Tuesday 7 August 2012

MyDiary (79)

MyDiary (79)
8 Ogos 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PENGUNDI-PENGUNDI LUAR SEMERAK DI TANGAN ADUN SEMERAK

Pengundi-pengundi luar Semerak dianggarkan berjumlah lebih kurang 1,800 orang kebanyakannya di Lembah Kelang. 

ADUN Semerak YB Wan Hassan telah berjaya ‘mengikat’ sekurang-kurangnya 30% daripada mereka untuk pulang mengundi PAS nanti dalam PRU13, iaitu satu jumlah yang sudah boleh menentukan kemenangan beliau atau pun mana-mana calon PAS di Semerak (jikalau pun beliau sendiri tidak dicalonkan semula) sedangkan pemimpin UMNO Pasir Puteh atau pemimpin UMNO DUN Semerak tidak mampu memperolehi walau 5% pun daripada jumlah itu.

Mereka telah lama mengenali rapat YB Wan Hassan tetapi tidak langsung mengenali mana-mana pemimpin UMNO Pasir Puteh terutamanya Ketua Bahagiannya sendiri.

Ini adalah kerana YB Wan Hassan sangat rajin turun menemui mereka di sana dari masa kesemasa sejak dari dahulu lagi tetapi pemimpin UMNO Pasir Puteh hanya sibuk bermesyuarat di Pasir Puteh mengumpul maklumat dan data tentang profil pengundi-pengundi luar di Lembah Kelang sahaja. Itu pun dilakukan setelah dilantik seorang pengerusi baru beberapa bulan yang lepas. Selama ini UMNO Bahagian Pasir Puteh tidak pernah ada dikalangan mereka orang yang berminat untuk mengadakan sebarang mesyuarat pun, apalagi untuk pergi ke Kuala Lumpur berjumpa dengan pengundi-pengundi luar ini secara konsisten seperti yang telah dilakukan oleh YB Wan Hassan itu.

Jumlah yang ada di tangan Pengurusi Pengundi Luar UMNO Bahagian Pasir Puteh ini dikatakan seramai 5,000 orang setelah kesemua Pengerusi JKKKP (bukan Ketua-Ketua Cawangan) setiap DUN diarah supaya mengumpul maklumat dari daftar pemilih beberapa bulan yang lepas. Sudah tentulah jumlah ini sangat besar kesannya keatas kemungkinan menang kalahnya seseorang calon yang akan bertanding nanti terutamanya calon parlimen.

Walau bagaimana pun, tiada sesiapa yang boleh mengesahkan jumlah itu. Saya sendiri pernah berpeluang untuk melihat senarai pengundi-pengundi luar Semerak yang disediakan oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh itu dan saya dapati separuh daripada jumlah mereka bukan sebenarnya pengundi luar tetapi mereka adalah anak-anak tempatan yang tinggal di Semerak. Ada yang bekerja sebagai guru dan ada yang bertugas dalam jentera parti. Ada juga nama-nama itu disenaraikan sampai dua atau tiga kali dengan nama penuh dan nombor kad pengenalan yang sama.

Seperti yang telah saya sebutkan di dalam artikel saya yang terdahulu, saya tidak mengambil kisah tentang senarai seperti ini kerana ianya sudah lazim diamalkan oleh kedua-dua parti UMNO dan PAS selama ini untuk tujuan tuntutan peruntukan. Apa yang penting ialah dua perkara utama. Pertama, kesemua pengundi luar tulen hendaklah didaftarkan supaya mereka tidak tercicir dan mendapat hak mereka apabila mereka pulang mengundi nanti. Kedua, usaha-usaha harus dilakukan untuk menambat hati mereka dengan cara sepertimana yang sepatutnya, bukan sekadar merasa bangga dan megah dengan jumlah palsu yang ada di dalam daftar yang tersimpan di dalam 'pendrive' itu.

Punca utama yang menyumbang kearah ketidakmampuan UMNO Bahagian Pasir Puteh menentukan sebahagian besar pengundi luar ini menyokong UMNO hanyalah disebabkan oleh keengganan pihak kepimpinannya mendengar saranan dan nasihat dari orang-orang lama parti. Kepimpinan yang baru menerajuinya tidak mahu mengambil usaha merujuk kepada orang-orang lama parti yang sudah berpengalaman.

Mereka lebih sibuk dengan kerja menjaga lembu-lembu yang akan diagihkan dagingnya nanti kepada orang ramai contohnya, sehingga tiada masa lagi untuk menjaga pengundi-pengundi luar ini.

Mereka lupa bahawa pengundi-pengundi luar ini tidak boleh dianggap seperti sekawan lembu yang boleh dikepong dan dihambat atau dicucuk hidung mereka dengan tali untuk diheret pulang supaya menyokong UMNO.

Mereka semua adalah manusia biasa dan kebanyakannya adalah cerdik pandai yang tidak pun memerlukan apa-apa dari UMNO Bahagian Pasir Puteh kecuali hubungan silaturrahim atau 'interact spirit' dan rasa dihurmati sebagai seorang pengundi.

Di tangan mereka ada undi yang tidak ternilai yang boleh menentukan menang kalah seseorang calon dan seterusnya pula menentukan parti mana yang akan memerintah kerajaan negeri dan kerajaan pusat.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment