kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian dilihat sangat berpuas hati dengan kejayaan program itu termasuk jugalah Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sendriri yang turut hadir dan berucap. Mereka menganggap bahawa ini juga sebagai petanda UMNO/BN Semerak akan mencapai kejayaan di dalam PRU13 nanti. Kepimpinan Pemuda berhak merasa begitu walaupun pada hakikatnya, jumlah pengundi luar yang hadir itu bukan sebenarnya boleh lagi dianggap sebagai lambang kejayaan kerja Pemuda UMNO DUN Semerak dalam PRU13 nanti.

Saya yakin mereka pun tahu bahawa jumlah itu tidak boleh dijadikan kayu ukur kejayaan dalam PRU13 ini kerana jumlah pengundi-pengundi luar yang hadir dan dibangga-banggakan itu masih lagi jauh berbanding dengan jumlah yang sudah berjaya digenggam oleh ADUN PAS Semerak.

Sebab itulah, kedua-dua program parti UMNO itu saya labelkan sebagai program kosmetik kerana ianya dibuat hanya untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Hati pengundi-pengundi luar ini tidak juga dapat diselami dan dipastikan kerana mereka tidak pernah diziarahi sebelum ini di tempat mereka oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh.  

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment