Sunday 22 July 2012

MyDiary (70)

MyDiary (70)
22 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

PERPADUAN PARTI UMNO PASIR PUTEH

Saya tetap kekal dengan pendirian dan prinsip saya bahawa perpaduan parti boleh dicapai hanya apabila masalah asal di’perbaiki’. Masalah asal itu ialah masalah yang terhasil tatkala pertandingan 3 penjuru berlaku diperingkat jawatan Ketua UMNO Bahagian. Jalannya ialah ‘membaikpulih’ kerosakan asal yang telah dialami selepas pertandingan itu.

Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini kerana yang penting ialah perpaduan itu hendaklah dicapai dengan apa cara sekali pun. Tak kiralah pihak yang menang atau yang kalah pada masa pertandingan dulu itu. Semuanya sama sahaja. Mereka semua orang-orang UMNO.

Walaupun masing-masing mempunyai pengikutnya sendiri, itu tidak penting kerana yang penting ialah ‘percantuman’ diperingkat pemimpin. Apabila ianya dicapai, saya yakin secara otomatik pengikut kedua-dua belah pihak pun akan bercantum jua.

Pada masa ini, bukan saya sahaja yang sedang melihat betapa sukarnya UMNO Pasir Puteh hendak memenangi PRU13 ini walaupun digembargemburkan ramai orang-orang PAS masuk UMNO. Ini adalah kerana untuk mencapai kemenangan selesa, adalah tidak mencukupi dengan hanya mengharapkan sokongan daripada orang-orang PAS sahaja. Sokongan penuh daripada orang-orang UMNO sendiri hendaklah terlebih dahulu dicapai. Sokongan daripada orang-orang PAS walaupun diperlukan, ianya sekadar menambah kepada kemenangan yang dicapai hasil daripada sokongan penuh orang-orang UMNO sendiri. Orang-orang PAS bukan faktor penentu yang boleh diberikan jaminan.

Dalam kaitan ini, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa tanggungjawab menentukan perpaduan parti dicapai terletak sepenuhnya di atas bahu Ketua UMNO Bahagian. Beliau harus meneruskan semula agenda ini dengan hati yang ikhlas dan jujur dan tidak mempedulikan apa yang orang lain kata. Kekentalan semangatnya harus dibuktikan dengan percubaan demi percubaan tanpa merasa letih dan jemu kerana tidak ada kejayaan yang ditempa tanpa cabaran dan dugaan. Lagi besar kejayaan yang hendak dicapai, lagi besarlah cabarannya.

Jika beliau sanggup melakukan apa yang disarankan ini, saya yakin seluruh ahli UMNO Pasir Puteh akan bersetuju dan menjadi lebih bersemangat lagi untuk menghadapi PRU13 ini. Mereka semua akan merasai suasana perpaduan yang dinanti-nantikan itu dan harapan untuk memenangi PRU13 ini akan lebih diyakini.

Cara tentang bagaimana yang seharusnya dilakukan oleh Ketua UMNO Bahagian untuk tujuan ini tidaklah payah saya menghuraikannya satu persatu di sini. Saya yakin beliau lebih mengetahui tentangnya.

Beliau tetap Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh yang sah dan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh juga tetap bekas Ketua yang perlu dihurmati juga. Menang kalah dalam pertandingan tidak seharusnya memberikan kesan negatif kepada parti.

Jika ini tidak mahu diusahakan, perpecahan akan terus melebar. Orang-orang UMNO akan merasa kecewa, bahkan orang-orang PAS yang masuk UMNO pun tidak akan yakin boleh membantu memberikan kemenangan kepada UMNO kerana mereka melihat orang-orang UMNO sendiri pun masih lagi berpecahbelah.

Bagi saya, masih belum terlewat untuk Ketua UMNO Bahagian melakukan usaha ini sambil mengingati pesanan orang tua-tua "Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya Lagi" atau "Better Late Than Never". Bahkan bukan sahaja menyesal kemudian tiada gunanya, tetapi beliau pun akan dipersalahkan dan mungkin 'dihukum' oleh ahli-ahli UMNO. Kemudian, namanya akan hanya dikenang sebagai bekas Ketua yang tidak mementingkan perpaduan parti.

Ambillah kesempatan dibulan yang mulia ini untuk bermaaf-maafan dan menjernihkan suasana sebelum menghadapi PRU13.

"BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH"



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment