Wednesday 8 August 2012

MyDiary (80)


MyDiary (80)
8 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PRU13 PASIR PUTEH: ULANG TAYANG PRU12

Apabila kita melihat dengan jelas terdapat dua (2) faktor utama yang boleh merubah keadaan tidak dijadikan perhatian secara serious oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh, maka harapan memenangi pilihanraya yang mendatang ini amatlah sukar.

Kedua-dua faktor itu ialah ‘Perpaduan Parti’ dan ‘Pengundi Luar’ atau 3PL.

Saya telah menulis tentang 3PL ini secara mendalam di dalam blog saya dan mengharapkan supaya apa yang telah ditulis itu mendapat perhatian dan tindakan oleh pihak kepimpinan parti. Sayangnya, mereka tidak mementingkan apa yang disampaikan oleh ahli biasa yang tidak memegang sebarang jawatan politik seperti mereka. Mereka memandang rendah segala apa yang telah ditulis itu. Saya tidak kisah kalau betul itu sikap mereka terhadap apa yang telah saya hasilkan selama ini. Saya juga tidak kisah jika parti UMNO Pasir Puteh kalah lagi dengan teruk dalam PRU13 ini. Sudah tentu tulisan-tulisan saya itu tidak akan dijadikan sebagai alasan utama­­­ maka UMNO Pasir Puteh mengalami kekalahan itu kerana apa yang telah ditulis itu adalah semata-mata fakta yang benar.. Sebaliknya, semua ahli-ahli UMNO Pasir Puteh akan dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan kerana memilih kepimpinan parti yang tidak mempunyai kemampuan untuk mengurus parti dengan berkesan dan membawanya kepada kemenangan.

3PL adalah formula biasa yang sebenarnya semua orang tahu akan kepentingannya. Jika ianya dicapai, sesebuah parti itu pasti mencapai kemenangan. Jika sebaliknya, sesebuah parti itu pasti kecundang walau sebanyak mana pun usaha dan wang ringgit dilaburkan. Sebab itu, saya amat menekankan kedua-dua perkara ini sejak dari dahulu lagi melalui pengamatan dan pemerhatian saya.

Apabila 3PL ini sudah dicapai, maka barulah parti boleh terus dibawa kepada usaha-usaha menangani isu-isu politik semasa pula. Tidak ada gunanya membicarakan tentang isu-isu politik sedangkan 3PL ini tidak pun dicapai oleh parti. Parti tidak kuat dan kukuh kerana ketiadaan 3PL ini sepertimana juga sesebuah struktur konkrit tidak kuat dan kukuh kerana ketiadaan besi tetulang di dalamnya. Maka struktur itu tidak boleh menahan beban dan akan runtuh sebelum pun sesebuah bangunan yang dibina itu siap. Pada masa itu, pekerja menghadapi bahaya dan keesokannya mereka lari mencari kerja di tempat lain pula. Oleh kerana kekurangan pekerja, projek pun mengalami kelewatan berbanding jadual asal. Kelewatan ini pula mengakibatkan kontraktor didenda. Jika denda tidak mampu dibayar, projek ditinggalkan dan diklasifikasikan sebagai projek tergendala. Akhirnya, pendaftaran kontraktor itu disenaraihitamkan.

Begitu jugalah nasib yang akan dialami oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh. Struktur konkritnya lemah kerana ketiadaan besi tetulang yang sempurna mengikut spesifikasi. Ini terjadi kerana pengawasan atau penyeliaan kerja yang tidak dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah sehingga kontraktor dapat menipu untuk mencari keuntungan yang lebih.

Dalam konteks UMNO Pasir Puteh, siapa kontraktor, siapa penguasanya dan siapa pekerjanya, terpulanglah kepada anda untuk mentafsirkannya sendiri.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment