Tuesday 14 August 2012

MyDiary (85)


MyDiary (85)
15 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

KEKALAHAN BN DI DUN SEMERAK BAKAL BERPUNCA DARIPADA DUA (2) PERKARA UTAMA (JIKA TIDAK DITANGANI SEGERA)

Saya tahu saya tidak sepatutnya menulis perkara seumpama ini sebagai seorang ahli UMNO, apalagi jikalau menulis perkara yang sama berulang kali. Namun, sebagai seorang penulis bebas, saya sekadar ingin menyuarakan sesuatu yang benar walaupun berulang kali dan pahit rasanya.

Pada ketika ini, masa untuk UMNO Bahagian Pasir Puteh memperbetulkan dua perkara di atas itu sudah agak terlalu lewat dan suntuk masanya kerana kedua-dua perkara itu tidak boleh diperbetulkan dan dibina kekuatannya dalam masa yang singkat.

Perkara yang pertama ialah perpaduan parti. Sampai sekarang usaha menyatukan semula dua kelompok terbesar yang sedang berpecah tidak pernah dibuat. Perpecahan yang berlaku diantara dua kelompok ini sudah tidak menjadi rahsia lagi. Semua orang sudah lama tahu kerana ianya bermula sebaik sahaja tamat pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh pada 8 November 2008.

Pada mulanya perpecahan ini tidak berlaku secara ketara dan besar tetapi oleh kerana kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh terus membiarkannya, maka perpecahan itu sudah menjadi semacam barah di dalam parti UMNO Pasir Puteh. Pada masa selewat ini, saya tidak nampak sebarang usaha dilakukan lagi dan ini menjadi petanda bahawa perpecahan akan berlarutan sehingga PRU13. Pada masa itu, bayangkanlah akibatnya. Sudah tentulah yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu kerana parti sendiri jugalah yang akan mengalami kekalahan.

Saya berkata bahawa kepimpinan UMNO Pasir Puteh tidak mengambil kisah tentang perkara ini kerana dalam setiap perjumpaan atau mesyuaratnya, masalah ini tidak kedengaran difokuskan. Mereka lebih suka memberi arahan kepada petugas-petugas parti supaya bendera-bendera parti diperbanyakkan di tepi-tepi jalan contohnya. Mereka lebih suka menganjurkan majlis berbuka dan ‘makan colek’ sesama mereka kalau dibulan puasa contohnya. Mereka lebih suka juga mengadakan majlis penyampaian zakat contohnya tetapi semua itu dilakukan oleh orang-orang tertentu yang ingin mencari nama dan populariti semata-mata supaya mereka dapat menjadi calon pilihanraya. Sebab itu, mereka sangat gemar jikalau gambar mereka diambil dan dipaparkan ke dalam akhbar atau Facebook.

Mereka tidak mahu memikirkan apa yang akan terjadi kepada parti di dalam pilihanraya nanti jika perpaduan parti tidak ditangani. Yang penting bagi mereka hanyalah populariti dan nama tersenarai sebagai bakal calon pilihanraya sahaja. Mereka masih tidak sedar bahawa ADUN Semerak telah membina dan menjalin hubungan yang rapat sesama pengundi-pengundi PAS DUN Semerak sambil mengawal suasana supaya tiada perpecahan berlaku dikalangan mereka.

Perkara kedua yang dijangka akan menyumbang kepada kekalahan UMNO dan BN di DUN Semerak ialah faktor pengundi-pengundi luar. Faktor kedua ini sudah dianggap sebagai sesuatu yang tidak mungkin boleh dibuat apa-apa lagi oleh UMNO Pasir Puteh dan perkara ini pun bukan rahsia lagi kerana semua orang sudah lama juga tahu tentang hal ini.

Sebahagian besar pengundi-pengundi luar itu sudah berada di dalam genggaman ADUN Semerak. Kepimpinan UMNO Pasir Puteh membiarkan ADUN Semerak ini membina hubungannya dengan pengundi-pengundi luar ini sehingga kepada peringkat ianya sudah boleh menjamin kemenangannya dalam pilihanraya nanti kerana pengundi-pengundi luar ini sudah pun memberikan jaminan mereka untuk pulang dan mengundi beliau. Oleh itu, kemenangan beliau sudah dianggap pasti, bahkan majoriti pun dijangka akan bertambah berbanding PRU12.

Saya tidak tahu samada benar-benar dibuat 'post-mortem' selepas PRU12 dulu dan 'post-mortem' itu dijadikan asas oleh UMNO Pasir Puteh dalam mengatur langkah menghadapi PRU13 pula. Saya yakin jikalau 'post-mortem' itu dibuat, dua perkara ini (3PL) telah dikenalpasti sebagai diantara penghalang utama kemenangan BN di Semerak tetapi masih diabaikan oleh kepimpinan UMNO Bahagian PP sehingga sekarang. Ini belum lagi termasuk kerja-kerja kecil seperti medekati pengundi-pengundi tempatan secara peribadi dan usaha-usaha lain yang boleh membina sokongan kepada parti.

Bukan soal memperbanyakkan bendera dacing di tepi-tepi jalan sahaja (sepertimana yang dikehendaki oleh kepimpinan UMNO Pasir Puteh melalui Bendahari Bahagian dalam mesyuaratnya dengan Pemuda UMNO Semerak baru-baru ini) yang boleh memenangkan parti UMNO, tetapi dua perkara penting itulah yang sepatutnya ditangani dan dijadikan agenda terbesar parti.

Saya menjangkakan ramai ahli-ahli UMNO sendiri di Semerak akan mulai merasa kecewa jika mereka mengetahui bahawa kepimpinan UMNO Pasir Puteh tidak mahu berbuat apa-apa. Oleh itu besar kemungkinan semangat dan sokongan mereka menurun pada musim pilihanraya nanti. Akibatnya, ramai diantara mereka mungkin membuat keputusan untuk tidak mahu keluar mengundi kerana mengetahui undi mereka akan menjadi sia-sia sahaja dan tidak boleh merubah keadaan..

Akibatnya, orang-orang UMNO terpakasa menunggu lima tahun lagi kerana lima tahun yang lalu telah dipersia-siakan dan pada masa yang akan datang keadaan akan menjadi lebih sukar kerana kemungkinan orang-orang UMNO pun ramai yang sudah lari ke parti lain kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinannya.

Akibat dan kesan akhirnya pula ‘at the end of the day’, tinggallah UMNO Pasir Puteh dengan orang-orang yang menang jawatan parti sahaja tetapi UMNO sendiri kalah dan kalah dalam setiap pilihanraya.

Moga-moga tulisan saya kali dianggap sebagai kemuncak ‘amaran’ saya kepada kepimpinan UMNO Pasir Puteh supaya segera berbuat sesuatu. Jika pun masalah pengundi-pengundi luar tidak sempat ditangani atau berbuat apa-apa lagi, sekurang-kurangnya tanganilah masalah perpaduan parti.

Bagi pihak saya sendiri selaku ahli UMNO, saya akan sentiasa membantu sekadar yang terdaya melalui kaedah penulisan seperti ini dengan mencari isu atau bahan politik tempatan yang relevan dalam usaha saya ‘menyerang’ ADUN dan parti PAS Semerak. Selebihnya, terpulanglah kepada kepimpinan UMNO Pasir Puteh.. 

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment