Saturday 21 July 2012

MyDiary (69)

MyDiary (69)
21 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

 
SENARAI PENGUNDI LUAR DUN SEMERAK N31

Beberapa bulan yang lepas saya telah menyerahkan satu senarai yang mengandungi nama dan maklumat diri lima (5) orang anak saya yang sudah mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi kepada Pengerusi JKKKP mukim saya untuk tujuan didaftarkan sebagai ‘pengundi luar’ kerana semua mereka bekerja dan belajar di luar negeri Kelantan.

Saya tidak tahu samada nama anak-anak saya ini telah didaftarkan atau pun tidak kerana tiada sebarang maklumbalas diterima setakat ini. Apa yang merisaukan saya ialah apabila saya menyemak satu senarai penuh pengundi luar, nama anak-anak saya ini masih belum ada di dalam senarai itu.

Secara kebetulan, saya mendapati banyak pula sebaliknya nama-nama yang sebenarnya bukan pengundi luar tetapi telah disenaraikan sebagai pengundi luar. Ada yang bekerja sebagai guru, ada yang bukan kakitangan kerajaan. Ada yang memegang jawatan parti, ada yang tidak.

Saya pun terlintaslah sewaktu saya bertugas dahulu apabila saya pernah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal pengundi luar ini. Memanglah dari dulu lagi, ramai yang bukan pengundi luar dimasukkan sebagai pengundi luar. Peruntukan pilihanraya diperolehi mengikut jumlah pengundi luar sebagaimana di dalam senarai.

Perlakuan atau ‘practice’ ini dianggap sebagai perkara biasa dan diamalkan oleh kedua-dua parti UMNO dan PAS setiap kali pilihanraya diadakan kerana peruntukan yang diperolehi itu adalah dari parti masing-masing yang tidak diaudit kecuali laporan ringkas kepada SPR selepas pilihanraya oleh calon parti masing-masing yang bertanding sahaja.

Mengikut pengalaman saya, separuh sahaja peruntukan ini digunakan untuk membayar tuntutan perjalanan pengundi luar. Separuh lagi saya tidak tahulah kemana perginya. Sudah tentulah yang separuh itu ialah peruntukan yang diperolehi dengan menggunakan nama pengundi-pengundi luar palsu sepertimana yang telah saya katakan di atas itu. Mereka ini mungkin tidak pun sedar bahawa nama mereka telah dipergunakan untuk tujuan itu.

Saya menyentuh persoalan ini pada kali ini kerana saya mengharapkan supaya tiada pengundi luar tulen tercicir daripada senarai yang berkenaan itu. Mereka akan pulang untuk memberi undi kepada parti UMNO dan diharapkan tiada masalah yang timbul semasa mereka membuat tuntutan perjalanan mereka.

Tentang kemana perginya peruntukan yang menggunakan nama pengundi-pengundi luar palsu itu, saya tidak mahu ambil kisah kerana ianya bukan urusan saya. Yang saya ambil kisah ialah, menentukan supaya kesemua anak saya mendapat hak mereka (jika mereka pulang mengundi).

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

No comments:

Post a Comment