Sunday 26 August 2012

MyDiary (89)


MyDiary (89)
26 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini).

EMPAT (4) JENIS AHLI UMNO DI PASIR PUTEH SEKARANG

Sejak 8 November 2008, ahli-ahli UMNO di Pasir Puteh telah terbahagi kepada empat golongan sehingga sekarang secara ketara.

Golongan pertama : Ahli-ahli UMNO yang setia kepada parti dan menyokong kepimpinan UMNO Bahagian. Mereka terdiri daripada sebahagiannya orang-orang yang telah memenangi jawatan semasa pemilihan dahulu dan mereka yang dilantik ke jawatan parti seperti JKKKP dan lain-lain. Mereka sentiasa menjaga nama baik parti dan kepimpinan Bahagian. Kelemahan mereka ialah menyokong juga kepimpinan Bahagian secara membuta tuli walau mereka sendiri pun tahu dan sedar kadang-kadang kepimpinan ini banyak melakukan kesilapan atau kecuaian yang boleh merugikan parti. Dalam pilihanraya, mereka mengundi BN.

Golongan kedua : Ahli-ahli UMNO yang setia kepada parti tetapi tidak menyokong kepimpinan UMNO Bahagian. Mereka terdiri daripada sebahagiannya orang-orang yang telah memenangi jawatan semasa pemilihan dahulu dan mereka yang tidak memegang jawatan penting parti kecuali jawatan-jawatan biasa seperti Ketua-Ketua Cawangan atau lain-lain. Mereka bersikap agak berani dalam menyuarakan pendapat dan pandangan walaupun mereka tahu kepimpinan Bahagian tidak menyukai sikap mereka ini. Dalam pilihanraya, mereka tetap mengundi BN kerana sayangkan parti walaupun pemimpin yang tidak disukai itu menjadi calon di tempat mereka.

Golongan ketiga : Ahli-ahli UMNO yang kurang setia kepada parti tetapi menyokong kepimpinan UMNO Bahagian. Mereka terdiri daripada orang-orang yang tidak memegang jawatan penting parti dan orang-orang yang bekerja dengan kerajaan dan juga mereka yang berniaga. Mereka berpura-pura mementingkan parti kerana hubungan yang rapat dengan kepimpinan Bahagian. Dalam pilihanraya, mereka masih mengundi BN jika sekiranya orang yang menjadi calon ialah pemimpin yang berkenaan itu.

Golongan keempat : Ahli-ahli UMNO yang sudah tidak setia lagi kepada parti dan juga tidak meyokong kepimpinan UMNO Bahagian. Mereka terdiri daripada orang-orang yang tidak lagi menyerlah di dalam masyarakat tetapi sentiasa memasang telinga untuk mendengar berita-berita tentang politik. Mereka dianggap golongan kecewa mungkin disebabkan kegagalan memperolehi apa yang dihajati daripada parti sebelum ini. Mereka dianggap sudah tidak boleh diberikan apa-apa harapan lagi dan sentiasa terdedah kepada umpanan parti lawan.    

Perlembagaan parti mementingkan kedua-dua golongan pertama dan kedua. Merekalah orang-orang yang membantu parti. Manakala golongan ketiga merupakan orang-orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang mementingkan diri sendiri. Pada kebiasaannya, mereka sekadar ingin menjaga kepentingan jawatan yang disandang atau kepentingan perniagaan sahaja. Golongan keempat pula merupakan orang-orang yang sudah jelas menentang parti. Golongan inilah yang paling merugikan parti kerana mereka menentang secara diam-diam. Walau bagaimana pun, mereka tetap merupakan golongan yang sewajarnya diberikan perhatian oleh kepimpinan Bahagian walaupun pada kebiasaannya pengaruh mereka tidak besar dan tidak banyak memberi kesan keatas ahli-ahli UMNO lain dan pengundi-pengundi. Ini adalah kerana jika pun mereka tidak mudah terpengaruh dengan umpanan parti lawan, mereka masih boleh membuat pilihan untuk bergabung dengan golongan ‘atas pagar’. Jika ini berlaku, perbezaan kecil yang terhasil daripada undian mereka pun kadang-kadang boleh menentukan nasib seseorang calon.

Saya bernasib baik kerana tergolong di dalam golongan kedua.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment