Wednesday 18 July 2012

MyDiary (68)

MyDiary (68)
17 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

MAJLIS PERASMIAN PUBLISITI DAN PENYERTAAN AWAM
‘DRAF RANCANGAN KAWASAN KHAS BANDAR TOK BALI 2045’

Program di atas itu telah diadakan pada hari ini (17 Julai 2012) bertempat di Tok Aman Bali Beach Resort, Semerak jam 10.00 pagi dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, anjuran bersama Majlis Daerah Pasir Puteh, Majlis Daerah Bachok dan Unit Perancang Bandar.

Satu lagi program dan visi kerajaan negeri Kelantan untuk rakyat negeri Kelantan. Namun saya tidak dapat menghuraikan apa-apa di sini secara ‘detail’ kerana saya tidak pernah menemui apa-apa berita atau maklumat tentangnya sebelum ini untuk dibaca. Mungkin ianya ada dalam akhbar Harakah atau buletin tertentu keluaran kerajaan negeri untuk rakyat PAS sahaja. Rakyat yang lain tidak perlu dimaklumkan apa-apa dan tidak perlu pun bertanya.

Walau bagaimana pun, sekilas pandang kepada tajuk di atas itu sudah cukup membayangkan bahawa kerajaan PAS negeri Kelantan terlalu kuat berangan-angan atau sengaja mengada-ngadakan sesuatu seperti itu kerana pilihanraya umum sudah dekat.

Dalam tahun ini sahaja, sudah banyak program-program pelancaran dibuat. Satu demi satu dibuat majlis pelancaran projek-projek besar yang melibatkan jumlah kos yang besar-besar dan pada kali ini dibuat pula pelancaran ‘Kawasan Khas Bandar Tok Bali’ dengan tema ‘PORTOKBALI Bandar Pelabuhan Maritim’.

Kepada orang-orang luar, sudah tentu mereka berfikir kerajaan negeri Kelantan sangat aktif, berupaya dan kaya ‘idea’. Perasmian ‘Publisiti dan Penyertaan Awam’ ini sudah tentu dianggap satu lagi peluang keemasan bagi mereka untuk melabur di negeri ini kerana sikap keterbukaan pemimpin kerajaan negeri. Lebih mudah bagi mereka untuk memahaminya apabila di tempat-tempat lain di dalam negeri ini sudah banyak kawasan yang dibangunkan dengan konsep ‘penyertaan awam’ ini.

‘Penyertaan Awam’ yang dimaksudkan itu sangat ‘relatif’ dan membawa banyak tafsiran yang tidak menentu dan tidak meyakinkan. Mungkin ada yang menepati tafsirannya tetapi ada yang tidak pada peringkat perlaksanaannya. Bagi kerajaan negeri, ianya tetap dianggap menepati tafsiran dan perlaksanaan asalkan keuntungan atau hasilnya diperolehi. Hasilnya pula akan ‘diagihkan’ kepada rakyat melalui beberapa projek atau menyalurkan sebahagian daripadanya kepada dana politik untuk disalurkan pula seterusnya kepada rakyat yang menyokong kerajaan negeri. Sebab itu, tidak hairanlah jika kita melihat wakil-wakil rakyat PAS sentiasa berada di dalam keselesaan dalam aktiviti menyampaikan bantuan kepada rakyat PASnya kerana dana kerajaan negeri sentiasa disalurkan kepada mereka untuk tujuan itu. Oleh kerana sikap kerajaan negeri yang terlalu leka mengutamakan rakyat PASnya sendiri, maka itulah kadang-kadang kita terdengar pula kesempatan diambil oleh pihak-pihak tertentu dari kalangan mereka sendiri juga sehingga berlakunya skandal kewangan walaupun pemerintahannya dikatakan berasas dan berlandaskan kepada ajaran agama.

Saya tidak boleh membuat ulasan selanjutnya tentang perancangan kerajaan negeri ini sehinggalah saya memperolehi maklumat yang lebih ‘detail’ mengenainya.

Apa pun, yang menjadi persoalan ialah mengapa 2045 dijadikan hadnya, tidak 2112 untuk mencukupkan 100 tahun supaya ianya dilihat lebih menarik apabila disebut ‘Draf Rancangan Satu Abad Kawasan Khas Tok Bali’. Supaya dengan itu juga, ianya lebih bersesuaian dengan pajakan 99 tahun tanah-tanah kerajaan kepada pemaju-pemaju, bukan 33 tahun apabila dikira 2045 - 2012 itu.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.         

No comments:

Post a Comment