Tuesday 31 July 2012

MyDiary (73)

MyDiary (73)
31 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

KAPT. (B) HAJI WAN MARZUDI BIN DATO’ HAJI WAN OMAR, JP

Nama ini sudah lama bermain di bibir orang-orang Semerak kerana beliau sangat aktif dalam kerja-kerja kebajikan membantu orang-orang miskin dan juga murid-murid miskin sekolah-sekolah rendah di seluruh daerah Semerak sejak sekian lama.

Beliau ialah anak kepada bekas ADR Pasir Puteh dan ADUN Semerak iaitu YBhg. Dato’ Hj Wan Omar Bin Wan Majid. Bekas seorang pegawai tentera yang memulakan perniagaan didalam bidang ‘security’ dengan mengambilalih sebuah syarikat 13 tahun yang lalu. Sekarang, rangkaian perkhidmatan syarikatnya ini sudah berkembang maju meliputi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan jumlah kakitangannya melebihi 600 orang.

Artikel saya kali ini membawa beliau sebagai topik tulisan saya. Ini adalah kerana beliau baru sahaja menyatakan keputusannya untuk tidak lagi mahu mencampuri atau terlibat didalam sebarang urusan politik UMNO Pasir Puteh baik secara langsung mahu pun tidak.

Pada mulanya saya menyangka bahawa itu hanya gurauan tetapi hari ini ternyata beliau sudah betul-betul membuat keputusan itu secara muktamad. Sudah tentulah sebagai seorang kawan rapat saya telah cuba memujuknya supaya jangan membuat keputusan seperti itu memandangkan PRU13 sudah semakin hampir. Rayuan saya tidak lagi berkesan.

Keputusannya muktamad kerana katanya beliau telah mengambil masa setahun membantu UMNO Pasir Puteh secara langsung tetapi akhirnya beliau dapati segala usahanya itu menjadi sia-sia sahaja kerana tidak sedikit pun mendapat penghargaan dan rasa terima kasih oleh kepimpinan UMNO Pasir Puteh sendiri. Kepimpinan UMNO Pasir Puteh dianggapnya sekadar mahu ‘memperalatkannya’ sahaja semata-mata disebabkan kemampuan kewangannya.

Oleh itu, lebih baik katanya, beliau meneruskan kerja-kerja kebajikan membantu masyarakat dengan cara lama sepertimana asalnya sahaja iaitu secara bebas dan persendirian tanpa melibatkan lagi parti UMNO Pasir Puteh. Lagi pun, keputusan yang dibuatnya ini mendapat sokongan padu dari seluruh ahli keluarganya sendiri.

Dengan cara ini juga, beliau boleh membuktikan bahawa segala apa yang telah disumbangkannya selama ini bukan bertujuan untuk menjadi calon dalam pilihanraya yang akan datang ini walaupun beliau sudah dianggap sebagai salah seorang daripada ‘calon mampu menang’ atau ‘winnable candidate’. Sebaliknya, beliau hanya ingin membantu supaya UMNO menang di Semerak sahaja namun kepimpinan UMNO Pasir Puteh terus menganggap segala usahanya itu bermotifkan kepentingan peribadi.

Walau bagaimana pun, beliau memberi jaminan bahawa beliau akan tetap berada di dalam UMNO sebagai ahli biasa. Keputusan yang dibuatnya itu bukan sekali-kali bererti beliau ingin meninggalkan parti UMNO.

Oleh itu, beliau berharap tiada pihak yang mencurigainya lagi. Beliau tidak lagi ada sangkut paut dengan apa jua aktiviti parti UMNO Pasir Puteh dan berhak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja hatta orang-orang PAS sekali pun. Disebabkan itulah, maka pada 5 Ogos 2012 ini, beliau akan hadir kemajlis berbuka puasa anjuran ADUN Semerak untuk pengundi-pengundi Semerak di Lembah Kelang. Beliau hadir bukan untuk menyokong parti PAS tetapi hadir semata-mata sebagai seorang kawan yang dijemput oleh pihak penganjur kerana beliau pun adalah seorang pengundi luar juga.

Saya harap semua pihak terutamanya kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh menganggap keputusan yang dibuatnya itu sebagai hak mutlak peribadi beliau. Beliau tidak boleh dianggap menentang parti kerana keputusan yang dibuatnya itu hanyalah tidak mahu melibatkan dirinya dalam aktiviti parti sahaja.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.     

No comments:

Post a Comment