Monday 9 July 2012

MyDiary (63)

MyDiary (63)
9 Julai 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

CAH KETING

‘Cah Keting’ adalah satu budaya yang menghantui parti UMNO Pasir Puteh dan calon-calonnya setiap kali pilihanraya menjelang tiba. Istilah ini hanya digunakan apabila ahli-ahli UMNO memangkah calon parti lawan dalam pilihanraya.

Di padang bola, ia bermaksud pemain menahan kaki kepada kaki lawan sehingga pemain lawan rebah. Pada kebiasaannya, pemain yang melakukannya akan diberikan amaran atau kad kuning. Dalam politik, lain pula ceritanya. Semasa pengundi memangkah calon parti lawan, tiada siapa yang nampak ianya dilakukan. Namun, aktiviti ini masih boleh dikesan apabila rekod cula atau rekod sikap didapati tidak seragam dengan hasil atau keputusan undi. Mereka yang melakukan aktiviti ini pula tidak diketahui dan tidak dapat dibuktikan siapa mereka. Oleh itu, mereka yang melakukannya tetap terlepas dari hukuman.

Sebab itu, aktiviti ini tidak boleh dibendung sampai bila-bila. Sebab itulah juga, maka segala arahan dan nasihat daripada pucuk kepimpinan parti menjadi seperti mencurah air ke daun keladi.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan ahli-ahli UMNO melakukan aktiviti ‘cah keting’ ini semasa pilihanraya. Ada yang disebabkan oleh rasa tidak puas hati mereka terhadap parti sendiri tetapi sengaja tidak mahu meninggalkannya kerana masih sayangkan habuan atau faedah-faedah yang diperolehi melalui UMNO. Ada yang disebabkan oleh rasa tidak puas hati mereka kerana tidak mendapat apa yang diinginkan seperti jawatan atau lain-lain kemudahan. Ada yang disebabkan oleh rasa tidak puas hati mereka terhadap individu-individu tertentu di dalam parti.

Itu semua adalah suatu kelaziman di dalam parti UMNO Pasir Puteh sejak zaman berzaman tetapi itu semua bukanlah faktor utama aktiviti ‘cah keting’ setiap kali pilihanraya berlangsung. Faktor utama sebaliknya ialah rasa tidak puas hati mereka terhadap calon itu sendiri. Calon yang bertanding itu mungkin tidak disukainya atau mungkin juga musuh peribadinya. Mereka tidak menyukainya mungkin disebabkan mereka berharap orang lain yang menjadi calon tetapi apabila diumumkan, orang ini tidak dicalonkan.

Akhir-akhir ini, faktor inilah dilihat sebagai punca utama yang akan menjadi penyebab kepada aktiviti ‘cah keting’ didalam PRU13 ini di Pasir Puteh. Perkara ini sudah pun dihidu walaupun ianya masih belum kelihatan secara jelas.

Oleh itu, sesuatu harus dilakukan dengan segera oleh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh jika tidak mahu lagi melihat calon-calon kalah hanya disebabkan oleh ahli-ahlinya sendiri. Kekuatan hujah bahawa seseorang ahli UMNO itu tidak seharusnya memangkah calon parti lain kerana perbuatan itu adalah salah di sisi perlembagaan parti, atau perbuatan itu adalah salah kerana dianggap seperti menipu diri sendiri, sudah tidak lagi boleh dijadikan ‘nasihat’ yang berguna kepada mereka. Mereka tidak lagi peduli tentang hujah-hujah seperti ini asalkan mereka merasa puas apabila calon parti sendiri kalah.

Yang mereka tahu, mereka akan berdiri sebagai seorang pengundi biasa untuk memangkah seseorang yang mereka sukai, bukan berdiri sebagai ahli UMNO. Jika pun mereka berdiri sebagai seorang ahli UMNO pula, mereka berniat untuk melepaskan geram dengan tidak memangkah calon sendiri.

Saya ada kawan yang sanggup mengaku secara terbuka bahawa itulah yang pernah beliau lakukan dalam PRU12 dahulu tetapi masih lagi menjadi ahli UMNO yang sah sehingga sekarang.

Saya menulis tentang perkara ini kerana saya sendiri tidak mampu dan tidak tergamak melakukan seperti kawan saya itu. Walau semarah mana sekali pun saya terhadap seseorang calon itu, saya tidak boleh menggunakan kaedah ‘cah keting’ itu. Ini adalah kerana saya betul-betul tidak tergamak melakukan sesuatu seperti itu terhadap sebuah parti yang saya menjadi ahlinya. Jika saya tidak mahu juga memangkah calon yang berkenaan itu, lebih baik saya istihar keluar parti terlebih dahulu.

Namun, orang seperti kawan saya itu masih ramai di Pasir Puteh dan tiada sesiapa yang mampu berbuat apa-apa, kecuali menerima kekalahan sekali lagi disebabkan perbuatan mereka itu.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

1 comment: