Sunday 29 July 2012

MyDiary (71)

MyDiary (71)
30 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PERPADUAN PARTI UMNO PASIR PUTEH (2)

Menyambung lagi artikel yang lepas dengan tajuk yang sama bertarikh 22 Julai 2012, saya melihat seolah-olah perpaduan ini hampir mustahil dicapai lagi. Usaha dan seruan kearah semangat perpaduan dan penyatuan masih belum kedengaran ditiupkan untuk dijadikan agenda dalam gerakan parti UMNO Pasir Puteh padahal sepatutnya dibulan yang mulia ini, usaha ini sudah mula diberikan perhatian dan dipergiatkan secara serious melalui program-program yang boleh menyatukan semula ahli-ahlinya.

Bahkan, kebimbangan dan kekecewaan ahli-ahli UMNO sendiri pun belum dapat dilihat menyelubungi mereka. Masing-masing masih leka dan dilihat seperti masih ‘seronok’ apabila mereka berada bersama secara beramai-ramai di dalam kem masing-masing. Seperti biasa, dibulan Ramadhan sudah tentulah program ‘makan colek’ pun giat dianjurkan di sana sini. Ketua UMNO Bahagian dengan programnya bersama dengan ‘orang-orangnya’ sementara bekas Ketua UMNO Bahagian pun dengan programnya bersama dengan ‘orang-orangnya’ juga.

Kedua-dua pihak ini tidak memikirkan apa-apa kecuali ketawa dan merasa puas dengan keadaan yang ada. Seolah-olah mereka tidak sedikit pun terasa bahawa jika keadaan ini dibiarkan, mereka jugalah yang terus kerugian apabila parti kalah lagi dalam pilihanraya nanti. Mereka tidak mengambil peduli.

Apabila disuarakan kebimbangan ini, masing-masing pihak menjawab bahawa merekalah yang sedang berjuang supaya parti menang dalam pilihanraya nanti. Tinggal lagi, kaedah dan caranya mungkin berbeza. Jawapan seperti itu tidak membawa sebarang makna dan erti selagi kedua-dua kelompok besar ini tidak bersatu dalam ertikata yang sebenar kerana saya masih tetap yakin bahawa resipi utama yang boleh membawa kepada harapan untuk memenangi pilihanraya yang akan datang ini hanyalah perpaduan seluruh ahli-ahli UMNO.

Ini adalah disebabkan risiko berlakunya aktiviti ‘cah keting’ yang serious dikalangan ahli-ahli UMNO adalah sangat tinggi dan tidak dapat dibendung jika gejala perpecahan ini dibiarkan terus berkembang sampai kepada musim pilihanraya. Jika ini berlaku, bak kata pepatah ‘menang sorak kampong tergadai’.

Pendirian ahli-ahli UMNO zaman sekarang tidak lagi seutuh dan sekukuh seperti yang dimiliki oleh ahli-ahli UMNO dahulu. Ahli-ahli UMNO dahulu tidak akan sekali-kali memangkah calon parti lawan walau semarah mana pun mereka kepada calon sendiri. (Kalau ada pun, bilangannya tersangat kecil). Mereka tetap tidak akan sekali-kali mengkhianati parti sendiri selagi mereka menganggotai parti itu. Jika pun mereka membuat keputusan untuk berbuat demikian, mereka akan keluar parti terlebih dahulu sebelum piihanraya kerana tidak mahu melakukan sesuatu yang dianggap ‘hipokrit’.

Melalui tulisan saya sebagai sambungan artikel yang lepas ini, saya sekali lagi ingin menekankan atau ‘reiterate’ bahawa keperluan kepada perpaduan dalaman diantara seluruh ahli-ahli UMNO adalah sangat kritikal buat pada masa ini dan hendaklah diusahakan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh dengan segera. Pemimpin kedua-dua kelompok terbesar yang sedang berpecah ini harus segera duduk semeja berbincang mencari jalan menyatukan semula kesemua ahli-ahli UMNO Pasir Puteh. Buang yang keruh ambillah yang jernih. Kita sudah kesuntukan masa dan segala silap dan salah mana-mana pihak harus sama-sama dimaafkan demi parti. Apa yang penting ialah kemenangan parti dalam pilihanraya nanti.

Untuk itu, pengurbanan besar kedua-dua pemimpin ini sangat-sangatlah diperlukan. Saya faham, dengan sifat keegoan semulajadi, bukan mudah untuk masing-masing pihak mengaku kesilapan masing-masing tetapi bagi saya bukan itu yang penting. Yang penting ialah perpaduan sejati seluruh ahli-ahli UMNO hendaklah dicapai jika kedua-dua pemimpin ini sama-sama ikhlas mahukan parti UMNO menang dalam pilihanraya nanti. Yang lepas itu biarlah lepas. Marilah kita sama-sama hadapi musuh yang satu sebagai pasukan yang satu juga.

Kepada mereka yang masih berdegil untuk tidak mahu juga bersatu, kita tinggalkanlah dahulu mereka. Mereka yang berfikiran negatif ini biasanya tidak ramai dan tidak besar pengaruhnya.

“Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment